Aiskrim Best Aku Belikan Pada Mereka......

Bismillah.......

Ada satu ucapan yang aku baca dalam komik Kartini yang baru aku beli di Pesta Buku Kelantan baru-baru ini. Komik yang suatu ketika dulu cukup suka aku baca semasa sekolah rendah dahulu. Kini muncul semula dalam bentuk koleksi kecil. Amat nostalgik.

“Tapi apa yang kita paling nak, itulah yang kita takkan dapat…”

Itulah kata-kata Kartini kepada Yon. Terdiam juga aku, berhenti sebentar membaca. Ayat nampak ringkas, tapi ‘makan dalam’. Mungkin kamu tak pernah mengalaminya, tapi aku faham erti tangan yang tak dapat menggenggam hasrat……

Ya, aku memang cukup faham…….

Erti kegagalan........

******

Ini cerita minggu lepas. Malam tu aku baru balik makan. Esoknya pula ada peperiksaan Kimia Surih. Baru sahaja aku bersemangat nak mula membaca nota yang agak-susah-difahami-dan-diingati tu, tiba-tiba Syuk beri aku mesej guna Google Talk. Dia ajak aku makan aiskrim. Aiskrim percuma.

Terus aku berlari pergi bilik dia. Tak sampai seminit pun rasanya dari dia hantar mesej tu. Huhuhu….. Rupanya Daus beli aiskrim Walls, yang ada gambar Mawi pada kotak luarnya. Harganya RM5, tapi percuma dua. Maknanya kamu beli RM5 dapat tiga kotak aiskrim. Memang murah muka Mawi ni eh, saham jatuh kot, huhuhu…. (jangan beritahu Mawi, juga minta maaf jika kamu peminat Mawi, no offense okay.)

Apapun, dari situ, aku dapat idea nak belanja budak-budak forensik lain untuk makan aiskrim tu sama-sama. Kebetulan pula, mereka rancang nak buat BBQ guna duit lebih Pertandingan Futsal dan Bola Jaring Piala Pengarah dulu. Che Jo pun setuju juga sebab harga aiskrim tu murah sangat, macam promosi. Dah tu, siapa tak minat makan aiskrim kan??

Jadi, aku dapatkan duit daripada Wali. Wali masih pegang duit baki Pertandingan Futsal dan Bola Jaring Piala Pengarah hari tu. Aku minta duit sepuluh ringgit untuk beli aiskrim-aiskrim tu. Takkanlah aku nak guna duit aku kan, aku dah le kedekut. Tapi tak adalah sampai tahap Haji Bakhil.

Malam BBQ diadakan, aku dengan Che Jo pun belilah aiskrim tersebut. Mulanya aku nak beli satu sahaja, dapat kuantiti tiga kotak aiskrim kan??? Tapi Che Jo cadangkan beli dua, dapat kuantiti 6 kotak aiskrim. Mana yang tak habis, kami bedal lah nanti. Bagus juga cadangan Che Jo, jadi aku habiskan semua duit sepuluh ringgit yang Wali beri tu. Aku tambahkan duit aku untuk beli dua buku roti. (haaa, kan aku dah kata, aku tak kedekut sangat)

Aktiviti BBQ malam tu.....

Malam tu, mereka yang dapat makan aiskrim tu, makanlah dengan muka gembira. Mungkin sebab petang tu panas sampai ke malam, sukalah makan aiskrim yang sejuk tu. Tiga kotak perisa vanilla, tiga kotak lagi perisa vanila campur strawberi.

Gambar Asma terliur nak makan aiskrim. Dia malu nak minta dengan Quzie dan Saziana.

Bila Quzie pelawa, barulah Asma gembira, tapi masih malu-malu lagi.

Masa tu Wali buat cerita, kononnya aku yang belanja mereka makan aiskrim. Padahal aku beli guna duit pertandingan juga. Huhuhu…… Aku duduk diam saja lah sambil mengagih-agihkan aiskrim bersama Zeila. Aku dengar respon budak-budak ni. Aku lupa siapa yang cakap, tapi aku ingat ada suara Lea ngan Asma.

“Biar betul???”

“Hah, betul ke dia belanja??? Macam tak percaya.”

“Cuba kau tengok tarikh mati dia, entah-entah dah luput kot aiskrim ni.”

Tak guna betul……. Kedekut sangat ke aku ni??? Yang respon ketiga tu aku tak boleh tahan tu. Huhuhu….

Apabila ada budak forensik bergambar. Macam-macam gaya ada......

p/s: kamu tahu tak aiskrim RM 5 dapat tiga kotak yang aku cakapkan ni??? Kalau tak tau, atau kalau mahu tau, pergi Mydin, cari bahagian aiskrim Walls.....

Friday, April 30, 2010

Tragedi LSP 402

Bismillah.......

AMARAN KERAS : Sila ambil pengajaran daripada entri mengarut aku pada kali ini. Terutamanya pada kamu, kamu dan kamu yang masih lagi sedang dalam peperiksaan.

*******

Aku sembahyang subuh berjamaah pagi semalam. Masih ada kesempatan. Selepas sembahyang Subuh, terasa aku nak ulangkaji untuk peperiksaan paling susah pada hari ini. Peperiksaan yang lebih dikenali dengan kod LSP 402.

Kamu tahu tak apa tu peperiksaan LSP 402? Sebenarnya ia adalah peperiksaan Bahasa Inggeris. Ohhh, bukan Bahasa Inggeris biasa, tapi Bahasa Inggeris tinggi yang tingginya sangat memeningkan. Sangat susah dengan kata lain. Namun aku sebagai pelajar yang berdedikasi tetap mengambilnya, apatah lagi ini merupakan subjek wajib universiti.

Jadi, pagi semalam selepas solat Subuh, aku ambil buku Bahasa Inggeris yang berwarna maroon tu. Kemudian aku letak atas meja. Tanpa membukanya, aku pasang laptop, dan tengok cerita Prison Break. Habis 1 episod, aku rasa aku dah pandai Bahasa Inggeris dah. Maklumlah, teknik belajar cara baru. Belajar dari sarikata (subtitle) percakapan watak-watak dalam cerita tu. Banyak juga perkataan baru aku belajar pagi tu. Kreatif kan aku???

Kemudian aku ingat nak belajar Bahasa Inggeris daripada Facebook pula. Namun semua status kawan-kawan aku ditulis dalam Bahasa Melayu. Kecewa aku. Kurang sikit ilmu aku dapat dari Facebook.

Namun begitu, aku amat tertarik dengan status seorang rakan aku ini yang berbunyi:

tade maknanye istilah tido kejap ujan2 neh...skali tido kompem tak bangun2 dah....huhuh~_~"

Hahaha, aku ketawa dalam hati, tapi ada betulnya juga nasihat ini walaupun berbunyi seperti kanak-kanak ribena yang menulis. Kalau dah tidur pagi, tak mahunya bangun selagi tak cukup satu jam tiga puluh minit (paling kurang), lagi-lagi pula hujan begini. Tambah pula dengan selimut, perghhhhh, nikmat......

Tapi nasihat hanya tinggal nasihat sahaja, 5 minit selepas aku layan Facebook, aku mula mengantuk. Mungkin aku terlalu fokus ulangkaji cerita Prison Break tadi.

Jadi aku pun baringlah sebentar. Tapi bimbang juga aku akibat melanggar nasihat di atas. Peperiksaan bermula pukul 9 pagi. Sekarang sudah pukul 7.45 pagi. Jadi, aku berpesan kepada jam aku supaya menggerakkan aku dengan penggeranya pada pukul 8 pagi.

Pukul 8 pagi, penggera jam berbunyi nyaring dengan lagu tema Good Charlotte. Aku bangun. Namun melihat jam masih lagi pukul 8 pagi, aku tidur semula dengan niat nak bangun pada pukul 8.15 pagi.

Sekali lagi penggera berbunyi dengan nada nyanyian Good Charlotte. Aku lihat jam.

Astaghfirullah, pukul 8.47 dah???

********

Apapun, aku dah habis dah menjawab peperiksaan semester ini. Sekarang tengah berseronok. Pagi ni ingat nak qadha tidur. Huhuhu........

Kepada kamu yang masih belum habis peperiksaan lagi, harharhar...... (ketawa evil) jangan putus asa, masih ada masa lagi untuk kamu ulangkaji. Usaha lagi!!!


Monday, April 26, 2010

Kena Buli Dengan Kertas Elektif

Bismillah........

“Forensic Dentistry senang je. Kalau kau tak dapat A, toksah la amik course Forensik dah. Hahahaha…….” (Komander R., 2010)

Ayat gurauan dia pada aku. Tapi betul-betul menaikkan semangat aku lepas sembahyang Subuh semalam. Lebih-lebih lagi dengan perkataan ‘SENANG JE’ yang dia katakan tu.

Maka……

Aku balik bilik.

Aku ambil nota.

Aku baring atas tilam.

Aku baca nota.

Dan…..

Aku tertidur…………

Zzzzzzz......

*********

Sedikit gambar model gigi yang aku buat (tapak dia saja) yang dah dipulangkan semula......

Masa dalam Dewan Utama untuk peperiksaan semalam. Berdebar juga aku. Nota ringkas, tapi tak dapat nak faham dan hafal kesemuanya. Bimbang betul aku.

Aku buka kertas soalan.

Aku baca soalan.

Mata aku terbeliak.

Mulut aku terlopong. (okeh, yang ni aku tipu. Huhuhu….)

Aku tersenyum sampai ke telinga.

“Pemende soklan ni tanya neh??”

Astaghfirullahhhhh…….. Tepuk dahi aku dibuatnya.

Aku rasa aku seorang sahaja yang tak boleh jawab tadi. Dengar kata, budak-budak lain semua kata senang.........

Tapi nak buat macam mana kan??? Salah aku juga. Huhuhu.......

p/s: apabila keputusan peperiksaan dah keluar nanti, ingatkan aku mengenai keputusan Pergigian Forensik aku. Mana tahu aku berminat hendak bertukar kepada kursus Nutrition atau Dietetik selepas ini.

Wednesday, April 21, 2010

Aku rasa biarlah cerita tu dipendamkan....... Rasa bersalah pula libatkan kamu.... Huhuhu........ Minta maaf ye....... Hehehe.......

Tuesday, April 20, 2010

Tinggal Beberapa Jam Saja Lagi Ni......

Bismillah........

Haduh…..

Aku tak boleh nak tidur. Padahal kepala sudah pun kusut dengan nota Kriminologi. Tapi tetap tak dapat tidur lagi. Adakah kesan kopi putih Nescafe yang aku minum tadi terlalu kuat??? Entahlah…..

Sejak akhir-akhir ini, sering sahaja aku lihat orang di sekeliling aku makin tak keruan. Ada yang cepat marah, ada yang tak berpuas hati, ada yang merajuk dan lain-lain lagi. Bukan mereka sahaja, aku pun sama juga. Cuma aku masih mengawal muka macho aku di hadapan mereka.

Tak percaya??? Aku berikan beberapa contoh.

1. Semasa nak pergi berjogging dengan Saiful, kaki kanan Saiful terjatuh dari tebing jalan. Kaki terjatuh dari tebing jalan. Betulkah ayat aku ni?? Tak apa, abaikan, asal kamu faham, cukuplah. Apapun, dia marah pula pada aku walaupun aku tak buat apa-apa. Siap baling 10 helai daun pada aku. Emmm, mungkin lebih dari sepuluh helai. Aku tak pasti.

2. Syawal kecil hati setelah aku menolak pelawaannya makan di Cotek. Sebabnya aku dah ada makanan di bilik dan aku nak ulangkaji nota Kriminologi. Namun Syawal tetap merajuk, seraya berkata, “Baru nak belanja kau……” Muka dipalingkan ala-ala kanak-kanak kecil merajuk.

3. Huda yang dah malas nak melayan aku setelah berkali-kali aku memanggilnya dengan panggilan Kak Huda di komen blognya. Lebih tepat, dua kali saja sebenarnya. Katanya terasa tak muda kalau aku panggil dia ‘Kak’ Huda. Huhuhu…….

4. Tukangmasak yang cakap aku dengki dan jeles pada beliau sambil ketawa berpanjangan pada aku di komennya di Facebook. Kecil hati aku dibuatnya. Eh, kenapa aku pula…… Cis, niat nak mengenakan beliau pada entri ni tak menjadi. Masih tak boleh nak kenakan tukangmasak lagi nampaknya.

Aku terfikir, adakah ini kesan daripada tekanan peperiksaan???

Hahahaha, peperiksaan memang buat kita rasa tertekan sedikit kan??? Hahahaha……..

Baiklah kawan-kawan semua, tinggal lebih kurang 24 jam lagi sahaja nak bermulanya peperiksaan akhir bagi pelajar Sains Kesihatan di USMKK ni. Maka aku mengambil peluang ini untuk mengucapkan,

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Moga kita semua dipermudahkan dalam memperoleh kejayaan.

Di sini juga aku ingin meminta maaf pada setiap nama yang aku sebutkan di atas. Juga aku ingin meminta maaf kepada para blogger yang lain. Aku tak mampu dah nak taip satu-satu nama kamu seperti yang aku lakukan pada semester-semester yang lepas kerana blogger di USMKK dah semakin ramai. Aku juga ingin meminta maaf pada semua pembaca aku. Maaf andai ada terkasar kata atau ada yang terkecil hati dengan entri aku. Juga ingin meminta maaf dengan semua orang yang mengenali aku, tak kiralah di USMKK, atau di mana-mana sahaja.

MINTA MAAF SEMUA…….

Semoga kita semua bersama-sama mendoakan kejayaan bersama. Jangan kita lokek doakan kejayaan kita sahaja dan tak doakan orang lain. Semoga kita semua beroleh kejayaan dalam peperiksaan kali ini. Akhir kata, ingatlah ayat Al-Quran ini……

IQRA’ BISMIRABBIKAL LAZI KHALAQ.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan."

Semoga semua nota yang kita baca dapat kita fahami, ingati dan amalkan dan seterusnya membawa kita kepada kejayaan kelak.

p/s: semester ni aku tak buat buah tangan seperti semester-semester lepas sebab dah malas dah nak buang masa, nota banyak lagi tak baca nih……. Huhuhu……..

Friday, April 16, 2010

Goreng Pisang Pun Sedap Juga

Bismillah........

Suatu malam yang tenang, ketika aku berada dalam mod melayari internet. Aku melihat Ikram (senior aku yang hensem) telah menaikkan entri yang baru, lantas aku membaca entrinya yang penuh dengan ilmiah tersebut. Siapa tahu, nama aku tiba-tiba saja muncul dalam entrinya. Terharu aku, lebih kepada insaf sebenarnya. Seolah-olah ada mesej tersirat yang beliau nak sampaikan kepada aku, seolah-olah berbunyi,

“Udahlah tu DarkArtz, cukup-cukuplah buat entri lagha.”

Terima kasih Ikram, aku dah insaf dah ni.

Terus aku tutup Facebook dan belajar kriminologi malam tu.

Huhuhu…….. Ampunnnnnn Ikram….. Aku gurau je....... huhuhu........

*******

Ingat lagi entri aku yang lepas tak???

Entri aku yang pernah aku siarkan dalam 6 bulan yang lepas, ada aku ceritakan yang aku ada buat kerja grafik untuk Baktisiswa dan juga ada percubaan nak masuk Pertandingan Reka Baju PSK.

Masa tu aku tak naikkan lagi reka baju aku untuk pertandingan tu di blog ini. Bukan apa, aku cuma malas nak muatnaikkan gambar baju tu sebab nak periksa dah masa tu. Akhirnya aku terlupa sampai sekarang.

Sekarang baru aku terasa nak naikkan. Walhal ini pun tengah nak periksa dah ni. Tapi sebab kepala serabut, aku menjadi rajin untuk menaikkannya.

Cerita bermula selepas aku membaca poster mengenai Pertandingan Reka Baju PSK sempena 10 tahun PSK ditubuhkan, lebih kurang begitulah. Hadiah utamanya adalah misteri. Ohhh, aku tergoda dengan perkataan MISTERI itu. (Lukman, 2009)

Jadi, aku hantar 3 design baju PSK untuk pertandingan tu. Idea untuk design tu aku dapat ketika tengah baca nota Bukti Biologi. Mungkin nota Bukti Biologi tu memberi inspirasi kepada aku atau mungkin nota tu membuka minda aku dengan lebih luas lagi. Okeh, abaikan.

Permulaan membuat baju, aku gunakan teknik vektor untuk buat semula logo bulat USM dan logo PSK supaya nampak efek 2-D dalam 2 warna. Waktu ni aku memang cukup tak suka guna vektor sebenarnya sebab vektor ni payah sikit kerjanya, kena ambil masa yang lama.

Dalam nak buat design baju PSK ni, aku terasa dah menjadi stereotaip untuk 3 tahun berturut-turut meletakkan setiap kursus di belakang baju PSK. Maka design aku yang pertama, aku buang semua nama kursus PSK. Cuma bentuk baju sahaja aku gunakan 2 warna.

Design 1 - tanpa senarai nama kursus

Design kedua pula, aku letakkan juga semua nama kursus PSK, sebab aku lihat design yang pertama agak ringkas. Tapi kali ni, aku manipulasi semula logo dari design baju yang pertama agar nampak macam gambar berpetak. Bentuk baju ini adalah bentuk biasa.

Design 2 - Kebetulan warna biru ni dah digunakan oleh MPI

Design ketiga, aku gabungkan design 1 (design bentuk baju) dan design 2 (design gambar pada baju).

Design 3 - Kuning dan hitam, teringat aku pada baju Matrikulasi Perak.

Semasa Minggu Penghayatan Islam yang lepas, Riduan Che Musa, YDP PSK, (Duwe) sempat berjumpa dengan aku. Di bilik aku, dia kata design aku terpilih daripada antara design-design yang lain. Tapi dia minta ubah sedikit. Dia suka design ketiga. Dan aku buat beberapa design lain dengan warna berlainan untuk para HICOM PSK memilihnya.

Design 4 - percubaan warna kelabu dan hitam

Design 5 - Percubaan warna maroon dan hitam

Design akhir - HICOM lebih suka warna kuning dan hitam. Tambahan tahun (2001-2010) pada bahagian bawah.

Lepas habis kerja, Duwe cakap pada aku,

“Terer mu ni Zul, nok buat perniagaan internet dengan aku dop?”

Cessss, sempat pula dia melawak.

Mana boleh buat perniagaan, aku kan masih beginner lagi. (sila baca dengan nada rendah diri)

Huhuhu……..

Oh ye, aku tamatkan entri aku dengan gambar baju yang telah dicetak. Aku dapat sehelai baju percuma sebagai hadiah. Terima kasih Duwe. HIDUP YDP!!!




p/s: sesapa nak beli baju ni, Duwe tengah wat pesanan untuk kali kedua. Cepat tempah pada dia!!!

p/s: 2 aku semakin pening kepala dengan nota-nota. Seolah-olah satu nota pun susah aku nak faham. Siapa ada petua senang faham???

Tuesday, April 13, 2010