Ungkit Semula Kenangan Lampau.........

Bismillah.........

Aku baring di atas tilam. Memandang siling sambil menyejukkan badan dihembus angin kipas. Mata berkelip-kelip menahan mengantuk. Pandangan aku alihkan pula ke luar tingkap. Kelihatan dahan-dahan pokok bergoyang dipukul angin petang. Perlahan-lahan bergoyang. Ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah sedang melambai kepada seseorang.

Teringat aku kepada hari ini. Hari ini, hari Nuzul Quran. Hari turunnya ayat Al-Quran kepada Rasulullah satu ketika dahulu. Hari yang bersejarah yang patut diingati oleh kita semua. Dan…. Aku teringat akan seseorang pada hari ini.

Sambil memerhatikan lambaian dahan-dahan, aku mula mengimbau masa lampau aku dengannya.

*********

Satu ketika dahulu, kami adik-beradik sering menunggu ketibaan hari lahir. Dan apabila hari lahir masing-masing menjelma, dia memberi pilihan. “Nak mainan atau nak kek?” Jawab salah satu dan dia akan memberikannya sebagai hadiah hari lahir. Bila kami dah besar, dia beri duit untuk disimpan di dalam bank. Lebih terjamin masa depan, katanya.

Satu ketika dahulu, dia menyedari yang aku mula suka melukis. Aku kecil lagi pada masa itu. Melukis dalam buku latihan adalah kebiasaan. Dipanggilnya aku dan aku diberinya buku lukisan kecil. “Lukis cantik-cantik. Jangan lukis atas dinding. Melukis pun boleh dapat duit juga.” Itulah pesanan dia. Aku ingat lagi buku lukisan yang dia beri bermuka depan gambar Ninja Turtle.

Satu ketika dahulu, dia pernah memarahi aku kerana tidak membuat keputusan dengan betul. Diajarnya aku supaya berfikir dalam-dalam, supaya berfikir cara matang, supaya berfikir dengan luas. Dan akhirnya jangan bongkak. Bagi aku yang masih kecil, agak sukar aku memahami cara berfikir tersebut. Namun sekarang baru aku mengerti.

Satu ketika dahulu, aku sering menemani dia membeli barang di pasar. Laluan daging kami lalui. Gerai ayam kami lewati. Peniaga ikan kami dekati. Barang-barang kering kami cari. Santan dan kelapa kami beli. Roti canai untuk makanan pagi. Hampir semua peniaga di pasar yang biasa dengannya telah aku kenali. Aku bukan membeli, cuma sekadar menolong dia mengangkat barang yang telah dibeli. Dan upahnya, dia beri duit untuk aku membeli majalah Ujang atau majalah lain.

Satu ketika dahulu, aku sering mengikutinya ke perhimpunan rakan-rakannya. Kadang-kala ada tahlil arwah. Ada ketika ke kenduri. Ada juga ke surau menghadiri jemputan orang. Yang selalu aku ikut adalah ke surau untuk bersolat terawih dan ke rumah kawannya untuk bertakbir raya. Dari situlah aku mula memerhati betapa akrabnya dia dengan rakan-rakan. Walaupun dia yang paling tua, namun usia tak langsung diambil kira.

Satu ketika dahulu, apabila akan menghadapi peperiksaan, aku mesti meminta dia mendoakan kejayaan aku. Dengan itu aku rasa lebih yakin menjawab peperiksaan. Apabila sedikit kejayaan aku kecapi, tak pernah dia perlekehkan. Kami adik-beradik sering dibelanjanya makan, tanda betapa sukanya dia apabila kami berjaya dalam pelajaran. Ilmu itu penting, katanya.

Satu ketika dahulu, dia masuk ke hospital. Dia akan menjalani rawatan. Semuanya seperti biasa, tiada tanda sakit di raut mukanya. Tiada tanda dia akan meninggalkan kami. Tiada apa-apa. Dipesannya kepada aku, “Belajar baik-baik. Subjek lemah, biar diperbaiki, subjek mahir, dipertingkatkan lagi.” Aku tidak syak apa-apa. Namun, itulah pesanan terakhirnya kepadaku.

Dan satu ketika dahulu, dia akhirnya meninggalkan kami. Dia akhirnya pulang ke daerah janji. Ke sisi Ilahi. Semoga pemergiannya dalam bulan Ramadhan diberkati. 17 Ramadhan 1424, tarikh Nuzul Quran dia pergi.

Kini, tiada lagi nasihat daripadanya. Tiada lagi kisah-kisah menariknya. Tiada lagi pelukannya pada hari raya. Tiada lagi bacaan doanya.

Bagi aku, arwah memang istimewa.

**********

Kita masing-masing ada memori yang sedih. Kita masing-masing ada cerita yang perit. Kita masing-masing ada peristiwa yang melankolik. Namun, itu sebenarnya satu anugerah kepada kita, agar kita lebih tabah dalam menjalani masa-masa yang akan datang. Sesungguhnya itu satu ujian yang besar kepada kita. Cuma adakah kita mampu mengatasi ujian tersebut atau tidak??

Kawan-kawan, mari kita meluangkan masa sejenak menghadiahkan arwah dengan bacaan Fatihah. Sebentar sahaja. Niatkan juga kepada kaum kerabat, rakan-rakan atau sahabat handai atau semua umat Islam yang telah meninggal dunia. Semoga roh mereka semua dicucuri rahmat.

AL-FATIHAH.

Friday, August 27, 2010