Let's Use Our Imagination!!

Bismillah.......

Mari aku buat satu perumpamaan, dan kamu semua cubalah bayangkan dalam minda masing-masing. Lagi bagus kalau kamu mampu buat sound effect dengan mulut. Gunakan imaginasi kamu sepenuhnya.

Bayangkan tau!!!!! Kalau tak bayangkan, nanti tak realistik jadinya. Nak lagi bagus, lakonkan. Minta tolong rakan-rakan atau adik-adik kamu jika perlu.

Baiklah, mari kita berimaginasi…….

********

Satu hari yang tenang, kamu sedang berjalan-jalan. Lalalala….. Berjalan-jalan….. Lalalalala……. Dan jalan lagi. (Nota : Oh, kamu boleh menyanyi dalam hati dengan lagu apa yang kamu nak, ‘Lalalala…..’ itu cuma satu metafora sahaja.) Mood kamu sekarang ni adalah ceria sakan, seolah-olah baru menang hadiah percutian ke Pulau Tioman selama 7 bulan dan semua perbelanjaan pergi balik termasuk duit poket di sana ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

Lalalala….

Berjalan ceria. Hati gembira berbunga-bunga.

Lalalalala……

Tiba-tiba kamu singgah sebentar di kedai buku. Kamu membeli beberapa buah buku…… okeh, abaikan perenggan ni. Tak penting. Sekadar memanjangkan entri blog sahaja.

Tiba-tiba kamu bercadang nak berjalan ikut satu lorong. Kononnya dah lama kamu rasa nak ikut lorong ni. Kata orang lorong ni merupakan jalan pintas untuk kamu tiba ke destinasi. (Nota : Sekarang, destinasi kamu adalah rumah tercinta. Oh, boleh juga bayangkan destinasi yang kamu mahukan, mengikut kehendak hati masing-masing.) Malah, terdapat juga papan tanda yang menjanjikan lorong ini memang satu jalan pintas. Kawan-kawan kamu pun dah memberikan testimoni bahawa lorong ini memang terbaik.

Kamu pun masuk mengikuti lorong tersebut dengan cerianya. Kamu berjalan hingga ke penghujung lorong. Di lorong tersebut, kamu dapat lihat macam-macam benda pelik. Tapi kamu abaikan dan meneruskan perjalanan kamu hingga ke penghujung lorong. (Nota: tolong jangan fikirkan benda-benda pelik tersebut hingga mengganggu imaginasi kamu. Kalau tidak, susah cerita ni nak habis.) Kamu terus berjalan. Dan berjalan. Dan berjalan. Waktu ini, kamu dah mula kurang ceria, sebab kamu seorang sahaja yang berada di lorong tersebut. (Nota, oh, lupa aku nak beritahu, lorong tu kamu boleh bayangkan dengan apa-apa warna atau apa-apa corak di dindingnya. Terpulang kepada kamu)

Tiba-tiba……. (Nota: untuk jadi realistik lagi, sila buat-buat terkejut. Lebih baik kalau ada elemen berdebar-debar)

Kamu berdiri terpaku. Di hadapan kamu, tanpa disangka-sangka, ada sebuah Tembok Besar China yang menghalang perjalanan kamu. Kini perjalanan kamu terganggu. Rupa-rupanya penghujung lorong ini adalah buntu. (Nota: jangan fikirkan kenapa Tembok Besar China ada di situ. Ini akan mengganggu mood kamu untuk berimaginasi.)

Kamu bengang. Hmmmm……. Bahasa lebih elok, kamu kecewa. Penat kamu berjalan di lorong tersebut akhirnya tak ada jalan keluar. Maka kamu pun berniat nak patah balik. Terpaksalah kamu patah balik sebab itu sahaja jalan keluar yang ada.

Tiba-tiba……. (Nota: sekali lagi, untuk jadi realistik lagi, sila buat-buat terkejut. Lebih baik kalau ada elemen berdebar-debar)

Bangunan di tepi kanan dan kiri kamu tiba-tiba runtuh. Kamu berganjak ke belakang sedikit sambil memerhatikan keadaan yang menakjubkan itu. Kelihatan timbunan batu-bata dan pasir-pasir menghalang jalan keluar kamu sekarang. Dan timbunan runtuhan tersebut terlalu tinggi, setinggi mana yang tak mampu kamu panjat. (Nota: lebih elok jika kamu bayangkan yang sekarang ini kamu sedang terduduk sambil mata terbeliak terkejut. Mulut kamu boleh terlopong jika kamu mahu. Tangan kamu memegang pipi tanda terkejut yang amat.)

Kamu pengsan sebentar. (Nota: jangan koma pula. Sebab kamu mungkin akan koma sehari atau seminggu atau sebulan, bergantung kepada imaginasi masing-masing.) Kamu bangun semula selepas beberapa jam melihat sekeliling sambil terkebil-kebil.

Kamu pandang depan, tepi kanan, tepi kiri, dan belakang. Tak ada jalan keluar. Kamu pandang atas, kamu pandang bawah. Tak ada tanda-tanda yang kapal terbang atau kapal selam akan datang selamatkan kamu. Seolah-olah kamu dah terperangkap di situ. Dan tak ada jalan keluar. Dah buntu. Kamu dah buntu.

Kamu dah buntu!!!

Buntu!!!

Buntu!!!!!

Buntuuuuuuuu!!!!!!!!

********

Oh, kalaulah doa aku mustajab, dah lama aku doakan assignment aku siap secara automatik tanpa perlu aku menaipnya. BUNTU DAH AKU. Bahan ada tapi tak faham. Nak buat 20 muka surat, baru 2 muka surat je yang siap.

ARGHHHHHHHH!!!!!!!!

Sekian…

p/s: terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini walaupun aku agak mengarut sedikit. Semuanya gara-gara assignment aku. Arghhhhhh……….

Saturday, September 18, 2010

Tentu Kamu Dapat Duit Raya kan???

Bismillah..........

Okeh, aku mulakan entri kali ini dengan sedikit petikan khutbah raya pada pagi 1hb Syawal yang aku sempat dengar di masjid. Sekadar petikan untuk direnung. Dan terpulang pada kamu semua untuk setuju atau tidak.

"Barangsiapa yang amalan Ramadhannya lebih baik dari tahun lepas, maka dia telah beroleh kejayaan. Barangsiapa yang amalan Ramadhannya sama seperti tahun lepas, maka dia dalam kerugian. Barangsiapa yang amalan Ramadhannya kurang dari tahun lepas, maka dia berlaku zalim."

Lebih kurang begitulah petikannya. Jadi, aku nak bertanya di sini kepada kamu semua. Kamu berada dalam kumpulan yang mana??? Aku mungkin dalam kumpulan yang……

Minta maaf, sahaja aku taipkan petikan ini untuk kita sama-sama muhasabah akan amalan kita. Apapun, semoga seluruh amalan kita diterima Allah, biar sikit ataupun banyak.

********

Kamu pandai menganyam ketupat tak?? Oh, ketupat ada macam-macam jenis kan. Maksud aku, kamu tahu tak menganyam ketupat yang bentuk empat segi???

Mestilah kamu tahu kan??? Terutamanya cik-cik pembaca perempuan sekalian.

Huhuhu, dulu aku pernah belajar anyam ketupat dari nenek aku. Waktu tu aku tingkatan lima. Pernah juga aku belajar masa kecil dulu, tapi tak dapat-dapat juga menguasai ilmu menganyam ketupat masa tu. Mungkin masa tingkatan lima tu, hati aku terang, itu yang membuatkan aku mudah dapat ilmu anyam ketupat ni.

Dah pandai anyam ketupat masa tu, mulalah aku bertanding dengan kakak-kakak aku, siapa buat ketupat paling laju dan paling banyak. Dan akulah yang paling hebat sekali. Mereka semua kalah teruk sampai menangis-nangis guling-guling. Okeh, aku tipu. Takkanlah aku nak bertanding dengan diorang, kalah teruklah aku kan. Kakak-kakak aku dah berpengalaman dari aku. Mereka dari kecil dah ibarat pelajar phD dalam subjek menganyam ketupat.

Kemudian, tahun depannya aku masuk matrik. Kemudian masuk USM tahun pertama. Tahun kedua. Tahun ketiga. Tiap-tiap kali raya mesti balik lewat. Dah nak raya baru balik. Dah balik, mulalah letih dan tidur sahajalah kerja aku. Akhirnya, 4 tahun dah aku tak anyam ketupat.

Malam Syawal yang pertama (Khamis) mak dengan kakak aku anyam ketupat. Aku pun tengok sahaja dari tepi. Terasa pula nak menyibuk sama menganyam ketupat dengan mereka. Tapi ilmu anyam ketupat aku dah hilang. Aku dah lupa dah cara-cara nak anyam ketupat. Empat tahun tak menganyam ketupat. Maka dengan tak malunya aku minta mak aku ajarkan semula kepada aku.

Mak aku ajar sekali. Yesss, menjadi ketupat aku. Tapi aku rasa pelik sedikit sebab cara mak aku ajar menganyam ni lain sikit dari yang aku belajar dulu. Kemudian aku cuba sendiri. Ehhhh, kenapa tak menjadi??

Aku cuba lagi untuk kali kedua, dan ketiga. Dan juga keempat. Masuk atas, bawah, atas, kemudian bawah, atas, bawah, kemudian…..Pun tak menjadi juga. Aku cuba lagi. Gigih betul aku masa tu. Mak cik aku pun tengok aku dengan pandangan sayu. Nekad aku, kali ni mesti menjadi. Pantang aku dipandang sayu ni.

TAK JADI JUGAAAAAAAA……….

Kakak aku fed-up. Di ajarnya aku anyam ketupat cara dia. Hah, cara dia memang serupa dengan cara aku belajar dulu. Teringat aku balik cara nak anyam ketupat. Akhirnya, berkat usaha kakak aku, aku berjaya menguasai semula ilmu menganyam ketupat. Oh, aku betul-betul terharu. Rasa nak mengalir air mata. Tapi aku tahan.

Sesungguhnya kalau kamu anyam ketupat dan ianya menjadi, mesti kamu rasa puas. Aku pun rasa puas juga. Siap teruja lagi. Aku pandang mak aku. Terniat sesuatu di hati aku. Aku tanya mak aku.

“Mak, boleh tulis nama tak dekat ketupat ni, tanda abang yang buat??”

Kamu tahu mak aku jawab apa??? Dia tak jawab apa-apa. Tapi dia senyum menganjeng. Cessss…….. terus aku matikan niat aku yang nak cari pen marker untuk tulis nama aku kat ketupat tu.

Dan nasib baik juga aku tak ada kamera waktu tu……

******

Sebut mengenai ketupat, aku teringat akan hasil karya aku yang lama dahulu. Banner ucapan Selamat Hari Raya yang aku buat untuk MPD Nurani. Aku guna gambar ketupat. Ingat nak buat entri pasal banner ni tahun lepas, tapi tak jadi.

Dan di sini juga, walaupun dah 3hb Syawal, aku nak ucapkan kepada semua pembaca blog aku yang picisan ini.

SELAMAT MENYAMBUT ‘EIDULFITRI

Semoga kamu semua memaafkan kesalahan dan dosa yang telah aku lakukan sama ada di dalam penulisan blog aku ataupun di luar daripada blog aku. Minta maaf kamu semua atas segala-galanya.

p/s: aku terjumpa link Satria Baju Hitam edisi Melayu. klik sini. Siot betul..... huhuhu.....


Sunday, September 12, 2010

Angin September Kian Terasa (Perghhhh, tajuk.....)

Bismillah..........

Sekarang dah masuk 1 September. Tiba-tiba aku rasa nak layan lagu ni. Sedap juga lagi ni. Macam boleh layan perasaan sikit. Kamu yang nak dengar bolehlah cari di internet. Lagu Daughtry memang menarik.

DAUGHTRY
September

How the time passed away
All the trouble that we gave
And all those day we spent out by the lake
Has it all gone to waste?
All the promises we made
One by one they vanished just the same

All the things I still remember
Summers never looked the same
Years go by and time just seems to fly
But the memories remain
In the middle of September
We still played out in the rain
Nothing to lose but everything to gain
Reflecting now on how things could've been
It was worth it in the end

Now it all seems so clear
There's nothing left to fear
So we made our way by finding what was real
Now the days are so long
That summer's moving on
Reach for something that's already gone

All the things I still remember
Summers never look the same
Years go by and time just seems to fly
But the memories remain
In the middle of September
We still played out in the rain
Nothing to lose but everything to gain
Reflecting now on how things could've been
It was worth it in the end

Yeah, We knew we had to leave this town
But we never knew when and we never knew how
We would up here the way we are

We knew we had to leave this town
But we never knew when and we never knew how

All the things I still remember
Summers never look the same
Years go by and time just seems to fly
But the memories remain
In the middle of September
We still played out in the rain
Nothing to lose but everything to gain
Reflecting now on how things could've been
It was worth it in the end

Peristiwa pagi semalam masih buat aku tersenyum hingga sekarang. Sampai bila ya senyuman tu boleh aku tahan? Adakah aku akan tersenyum pada masa akan datang seperti sekarang?

Mungkin aku bukanlah yang terbaik, tapi bagi aku, dia lebih baik dari aku.

Tuesday, August 31, 2010

Ungkit Semula Kenangan Lampau.........

Bismillah.........

Aku baring di atas tilam. Memandang siling sambil menyejukkan badan dihembus angin kipas. Mata berkelip-kelip menahan mengantuk. Pandangan aku alihkan pula ke luar tingkap. Kelihatan dahan-dahan pokok bergoyang dipukul angin petang. Perlahan-lahan bergoyang. Ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah sedang melambai kepada seseorang.

Teringat aku kepada hari ini. Hari ini, hari Nuzul Quran. Hari turunnya ayat Al-Quran kepada Rasulullah satu ketika dahulu. Hari yang bersejarah yang patut diingati oleh kita semua. Dan…. Aku teringat akan seseorang pada hari ini.

Sambil memerhatikan lambaian dahan-dahan, aku mula mengimbau masa lampau aku dengannya.

*********

Satu ketika dahulu, kami adik-beradik sering menunggu ketibaan hari lahir. Dan apabila hari lahir masing-masing menjelma, dia memberi pilihan. “Nak mainan atau nak kek?” Jawab salah satu dan dia akan memberikannya sebagai hadiah hari lahir. Bila kami dah besar, dia beri duit untuk disimpan di dalam bank. Lebih terjamin masa depan, katanya.

Satu ketika dahulu, dia menyedari yang aku mula suka melukis. Aku kecil lagi pada masa itu. Melukis dalam buku latihan adalah kebiasaan. Dipanggilnya aku dan aku diberinya buku lukisan kecil. “Lukis cantik-cantik. Jangan lukis atas dinding. Melukis pun boleh dapat duit juga.” Itulah pesanan dia. Aku ingat lagi buku lukisan yang dia beri bermuka depan gambar Ninja Turtle.

Satu ketika dahulu, dia pernah memarahi aku kerana tidak membuat keputusan dengan betul. Diajarnya aku supaya berfikir dalam-dalam, supaya berfikir cara matang, supaya berfikir dengan luas. Dan akhirnya jangan bongkak. Bagi aku yang masih kecil, agak sukar aku memahami cara berfikir tersebut. Namun sekarang baru aku mengerti.

Satu ketika dahulu, aku sering menemani dia membeli barang di pasar. Laluan daging kami lalui. Gerai ayam kami lewati. Peniaga ikan kami dekati. Barang-barang kering kami cari. Santan dan kelapa kami beli. Roti canai untuk makanan pagi. Hampir semua peniaga di pasar yang biasa dengannya telah aku kenali. Aku bukan membeli, cuma sekadar menolong dia mengangkat barang yang telah dibeli. Dan upahnya, dia beri duit untuk aku membeli majalah Ujang atau majalah lain.

Satu ketika dahulu, aku sering mengikutinya ke perhimpunan rakan-rakannya. Kadang-kala ada tahlil arwah. Ada ketika ke kenduri. Ada juga ke surau menghadiri jemputan orang. Yang selalu aku ikut adalah ke surau untuk bersolat terawih dan ke rumah kawannya untuk bertakbir raya. Dari situlah aku mula memerhati betapa akrabnya dia dengan rakan-rakan. Walaupun dia yang paling tua, namun usia tak langsung diambil kira.

Satu ketika dahulu, apabila akan menghadapi peperiksaan, aku mesti meminta dia mendoakan kejayaan aku. Dengan itu aku rasa lebih yakin menjawab peperiksaan. Apabila sedikit kejayaan aku kecapi, tak pernah dia perlekehkan. Kami adik-beradik sering dibelanjanya makan, tanda betapa sukanya dia apabila kami berjaya dalam pelajaran. Ilmu itu penting, katanya.

Satu ketika dahulu, dia masuk ke hospital. Dia akan menjalani rawatan. Semuanya seperti biasa, tiada tanda sakit di raut mukanya. Tiada tanda dia akan meninggalkan kami. Tiada apa-apa. Dipesannya kepada aku, “Belajar baik-baik. Subjek lemah, biar diperbaiki, subjek mahir, dipertingkatkan lagi.” Aku tidak syak apa-apa. Namun, itulah pesanan terakhirnya kepadaku.

Dan satu ketika dahulu, dia akhirnya meninggalkan kami. Dia akhirnya pulang ke daerah janji. Ke sisi Ilahi. Semoga pemergiannya dalam bulan Ramadhan diberkati. 17 Ramadhan 1424, tarikh Nuzul Quran dia pergi.

Kini, tiada lagi nasihat daripadanya. Tiada lagi kisah-kisah menariknya. Tiada lagi pelukannya pada hari raya. Tiada lagi bacaan doanya.

Bagi aku, arwah memang istimewa.

**********

Kita masing-masing ada memori yang sedih. Kita masing-masing ada cerita yang perit. Kita masing-masing ada peristiwa yang melankolik. Namun, itu sebenarnya satu anugerah kepada kita, agar kita lebih tabah dalam menjalani masa-masa yang akan datang. Sesungguhnya itu satu ujian yang besar kepada kita. Cuma adakah kita mampu mengatasi ujian tersebut atau tidak??

Kawan-kawan, mari kita meluangkan masa sejenak menghadiahkan arwah dengan bacaan Fatihah. Sebentar sahaja. Niatkan juga kepada kaum kerabat, rakan-rakan atau sahabat handai atau semua umat Islam yang telah meninggal dunia. Semoga roh mereka semua dicucuri rahmat.

AL-FATIHAH.

Friday, August 27, 2010