Akhirnya Habis......

Bismillah.......

Akhirnya tamat juga tahun keempat. Sebenarnya hari tu lagi dah habis, tapi hari ni habis berjumpa dengan kawan-kawan yang lain.

Masa malam BBQ hari tu, aku tak rasa apa sangat. Tak ada sedih mana pun. Tambah lagi duduk dekat dengan Hafiz malam tu, memang takkan menangis lah. Tapi bila malam ni, jumpa balik kawan-kawan yang dah lama tak jumpa dari kursus lain (rata-rata duduk di Desasiswa Murni), baru rasa sayu sikit. Rasanya dah lama tak duduk sembang-sembang, bergelak ketawa.

Kenny nak balik hari Selasa. Alvieno pun. Syazwan balik pagi ni. Lukman nak sambung master, tapi agak sadis. Hafiz dah dapat idea baru. Hanif nak jadi RA. Din pun, dengarnyalah. Hakim malu-malu. Terk cuba korek rahsia. Che Jo dah tersenyum lebar (mungkin). Azmir tetap istimewa. Dan kawan-kawan yang lain..... (tak dapat nak cerita semua)

Sedikit hasil tangan untuk dijadikan backdrop. Mungkin kali yang terakhir di USMKK. Mungkin. Siapa tahu kalau ada tempahan budak-budak junior USMKK akan datang. Hehehehe. Tapi takkan ada dah kot. Mungkin lepas ni aku tak akan sentuh Adobe Photoshop dah kot. Mungkin Studio Seni Ku ni tak ada hasil tangan dah. Mungkin. Siapa tahu kan.......

Kawan-kawan, sahabat-sahabat semua,

Terima kasih kerana sudi berkawan dengan aku. Aku bukanlah budak yang baik. Bukan juga budak yang pandai mengambil hati dan membodek. Maafkan aku jika ada silap dan salah. Yup, aku insan yang banyak buat silap dan salah. Mungkin lebih banyak dari kamu semua.

Semoga kita tak lupa kawan dan sahabat masing-masing. Semoga selepas ini, setiap dari kita akan berjaya. Setiap dari kita mendapat kesudahan yang baik. Dan semoga kita semua akan menjadi yang terbaik selepas ini.

InsyaAllah........

p/s: aku perlu berubah........

Saturday, May 7, 2011

Aiskrim Best Aku Belikan Pada Mereka......

Bismillah.......

Ada satu ucapan yang aku baca dalam komik Kartini yang baru aku beli di Pesta Buku Kelantan baru-baru ini. Komik yang suatu ketika dulu cukup suka aku baca semasa sekolah rendah dahulu. Kini muncul semula dalam bentuk koleksi kecil. Amat nostalgik.

“Tapi apa yang kita paling nak, itulah yang kita takkan dapat…”

Itulah kata-kata Kartini kepada Yon. Terdiam juga aku, berhenti sebentar membaca. Ayat nampak ringkas, tapi ‘makan dalam’. Mungkin kamu tak pernah mengalaminya, tapi aku faham erti tangan yang tak dapat menggenggam hasrat……

Ya, aku memang cukup faham…….

Erti kegagalan........

******

Ini cerita minggu lepas. Malam tu aku baru balik makan. Esoknya pula ada peperiksaan Kimia Surih. Baru sahaja aku bersemangat nak mula membaca nota yang agak-susah-difahami-dan-diingati tu, tiba-tiba Syuk beri aku mesej guna Google Talk. Dia ajak aku makan aiskrim. Aiskrim percuma.

Terus aku berlari pergi bilik dia. Tak sampai seminit pun rasanya dari dia hantar mesej tu. Huhuhu….. Rupanya Daus beli aiskrim Walls, yang ada gambar Mawi pada kotak luarnya. Harganya RM5, tapi percuma dua. Maknanya kamu beli RM5 dapat tiga kotak aiskrim. Memang murah muka Mawi ni eh, saham jatuh kot, huhuhu…. (jangan beritahu Mawi, juga minta maaf jika kamu peminat Mawi, no offense okay.)

Apapun, dari situ, aku dapat idea nak belanja budak-budak forensik lain untuk makan aiskrim tu sama-sama. Kebetulan pula, mereka rancang nak buat BBQ guna duit lebih Pertandingan Futsal dan Bola Jaring Piala Pengarah dulu. Che Jo pun setuju juga sebab harga aiskrim tu murah sangat, macam promosi. Dah tu, siapa tak minat makan aiskrim kan??

Jadi, aku dapatkan duit daripada Wali. Wali masih pegang duit baki Pertandingan Futsal dan Bola Jaring Piala Pengarah hari tu. Aku minta duit sepuluh ringgit untuk beli aiskrim-aiskrim tu. Takkanlah aku nak guna duit aku kan, aku dah le kedekut. Tapi tak adalah sampai tahap Haji Bakhil.

Malam BBQ diadakan, aku dengan Che Jo pun belilah aiskrim tersebut. Mulanya aku nak beli satu sahaja, dapat kuantiti tiga kotak aiskrim kan??? Tapi Che Jo cadangkan beli dua, dapat kuantiti 6 kotak aiskrim. Mana yang tak habis, kami bedal lah nanti. Bagus juga cadangan Che Jo, jadi aku habiskan semua duit sepuluh ringgit yang Wali beri tu. Aku tambahkan duit aku untuk beli dua buku roti. (haaa, kan aku dah kata, aku tak kedekut sangat)

Aktiviti BBQ malam tu.....

Malam tu, mereka yang dapat makan aiskrim tu, makanlah dengan muka gembira. Mungkin sebab petang tu panas sampai ke malam, sukalah makan aiskrim yang sejuk tu. Tiga kotak perisa vanilla, tiga kotak lagi perisa vanila campur strawberi.

Gambar Asma terliur nak makan aiskrim. Dia malu nak minta dengan Quzie dan Saziana.

Bila Quzie pelawa, barulah Asma gembira, tapi masih malu-malu lagi.

Masa tu Wali buat cerita, kononnya aku yang belanja mereka makan aiskrim. Padahal aku beli guna duit pertandingan juga. Huhuhu…… Aku duduk diam saja lah sambil mengagih-agihkan aiskrim bersama Zeila. Aku dengar respon budak-budak ni. Aku lupa siapa yang cakap, tapi aku ingat ada suara Lea ngan Asma.

“Biar betul???”

“Hah, betul ke dia belanja??? Macam tak percaya.”

“Cuba kau tengok tarikh mati dia, entah-entah dah luput kot aiskrim ni.”

Tak guna betul……. Kedekut sangat ke aku ni??? Yang respon ketiga tu aku tak boleh tahan tu. Huhuhu….

Apabila ada budak forensik bergambar. Macam-macam gaya ada......

p/s: kamu tahu tak aiskrim RM 5 dapat tiga kotak yang aku cakapkan ni??? Kalau tak tau, atau kalau mahu tau, pergi Mydin, cari bahagian aiskrim Walls.....

Friday, April 30, 2010

Kelas Terakhir Farmakologi.....

Gambar hiasan, bukan Dewan Kuliah B. (Baru aku perasan, aku tak pernah bergambar dalam mana-mana dewan kuliah di USM)

Bismillah.......

Kelas farmakologi semalam diakhiri dengan sedikit nasihat daripada Prof. Syed Mohsin. Ada sesuatu yang bermain di dalam pemikiran aku setelah menghadiri kelas terakhirnya semalam.

Hajat aku semalam hendak datang kelas untuk suatu sebab. Sebab yang bodoh. Jadi aku tak kisah untuk hadir lewat. Lagipun aku dah biasa duduk di belakang. Namun begitu, seawal jam 8.10 Che Joe sudah pun datang ke bilik aku dan mengajak pergi. Sampai awallah kami di dewan kuliah.

Setelah beliau datang, beliau menyuruh aku ke depan, kerana sememangnya tiada pelajar lain di hadapan. Kebanyakannya masih belum tiba lagi. Aku berganjak ke hadapan. Kelas bermula.

Ada sedikit kelainan dalam kelas kali ini. Aku dapat rasakan sesuatu setelah duduk depan, namun tidaklah terlampau depan. Aku mula memahami dengan baik apa yang cuba disampaikan. Mungkin waktu itu, fokus aku masih tinggi.

Sebelum ini, kelas-kelas beliau yang lain kurang aku fahami. Malah beliau sendiri aku takuti. Ada beberapa pendapatnya yang kurang aku bersetuju dengannya suatu masa dahulu.

Namun, ternyata ada satu kelainan lain dalam kelas kali ini. Aku terasa mula menghormati beliau. Kefokusan aku di dalam kelas semalam membuatkan aku lebih mendengar apa yang disampaikan beliau, walaupun bukanlah dalam skop pelajaran.

Dan aku tersedar, beliau seorang yang tinggi ilmu, namun tidak riak. Dan sebab itulah timbul perasaan hormat padanya.

Daripada pantun P. Ramlee, roller coaster terbesar di U.S, nama setiap alkohol mengikut negeri, presiden John F. Kennedy, falsafah conficious, sehinggalah kepada kepercayaan susuk dan homeopathy. Semuanya membuatkan aku kagum dan menyimpulkan dia memang berpengetahuan.

Malah, dari mula lagi dia sudah memberitahu, “You can ask me anything, I will answer them.”

Malah pendapatnya, “Kamu jangan cari kerja, tapi buat kerja” membuatkan aku terasa dia seorang berpandangan jauh, berfikiran luas, terlalu ke hadapan bagi pemikiran aku yang masih belum matang. Namun, aku memang bersetuju. Begitu juga dengan beberapa pendapat yang lain seperti kita kurang membaca, banyak tidur.

Salah satu nasihat dia, “Jangan belajar kerana periksa, tapi kerana ilmu.” Ayat ni sebenarnya dah banyak kali dah aku dengar tak kiralah bahasa Melayu mahupun Inggeris. Namun, setelah dia cakap ayat ni, aku tak terasa stereotaip, tapi aku rasa aku macam pertama kali mendengarnya. Dan sampai sekarang berlegar dalam minda. Aku tak tahu kenapa......

Sesal dahulu pendapatan. Sesal sekarang, terasa kerugian, dan itulah yang aku rasa, rugi. Terasa nak kembali ke kelasnya yang terdahulu.

Betullah kata orang, “Ilmu membuatkan diri seseorang dihormati”.

p/s: dia pandai bermain psikologi. “Siapa nak balik boleh balik, dan siapa nak tinggal di sini untuk bertanya, boleh tinggal dan tanya.” Apa yang korang fikir masa dia sebut ayat ni???

Wednesday, April 8, 2009

Diskusi Ilmu.........


Bismillah........

Baiklah, kali ini aku bawa satu buah tanga sebagai pemberitahuan kepada mereka yang datang membaca di blog aku ini. 

Esok, Jumaat, 27 Februari 2009 akan diadakan beberapa aktiviti iaitu Majlis Penutupan Bulan Aurat dan juga Diskusi Ilmu. Ada dua diskusi ilmu iaitu yang pertama, khas untuk muslimat, bermula pukul 8.30 hinggalah 11 pagi. Kemudian dari pukul 11 pagi akan diadakan diskusi dari buku Apa Erti Saya Memeluk Islam dengan tajuk kedua.

Diskusi buku ni diadakan setiap minggu pada pagi hari Jumaat. Ia terbuka kepada semua, daripada muslimin dan juga muslimat.

Kebetulan pagi esok, pukul 8 juga akan diadakan pertandingan gubahan tembikai dan buat sandwich sempena Bulan Aurat. Malam esok pula akan diadakan Majlis Penutupan Bulan Aurat. 

Kepada mereka yang mempunyai kelapangan masa pada waktu yang telah aku nyatakan, bolehlah menyertai aktiviti-aktiviti ini. Kepada yang tidak berkelapangan, tak mengapa, lain kali InsyaAllah ada lagi.

Apapun, aku hanya menyampaikan.........

Thursday, February 26, 2009

Malam Penutup MPI ke 11

Bismillah........

Perghhhh, dengan berakhirnya penutup MPI pada malam ini, secara rasminya aku pun dah habis bertugas sebagai ketua projek untuk pertandingan khat, multimedia dan fotografi. 

Dan hari ini, walaupun sebelah petang aku tiada kelas, tetapi aku tetap sibuk. Sibuk mencari hakim, pergi jabatan bendahari, ambil poster TOT, dan membuat video untuk para peserta. Fuhh.... Penat.....

Tapi, Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Cuma tiga perkara sahaja pada malam ni yang membuatkan aku terkilan sebagai ketua projek ini. Tapi tak mengapalah kan, benda dah berlalu. Nak ubah pun dah tak boleh dah.

Apapun, hasil karya aku dalam membuat video peserta untuk pertandingan khat dan fotografi dapat ditunjukkan tadi kepada semua hadirin. Mungkin tak seberapa sangat sebab aku tak cukup masa tadi. Lagipun aku sebenarnya ulang buat video tu sebab mula-mula salah save..





Kalau korang tengok video ni sampai habis, saja aku tak letak nama pemenang di akhir video. Saja aku letakkan ' Dan pemenang adalah.....'. Bagi para peserta suspens sikit. Tak tahulah diorang suspens ke tak. Huhuhu. Cuma satu je aku suka video ni, aku suka lagu dia. Lagu In Team, Sutera Kasih.

Keputusan untuk Explorace MPI juga keluar malam ini. Dan kumpulan Kambing Hitam memenangi tempat KEDUA. Fuh, tak sangka betul. Tahniah buat kita semua. Tak sia-sia Che Joe jadi imam, Lukman praktik tayamum, Syazwan menulis jawi, Azmir makan nasi masin dan aku yang jadi model. Alhamdulillah........

Keseluruhannya, MPI tahun ini memang menarik. Cuma ada beberapa kelemahan. Mungkin masih dapat diperbaiki lagi untuk tahun hadapan.

Dan aku cukup kagum dengan barisan Exco Grafik MPI tahun ini, diketuai oleh Syafiq dan Huda. Memang masih banyak yang perlu aku belajar dalam grafik..........

Dengan berlabuhnya tirai MPI pada malam ini, tamatlah sudah MPI ke 11 sesi 08/09. 

Alhamdulillah aku ucapkan kepada Allah yang sentiasa melayan rintihan dan masalah aku dan sentiasa juga memberikan penyelesaiannya.

Sekalung penghargaan aku ucapkan kepada semua yang membantu menjayakan projek aku, terutamanya pembantu aku yang banyak bekerja, mungkin lebih daripada aku sendiri, Nafsiyah, orang-orang bawahan aku, pengadil, Encik Saiful Haizad Ahamad Jainid, Pusat Islam, Exco Grafik, Pengisian, Publisiti, Protokol, Peralatan, Hadiah, dan juga mereka yang membantu secara langsung atau tidak langsung yang tidak disebut di sini.

Jutaan terima kasih kepada anda semua.......... Syukran........

Semoga salah dan silap diri ini dapat anda semua maafkan..........

Sunday, January 18, 2009

Pilihan Raya Kampus 08/09

Bismillah........

Aku menguap, mengantuk lagi, mata pun rasa nak tutup balik.

Bangun awal aku pagi ni, sebab semalam aku tidur awal. Aku gagahkan juga diri nak pergi bilik air, bersihkan diri nak sembahyang Subuh. Bila nak keluar je dari bilik, aku ternampak satu kertas terselit bawah pintu.

Aku ambil, angkat dan baca. Tulisannya besar, font saiz 20, mungkin. Tidak bertajuk dan tidak bergambar. Namun, tujuan penulisannya tetap jelas tempampang, malah kepada siapa ditujukan pun dapat diketahui.

Apa yang aku nak cerita di sini, kandungannya memburukkan atau lebih jelas lagi, mengutuk salah seorang bekas MPP. Dan aku rasa mungkin si penulis ini adalah salah seorang calon sekarang atau penyokong calon tersebut. Heh, macam-macamlah diorang ni.

Aku letak kertas tersebut atas meja Riduan dan keluar dari bilik, haaa, aku terjumpa satu lagi kertas di atas rak kasut. Aku ambil dan baca, ada tajuk dan salah satu perenggan dibesar dan diboldkan.

Haha, kali ini, kandungan kertas ini jelas ditujukan kepada calon tadi, dengan sedikit pengaruh kepada pelajar kampus agar memilih calon yang lebih baik. Bagi aku, masih ada unsur memburukkan calon tersebut.

Sekali lagi aku ketawa. Macam-macamlah diorang ni.

Jujur aku cakap, aku bukanlah penyokong untuk kedua-dua pihak dalam hal ini. Apatah lagi aku kurang berminat dengan politik, bukan tak suka, cuma tak minat. Aku lebih suka meilhat reaksi para pemain dunia politik kampus. Melihat siapa yang membangkang, siapa yang menentang, siapa yang menang dan siapa yang melatah.

Dan ini adalah salah satu senario yang biasa digunakan dalam dunia politik sebenar, memburukkan calon lain. Semua kesalahan kecil akan ternampak jelas bagaikan gajah. Masing-masing cuba memburukkan lawan untuk mendapat kuasa pentadbiran.

Memburukkan lawan ni memang satu strategi ke? Strategi bagus atau kotor? Bagi aku, biarlah orang main kotor, tapi jangan kita main kotor. Mungkin pemikiran aku ni kolot........ Bukan apa, memburukkan orang lain dah nampak macam menghancurkan imej sendiri, takut sangat bakal tak menang. Dan yang paling orang fikir, kemaruk nak kuasa. 

Tapi bila aku dengar manifesto masing-masing, sama sahaja manifesto kedua-dua pihak. Adakah manifesto ini cuma alat mempengaruhi pelajar? Atau tujuan sebenar perjuangan mereka? Kalau benar manifesto ini yang mereka perjuangkan, kenapa nak berlawan nak menjatuhkan lawan? Ohh, di saat ini, aku terfikir, masing-masing mempunyai agenda di belakang.

Apapun terjadi, semua pemimpin mahukan nama yang baik. Semua pemimpin mahukan kesejahteraan kampus. Semua pemimpin mahukan kebajikan pelajar. Jadi, kenapa tak boleh sepakat dalam hal politik? Agenda......

Sehinggakan semasa mengundi tadi, aku duduk di dewan dengan masa yang lama, tidak tahu yang mana satu perlu dipangkah. Serius.

Kalau diikutkan, semua calon tahun ini amatlah berkaliber. Malah aktif dalam pelbagai aktiviti. Bukan itu sahaja, hampir semua matlamat mereka adalah sama. Namun, hati manusia Allah sahaja yang tahu.

Apapun yang terjadi selepas ini, biar siapa pun yang naik, dah menjadi tanggungjawab dia untuk menunaikan janji-janji, dan menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dan menegur.

Pemikiran aku sentiasa hendakkan kesatuan antara kita, bukan perbalahan, mungkin pemikiran aku ni kolot kot. 

Pilihlah yang mana korang rasa baik untuk korang. Terutamanya, sokonglah mereka yang boleh buat kerja.

Yang pasti, ini pilihan raya kampus pertama yang kontroversi sejak pengalaman aku di matrikulasi. Kikikiki.....

p/s: keputusan dah keluar. Lepas ni kita tengok macam mana rentak diorang menari atas pentas kampus. Akhir kata, maafkan pemikiran kolot ini, aku tak menyokong sesiapa pun sebenarnya. Cuma suka melihat latah orang saja.

Thursday, January 15, 2009

Minggu Penghayatan Islam ke 11




Bismillah.......

Akhirnya, sekali lagi Minggu Penghayatan Islam USMKK datang menemui kita. Tahun ini ada kali ke sebelas MPI diadakan di USMKK dan tahun ini, MPI diterajui oleh saudara Faisal, Medik tahun 2, bersama-sama barisan HICOM serta Exco dan ketua projek yang lain.

Banyak aktiviti yang telah dirangka untuk MPI pada kali ini, ada penambahan aktiviti dan ada juga pengurangan aktiviti dahulu. Namun, aku rasa MPI kali ini bakal menggegarkan USMKK seperti tahun lepas juga.

MPI tahun ni dimulakan pada 27 Disember 2008 dengan aktiviti Kursus Kahwin Fasa I. Tapi aku rasa tak ramai yang tahu waktu tu dah bermula MPI. Namun, hari ni bahang MPI mula terasa apabila bermulanya pameran pada waktu siang dan Majlis Perasmian MPI pada malam hari.

Di sini, aku tak mahulah cerita banyak mengenai MPI. Tapi kalau korang nak tahu, apa salahnya datang menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan nanti. Dan boleh korang nilai sendiri.

Di sini, ada aku sertakan sekali jadual MPI kali ini. Aku edit guna Microsoft Word 2007. Microsoft Word 2007 memang mudah untuk mengcantikkan kerja sebab template dia dah sedia ada. 


p/s: aku tak tahu kenapa tapi aku suka dengan logo MPI yang ni. Logo ni mula digunakan sejak sidang 07/08 dan digunakan hingga MPI yang kini. Mungkin sebab susunan huruf mim, fa dan alif tu yang menjadikan ia menarik.

Tuesday, December 30, 2008