Ini suatu entri berdasarkan satu kerja tangan aku, namun tak seberapa kepada seorang pensyarah yang cukup berjasa kepada pelajarnya suatu ketika dahulu.
Nota subjek radiasi yang sudah lama aku tinggalkan....
“Kau tahu Doktor Aref ada kanser?” kata seorang teman beberapa bulan dahulu, ketika kami sedang berjalan di hadapan perpustakaan.
Aku memandang muka kawanku sambil meneruskan perjalanan kami ke kafe PSP.
“Engkau kalau buat lawak pun, janganlah lebih-lebih. Tahulah Doktor tu mengajar Medical Radiation.” Aku membalas, lebih kepada menegur sebenarnya.
“Laaa, betullah, buat apalah aku nak buat lawak.” Mukanya nampak serius, tiada tanda ingin ketawa.
“Itu sebabnya dia nampak pucat.” Tambahnya lagi.
Betulkah apa yang aku dengar ini?
Dan ia diperkuatkan lagi apabila aku sendiri melihat simptom yang dialaminya. Memang kulitnya kelihatan pucat. Rambutnya tampak tipis sedikit.
Namun dia tetap menghadiahkan senyuman setiap kali aku melihatnya. Dia kenal aku sebagai pelajarnya dahulu.
Kini, isterinya pula yang mengajar kami, subjek Patologi. Nampaknya pasangan suami isteri ini terlalu banyak jasanya kepada kami, hinggakan cara pengajarannya juga hampir sama, dari pengamatan aku. Cuma aku sahaja yang kurang memahami kerana aku tidak berminat dengan subjek tersebut. Aku lebih berminat kepada subjek radiasi.
Dalam peperiksaan kami, subjek patologi berterusan dengan subjek farmakologi. Apabila diminta untuk mengubah tarikh patologi, beliau tidak membenarkan kerana beliau ingin pulang ke negara asal bersama suaminya dalam masa terdekat selepas habis peperiksaan tersebut, mungkin selepas selesai menyemaknya.
Suatu malam aku dipanggil turun oleh beberapa orang teman, ke kafe Nurani. Jarang perempuan memanggil aku untuk berjumpa. Mulalah aku berfikir kiranya ada kesalahan yang aku lakukan kepada mereka. Atau mereka ingin membincangkan sesuatu.
Benar, mereka, yang merangkap rakan sekursus aku ini ingin menghadiahkan kad ucapan selamat kepada Doktor Aref. Aku pula diminta untuk melukis semua gambar rakan sekursus dalam bentuk kartun.
Aku menolak pada mulanya, kerana aku jarang melukis karikatur, karikatur yang selalu aku lukis pun lebih kepada hasil yang besar dan bukan kecil. Malah memerlukan masa yang lama.
Namun mereka tetap meminta. “Asalkan nampak kartun sebanyak 26 orang pun cukuplah.” Kata mereka. Aku merelakan sahaja dengan syarat, jangan marahkan aku jikalau hasilnya tak seberapa, atau lebih tepat lagi, buruk!!!
Ilustrasi muka depan yang di minta....
Dan memang hasilnya tak seberapa pun. Masa yang diberikan adalah seminggu. Aku pun jenis yang berlengah. Kena pula pada masa yang sama aku akan menghadapi CA.
Ahhh, aku buat semampu yang boleh sahaja. Akhirnya selepas seminggu, semuanya diam, tak minta pun dari aku. Aku pun diam sahajalah.
Sehingga semalam, barulah diminta kad tersebut, aku pun menyerahkan dengan hati yang berat. Memang tak cantik pun lukisan aku. Che Joe ada cakap, lukisan atas je yang cantik, sebab lukisan atas tu memang aku dah buat awal-awal. Yang lain semuanya kemudian.
Apapun, Doktor Arefuddin memang adalah seorang pensyarah yang aku segani. Sebab notanya ringkas namun padat dengan informasi dan senang difahami. Pengajarannya pun mudah untuk dihadami.
Namun, aku sedikit terkilan dengan keadaannya. Dia agak mahir dan mungkin pakar dalam dalam radiasi. Sekarang, dikatakan kepada aku, kansernya dah sampai ke tahap terakhir.
Sebagai seorang pelajarnya, aku tak boleh nak kata apa dah.
Mungkin kad yang dirancang ini sedikit sebanyak dapat menggembirakannya.
Apapun, aku tetap sentiasa menghargai pengajarannya.
Terima kasih Doktor.
Dan maafkan aku sebagai seorang pelajarmu yang sentiasa mempunyai kekurangan. Hinggakan kad untukmu ini pun masih tidak menarik. Kekurangan aku......
p/s: aku tak tahu diorang dah beri kad ni ke belum pada Doktor Aref. Mungkin tak beri kot sebab lukisan aku buruk. Kikikiki..........