Design Baju Karnival Sukan MPD

Bismillah.....

Aku berjalan pulang perlahan dari masjid Murni dengan Ikram. Dalam perjalanan kami pulang ke Desasiswa Nurani, banyak nasihat tentang perjalanan program yang diberikan daripadanya kepada aku. Memang aku yang minta nasihat tu sebab nak licinkan perjalanan program tersebut satu hari nanti.

Sesampai aku di bilik, aku mendapat satu pesanan ringkas dari seorang kawan. Dia mahu berjumpa dengan aku untuk membincangkan sesuatu. Aik, aku ada buat salah ke, atau aku ada pegang apa-apa jawatan ke buat masa ni, yang melibatkan semua persatuan? Tiada pula setahu aku.

Aku memberikan nombor bilik kepadanya. Delang beberapa minit kemudian, dia datang.

“Aku nak minta kau design baju untuk Karnival Sukan MPD.”

Oh, minta tolong buat design. Kawanku ini, Pan, (bukan nama sebenar) sememangnya budak grafik dan terer dalam bidang ni. Kalau dibandingkan aku dengan dia, macam mengukur panjang lidi dengan tongkat. Tapi disebabkan ketua Pan ni hendakkan lebih dari satu design baju, maka dia terpaksalah mencari aku, yang tak seberapa ini dengan rakan-rakan lain yang boleh membuat design.

Beberapa deskripsi diberikan kepada aku mengenai design tersebut. Baju berwarna merah putih, mempunyai logo MPD, ada tertulis Karnival Sukan MPD dan perlu buat dalam baju berkolar, baju tanpa kolar, lengan panjang dan pendek.

Tapi disebabkan aku pada waktu itu sememangnya sibuk dengan ulangkaji pelajaran TBM waktu itu, dengan tarikh peperiksaan yang akan datang beberapa hari sahaja lagi, aku setuju tolong dia tapi aku memberitahu aku tidak dapat buat dengan baik sebab sibuk. Dia setuju kerana dia pun faham masalah aku.

Akhirnya, sedikit masa yang ada apabila kepala aku dah tepu dengan ilmu, aku cuba siapkan design baju tersebut. Malas nak buat baju kolar baru, aku guna template baju kolar yang aku buat untuk design baju PMI dulu. Cuma tukar warna dan tambah sedikit perkataan dan logo sahaja. Sama juga dengan baju tanpa kolar ni.

Apapun, hasilnya adalah seperti di atas. Mungkin design kali ini aku buat terlampau ringkas. Sibuk beb. Kalau ada masa, aku nak letak gambar orang bersukan, tapi nak mencari gambar yang sesuai bukan mengambil masa yang singkat, jadi aku cuma buat seringkas ini sahaja.


Tak diterima tak mengapa, cuma menolong kawan sahaja.

p/s: rendah diri aku bila orang hebat lagi daripada aku datang minta tolong dari aku yang sememangnya sengkek ni.

Wednesday, November 5, 2008

Kain Rentang

Bismillah.........
“Wan, jom kita buat kain rentang ucap selamat berjaya pada pelajar PSK.” Aku memberikan cadangan kepada Ridwan, rakan sebilik aku merangkap Yang Dipertua Persatuan Sains Kesihatan (PSK).

“Hmmm....” Ridwan berfikir, masih belum memberikan kata putus.

“Alaa, tahun lepas pun PSK buat kain rentang juga.” Aku cuba mencucuk jarum lagi. Tapi apa yang aku katakan sememangnya benar belaka. Kenangan membuat kain rentang bersama-sama abang Ibrahim, bekas YDP PSK, abang Zuhaili, Exco Kerohanian, Zairi, Aziaty, Tengku Atirah dan 2 orang perempuan yang aku tidak tahu namanya berlegar di fikiran (gambar di bawah).

Kain rentang atau selalu dipanggil orang sebagai banner merupakan satu mesej yang mudah yang dapat disampaikan, diumumkan atau diberitahu secara spontan kepada sesiapa sahaja yang memandangnya dan membacanya.

Ada dua cara untuk menghasilkan kain rentang, iaitu secara manual dan secara cetakan. Penghasilan secara manual memerlukan tenaga kerja lebih dari seorang jika ingin menyiapkannya dalam masa yang singkat, tetapi murah. Penghasilan secara cetakan pula mengambil masa yang singkat namun memerlukan bayaran cetakan komputer dan kain sintetiknya.

Aku sememangnya dah ada banyak pengalaman dalam membuat kain rentang ni, baik secara manual mahupun cetakan. Aku pernah diberi beberapa tugasan sebelum ini dalam pembikinan kain rentang dan juga pernah menyertai pertandingan kain rentang sempena Minggu Patriotisme (sayangnya kumpulan aku kalah).
Pengalaman aku bermula di zaman sekolah menengah, aku dah berkali-kali melihat bagaimana cikgu seni aku membuatnya. Tapi, aku masih tak setanding cikgu seni aku lagi. Kenapa? Sebab kain rentang yang paling besar pernah aku buat secara manual, adalah kain rentang sempena Hari Terbuka Desa (gambar di bawah) tetapi cikgu seni aku pernah membuat 4 potret perdana menteri dalam kain rentangnya sempena sambutan patriotisme sekolah dahulu. Memang aku kagum dengan beliau.

Apa pun, kain rentang kali ini sememangnya lain daripada yang lain. Ridwan telah membekalkan aku kain biru, bukan kain putih seperti yang selalu aku buat. Keluasan kain yang kecil ini juga menyebabkan aku ketandusan idea mengenai corak yang patut aku letakkan di dalamnya. Namun aku cuba juga meletakkan corak ringkas (mungkin terlampau ringkas).



Tapi, aku teruskan juga sedaya yang boleh. Biar keputusan tidak menarik atau cantik asalkan mesej dapat disampaikan.

Proses awal dalam pembikinan kain rentang ini mestilah dengan melakar tulisan atau lukisan di atas kain tersebut. Dalam proses ini, aku biasanya menggunakan kertas yang telah di cetak perkataan terlebih dahulu kemudian menekapnya di atas kain. Cara ini jimat, tidak perlu alatan lain dan mudah dalam menentukan komposisi perkataan.

Antara cara lain adalah dengan menekap dan melakar semula setelah dipancarkan imej projektor. Namun cara ini memerlukan projektor, yang sememangnya sukar dicari. Terdapat juga cara memotong perkataan terlebih dahulu kemudian menekapnya. Cara ini selalunya dikatakan jimat kertas tetapi percayalah, ia menyusahkan dan sukar menentukan komposisi perkataan di atas kertas.

Setelah dilakar, tibalah masa untuk mengecatnya. Ridwan telah awal-awal lagi memanggil beberapa exco untuk mengecat dua kain rentang ini, antaranya Exco Grafik, Exco Akademik dan Exco Kerohanian serta orang bawahan mereka. Proses cat berjalan agak lancar kiranya.

Dan proses terakhir ialah touch up setelah dikeringkan. Huh, proses ini agak sukar sedikit. Selalunya touch up ini dijalankan ke atas subjek yang memerlukan keperincian, dalam kain rentang ini, logo USM memerlukan touch up, terutamanya yang bahagian belang harimau tu. Setelah semuanya berpuas hati barulah kain rentang akan digantung di tempat yang strategik, di tempat kebanyakan orang lalu dan dapat melihatnya.

p/s: Terima kasih aku dan Ridwan ucapkan kepada semua yang telah menolong menghasilkan kain rentang ini. Memang buang masa sedikit, tapi sekurang-kurangnya kita dah membantu PSK dalam menjayakan salah satu pengisiannya. Lagi satu, aku yakin, semua yang terlibat dah dapat ilmu mengenai proses penghasilan kain rentang. Kikikiki........

Thursday, October 30, 2008

Stories of Sudin

Bismillah.......
Nanti le satu hari nanti aku cerita apa tujuan sebenar aku wat cerita Stories of Sudin ni.........
Sebenarnya ni episod ke 3, dua episod sebelum ni aku tak scan lagi........

Sunday, October 26, 2008

Seni Azan Suatu Permulaan


Bismillah........

Hari ini, aku pergi masjid awal, dalam pukul 12 tengahari. Aku datang awal ada tujuannya, aku nak habiskan beberapa surah agar cepat khatam. Lama dah tertunggak, lama sangat dah aku sibuk, sekaranglah masanya aku nak cuba habiskan. Selepas solat sunat tahiyatul masjid, aku pun mula membaca hinggalah beberapa helai muka aku selak. Dan tanpa aku sedari, masa pun turut sama bergerak. Demi masa.........

“Allahu akbarullahu akbar” takbir azan bergema. Ish, dah masuk zohor dah rupanya. Aku tamatkan bacaan aku hingga habis muka surat 468.

Dan seperti biasa, alunan azan kali ni sedap kedengaran. Indah rasanya. Memang azan muazzin kat masjid ini salah satu azan kegemaran aku. Muazzin masjid ini selalu melaungkan azan dalam dua versi, satu versi yang biasa digunakan oleh bekas teman bilik aku dulu dan versi ini versi yang sememangnya aku suka sejak dahulu lagi, sama dengan versi kawan aku di matrik Perak dahulu.

Tiba-tiba aku terpanggil untuk menulis satu artikel mengenai azan. Ya, azan juga satu seni, seni azan, seni yang indah jika dibandingkan dengan seni menggunakan suara yang lain. Jadi, marilah kita mengenali seni azan dengan lebih mendalam lagi.

Azan adalah suatu lafaz khusus yang digunakan oleh umat Islam untuk memberitahu saudara Islam yang lain bahawa telah masuk waktu solat dan panggilan untuk bersolat. Azan terdiri lafaz takbir, lafaz dua kalimah syahadah, lafaz panggilan atau seruan dan lafaz tauhid di akhir. Sebenarnya ayat al-Quran mengenai azan ni tiada tetapi ada ayat yang hampir kepada penyeruan solat.

“Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) sembahyang.........”
Surah Al-Maidah, 58
“Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum'at..........”
Surah Al-Jumu’ah, 9

Jadi, biarlah aku terangkan serba sedikit mengenai sejarah azan. Sejarah azan bermula sejak tahun pertama hijrah lagi. Pada suatu hari, nabi Muhammad s.a.w telah mengumpulkan para sahabat untuk berbincang mengenai cara apakah yang sesuai untuk memberitahu telah masuknya waktu solat merangkap memanggil mereka segera bersolat.

Maka pelbagai cadangan telah diutarakan. Antaranya adalah dengan menyalakan api, memukul kayu, membunyikan loceng, meniup serunai atau trompet dan lain-lain lagi. Atas alasan tertentu, kebanyakan cadangan-cadangan ini telah ditolak. Akhirnya Saidina Umar al-Khattab telah memberikan cadangan agar dilaungkan sahaja yang menandakan waktu solat telah tiba. Timbul pula mimpi dari Abdullah bin Zaid tentang laungan azan dan diberitahu kepada baginda. Baginda akhirnya setuju dan menyuruh Bilal bin Rabah agar melaungkan azan.

Orang Melayu kita sering tersilap memanggil muazzin dengan bilal. Jadi, mari kita betulkan, orang yang melaungkan azan bukan jawatan bernama bilal tetapi jawatan bernama muazzin.

Sekarang kita masuk kepada bab utama. Kenapa aku dan sesetengah orang mengkategorikan azan di dalam seni?

Seperti yang kita tahu, azan digunakan sebagai pemberitahuan dan panggilan waktu solat. Maka muazzin yang melaungkan azan adalah lelaki tetapi bukan semua laki mempunyai suara yang sama. Ada suara yang lunak, ada suara yang keras, malah ada yang bersuara serak dan bermacam-macam suara lagi. Suara adalah salah satu faktor seni dalam azan. Ia mencantikkan lagi azan. Maka azan yang didengari kita terasa indah dan sedap. Suara serak atau keras tidak semestinya tidak sedap, asal pandai memanipulasikan suara, sedaplah jadinya.

Namun, faktor suara sahaja tidak mencukupi. Antara faktor penting yang lain ialah bagaimana ia dilaungkan atau bagaimana ia dilagukan. Ini mungkin faktor penting yang cukup membuatkan azan berseni. Kita sering mendengar azan, maka mesti kita selalu mendengar azan yang berlainan, ada azan yang laju bacaannya, ada azan yang perlahan, ada juga azan yang mendayu-dayu, malah ada juga azan yang sekadar bacaan sahaja. Namun bagi pendapat aku, lain orang, lainlah caranya melaungkan azan. Tetapi jangan lupa, cara melagukan azan tetap boleh diikuti. Dari sinilah timbulnya apa yang aku panggil sebagai versi.

Sememangnya azan yang berseni dapat meninggalkan kesan kepada muazzin dan juga kepada pendengarnya. Azan yang berseni cukup indah hingga dapat menapakkan kesan kepada pendengar dan seterusnya merangsang untuk menghayatinya. Malah seni azan yang cukup-cukup baik adalah panggilan yang dapat memanggil atau merangsang manusia agar bersolat pada waktu itu juga. Inilah yang cukup susah, kerana untuk menjayakan seni azan seperti ini memerlukan muazzin yang menjiwai laungan azannya.

Namun, berkesan atau tidak azan tersebut tetap bergantung kepada pendengar juga. Jikalau pendengar yang berhati batu, mungkin sukar untuk menggerakkannya. Namun, seni azan yang baik mungkin dapat melicinkan jalan agar batu tersebut bergerak sedikit. Aku teringat kisah sahabat nabi, di mana beliau mendengar azan, maka beliau terus menangis teresak-esak hingga merah matanya, sehingga hairan orang di sekelilingnya. Betapa tinggi imannya. Kita yang dengar azan mendayu pada zaman sekarang pun mungkin melayan tidur terlebih dahulu dengan alasan penat bekerja.

Jika dilihat secara keseluruhan, azan bukan pada suara dan bacaan sahaja. Terdapat juga faktor lain mengapa aku mengklasifikasikan azan sebagai seni. Salah satu sebabnya adalah tertib dalam melaungkan azan dan juga kedudukan semasa melaungkan azan. Hendak melaungkan azan ada tertibnya, malah ada juga jawapannya. Dari segi kedudukan pula, ada caranya, berdiri tegak, menghadap kiblat dan juga meletakkan dua jari di telinga. Bukannya melaungkan azan sambil bergerak atau menari. Malah ketika lafaz seruan, kepala harus dihadapkan ke kanan dan ke kiri.
Terlau berseni rasanya azan ini. Cukup berseni. Bukan dari segi luaran malah juga dalaman. Di akhir pena ini, aku menyeru agar semua termasuklah diri aku ini dapat mencuba melaungkan azan dengan baik dan tertib. Tidak mengapa jika suara atau lagu tidak sedap, namun perlu diingatkan, niat melaungkan azan adalah seni yang cukup susah dicapai, apatah lagi jika sedap pula bacaannya dan suaranya.

“Segala amalan adalah berdasarkan niat..”
Hadis sahih Bukhari dan Muslim

p/s: Teringat aku kenangan silam antara aku dengan seni azan ni. Masa di sekolah menengah (kenangan yang aku nak lupakan) dan kenangan di matrik Perak (kenangan mempelajari melaungkan azan dari saudara Ehsan dan kenangan silap bacaan azan). Kikikiki........

Friday, October 24, 2008