Akhirnya Ramadhan Yang Ditunggu-tunggu Tiba Jua...


Bismillah........

Sekarang sekali lagi kita memasuki bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan. Terasa sekejap masa berlalu. Tahu-tahu, sudah tiba bulan yang begitu ditunggu-tunggu ini.

Tak tahu mengapa, apabila tiba sahaja Ramadhan, aku terasa tenang sedikit. Selalu asyik serabut kepala dengan pelbagai kerja dan pelajaran. Mungkin sebab 'gangguan' dah kurang sikit.

Selain itu, banyak fadhilat yang boleh kita rebut dalam bulan ini, bukan sahaja dengan berpuasa. Banyak hadith-hadith yang menyebut fadhilat, ganjaran serta amalan yang boleh kita lakukan. Kalau kita kaji, memang banyak, cuma kita sahaja yang tak sedar atau tak tahu. Akulah tu. Korang mungkin lebih mengetahui dari aku kan.

Apapun, dalam bulan yang mulia ni, aku nak mengajak diri aku dan korang semua bersama-sama agar berubah. Inilah peluang kita untuk berubah dari yang buruk kepada baik, daripada yang baik kepada yang lebih baik dan seterusnya.

Bukan apa, dalam 11 bulan ini, kita dah lakukan banyak perkara, tak kira baik ataupun buruk. Jadi, apa kata kita merenung sejenak dalam bulan ini dan seterusnya melakukan perubahan dalam bulan ini supaya dapat diteruskan sehingga 11 bulan yang akan datang. Faham tak ni???

Biarlah kita berubah sedikit demi sedikit. Biar kita hakis mana-mana sifat buruk kita yang lalu. Biar kita mula mengubah yang senang dahulu kemudian kepada yang lebih susah. Sekaranglah peluang kita.

Bila difikirkan, aku masih belum cukup layak nak mengajak atau menasihati korang. Ilmu agama di dada ni masih belum mampu ke tahap itu. Huhuhu. Tapi apa salahnya kita saling mengingati kan?

Apapun, kepada semua pembaca blog ini, terutamanya sahabat handai dan rakan-rakanku sekalian, dalam ketibaan bulan yang mulia ni, aku ingin mengambil kesempatan untuk memohon keampunan daripada korang semua. Sesungguhnya, aku kira banyak kesalahan yang dah aku lakukan kepada korang semua. Minta maaf.......

Dan di sini juga aku ingin mengucapkan

SELAMAT MENYAMBUT KETIBAAN RAMADHAN........
SEMOGA KITA MENDAPAT KEJAYAAN DAN KEMENANGAN DALAM BULAN INI..........

Amin.......

p/s: aku edit sikit wallpaper Ramadhan. Kalau korang rasa cantik, apa kata korang letak pada desktop komputer sebagai wallpaper? Kikikiki........

Friday, August 21, 2009

Hingga Tumbang Solat Jumaat


Bismillah.......

Keadaan pada masa itu amat gamat di Masjid Muhammadi. Seorang demi seorang makmun keluar dari masjid. Aku pun dah mula kurang selesa dengan keadaan itu. Selalunya pada pukul 1.47 petang, sembahyang Jumaat sudah pun dimulakan. Namun kini, khutbah pun belum bermula lagi. Apa sudah jadi?

Ada beberapa makmun sudah mula tidak berpuas hati, menjerit kecil. Ada juga makmun yang mula sembahyang Zohor sendiri. Mungkin takut terlambat untuk bekerja semula pada pukul 2. Ada makmun pula sudah bergerak keluar dari masjid. Rata-rata mula bersuara dengan teman di sebelah apabila keadaan sudah makin lewat untuk bersolat Jumaat.

Namun, punca sebenar masih belum diketahui. Adakah khatib sengaja datang lewat kerana membawa khutbah yang bersesuaian? Atau mungkin khatib jatuh sakit? Atau teks khutbahnya hilang?

Aku cuba berkomunikasi dengan seorang pak cik di sebelahku. Kemungkinan dia tahu mengapa solat Jumaat ini lambat dimulakan hinggakan khutbah pun belum bermula. Namun dia juga tidak tahu kerana dia bukanlah makmun tegar di masjid itu, hanya seorang musafir dari Pasir Puteh.

Aku dan Lukman bercadang untuk sembahyang sendiri sahaja, sembahyang Zohor, memandangkan keadaan semakin lewat dan jam pun menunjukkan pukul dua. Terkilan juga kerana tidak dapat bersembahyang Jumaat. Selesai solat, keadaan aku lihat makin kecoh. Hampir separuh makmun sudah hilang.

Terkilan juga kerana memikirkan AJK masjid yang tidak menjalankan tugas. Sekiranya tiada khatib, sepatutnya adalah khatib subsitute atau khatib pengganti. Itulah pemikiran aku ketika itu yang tidak tahu punca sebenar.

Keluar dari masjid, beberapa orang sedang berbual. Mungkin berbicara mengenai tumbangnya solat Jumaat pada hari itu. Aku juga cuba menangkap perbualan mereka ketika sedang menyarung selipar untuk mengetahui punca, namun tidak jelas.

Tiba di kereta, Che Joe sudah lama menanti kami. Di waktu itulah aku tiba-tiba mendengar bunyi siren polis. Kelihatan beberapa kereta polis berjalan masuk dari arah bertentangan dengan laluan jalan sehala. Rupanya Sultan Kelantan hendak berlalu di situ.

Pada masa itu, aku tidak berfikir apa-apa. Rasanya tiada sebab untuk memikirkan mengapa Sultan melalui jalan sehala dengan arah betentangan. Paling koman pun, mungkin baginda tergesa hendak ke mana-mana.

Yang nyata, sembahyang Jumaat aku pada hari itu dah pun tumbang.

Malam, selepas sembahyang Maghrib, aku sempat berbual kosong bersama Che Joe dan Lukman. Kemudian barulah aku tahu dari Che Joe, rupa-rupanya sembahyang lewat disebabkan menunggu Sultan Kelantan untuk datang sembahyang bersama-sama.

Astaghfirullah..........

Perkara yang sama berlaku di sini rupanya seperti di Masjid Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian.

Aku tak mahu membincangkan mengapa atau salah siapa. Kita biarkan persoalan ini terus berlalu dimakan masa.

Cuma apa yang boleh aku katakan, Rasulullah pun sibuk juga, namun apabila tiba waktu solat, atau hampir tiba waktu solat, baginda akan melupakan semua urusan dunia dan tidak sekali-kali membiarkan makmun menunggu kecuali keadaan tertentu.

Semoga perkara seperti ini tidak berulang lagi......

p/s: rasanya ini sembahyang Jumaat yang paling lewat aku pernah lihat.

Saturday, August 15, 2009

Aktiviti Interaksi Forensik 09/10

Bismillah.......

Terasa nak demam pagi semalam, tetapi tidaklah seteruk malam semalamnya. Namun, aku pergi juga aktiviti yang dianjurkan oleh kawan baik aku sendiri, Saiful Adli, iaitu Program Interaksi Forensik 09/10. Bukan apa, cuma aku tak naklah kekurangan tahun tiga yang pergi ke sana.

Aku, Ijon dan Che Joe pada mulanya sudah merancang untuk menyewa kereta dan pergi ke tempat yang dikatakan bersama-sama. Kemudian, masuk pula Wali dan Phang.

Namun pada pagi semalam, Che Joe tak jadi pergi sebab kelemahan. Ijon pula tak jadi nak pergi kerana mempunyai simptom H1N1. Phang pula demam teruk dan takut makin teruk jika pergi. Akhirnya tinggal aku dan Wali. Jadi, aku pun pergi memandangkan demam aku dah sedikit kebah.

Pada mulanya, aku ingat aku akan kebosanan di sana. Selalunya pelajar tahun satu akan kurang bercakap, seperti semasa dianjurkan kami tahun lepas. Namun, pelajar forensik tahun satu pada tahun ini aku lihat agak menarik.

Mereka tidak banyak berdiam, sebaliknya aktif. Atau terlalu aktif. Mungkin mereka terlebih mitokondria. Apapun, aku rasa agak seronok semalam. Keaktifan mereka agak menyenangkan kami. Mereka cukup murah dengan gurauan.

Aku berkenalan dengan ahli kumpulan aku bersama Fatin. Nama panggilan mereka, Eng, Chi, Fadh dan Za(aku lupa nama seorang ni). Mereka berempat agak aktif dan sporting terutamanya Fadh dan Za.

Duduk sebentar dalam kumpulan mereka beramai-ramai, Wali asyik dibuli, walaupun mereka tak tahu Wali itu dah imun dengan semua bulian junior. Aku pun ada sedikit bercakap tapi memang ketawa besar bila dengar mereka buat loyar buruk.

Agak seronok juga aktiviti yang diadakan semalam. Begitu juga dengan makanan-makanan yang dihidangkan. Nasi goreng, ayam BBQ, sosej panjang. Lepas tu, sempat juga aku lepaskan gian mandi laut, setelah lebih setahun tak mandi laut.

Kami terpaksa pulang awal, disebabkan budak-budak perempuan nak pulang awal. Sebelum pulang, aku beritahu Fadh,

“Fadh, nanti kumpulkan team kita. Nak ambil gambar sikit.” Kata aku.

“Haa, okey.” Jawabnya.

“Tim, dia panggil kau Tim, nak tangkap gambar.” Katanya kepada kawannya yang selalu digelar Tim. Bunyinya sama dengan ‘team’. Cheesecake betul budak ni. Hahaha........

Sebelum tangkap gambar pula, aku datang kepada mereka.

“Abang duduklah, tinggi sangat.”

Aku yang keletihan pun duduklah, sambil membunyikan “aahhhhhh”. Yalah kan, rasa lega bila dah duduk.

“Memang macam orang tua betul.” Kalau aku tak silap Za yang cakap macam tu. Pokemon betul. Hahaha, pertama kali pelajar tahun pertama berani cakap macam tu pada aku. Sebelum ni kalau dah lama berkawan baru berani cakap macam tu. Itu pun seorang je, Acap.

Balik tu, aku rasa letih-letih sedikit. Rasa nak demam pun ada. Batuk dah mula naik. Selsema pun dah mula giat. Kerongkong pun dah sakit akibat menjerit masa tarik tali. Minta-minta bukan H1N1.

Di bawah ni ada aku sertakan beberapa gambar yang sempat aku tangkap dan orang lain tangkap guna kamera aku. Walaupun kamera aku bukan SLR, namun aku rasa kualiti gambar BenQ aku tetap bagus seperti SLR.


Khusyuk mendengar penerangan........

Syami rasa malas nak main......

Angle dari bawah, ketika mereka hendak bermain bola tampar.........

Si jurugambar bertudung merah jambu

Seronok bermain air....

Telefon pakwe, sayangnya dia sedar aku tangkap gambar dia......

Makan colek orang, tengok pipi dia.......
Aku tak kenal mereka, cuma terasa cantik untuk ditangkap......

Rahim yang cuba berkomunikasi dengan mereka.......
Kami, tahun ketiga......

Tengok dua orang di belakang tu, siot betul.....

Team 4, silap, group 4..... 

Bersama pengarah, Saiful Adli......

Apapun, kepada tahun kedua, tahniah sebab masih meneruskan dan menjayakan program interaksi ni. Banyak faedahnya kepada orang seperti aku.

Kepada tahun pertama, korang memang cukup-cukup sporting. Rasanya satu hari semalam aku asyik ketawa je tengok telatah korang. Rasanya berbaloi juga demam aku lepas bersama korang. Apapun, aku masih tak demam. Hahaha.........

Ini kali terakhir sertai interaksi forensik. Tahun depan dah tak boleh dah.......

p/s: nota kebakaran masih tak habis baca lagi. Memang nak mampus betul aku ni.....

Friday, August 7, 2009

Dan Apabila H1N1 Menyerang USMKK

Bismillah........

Aku tertidur petang semalam. Hinggakan hujan yang turun pun tidak aku sedari. Mungkin hujan telah membuatkan aku tidur dengan lebih nyenyak lagi. Dan seketika selepas azan maghrib berkumandang, aku terjaga. Astaghfirullah..... selepas ni aku akan cuba untuk tidak tidur petang lagi.

Segera aku berkemas diri dan bersembahyang maghrib. Kemudian berkemas sedikit dan keluar menunggu di bawah. Menunggu bas untuk ke Restoran A.M Tarbus untuk program Makan Malam Hari Tautan Mesra.

Sebelum ini Azmir pernah minta untuk aku buatkan kad jemputan. Kad jemputan yang aku buat agaklah ringkas sedikit. Aku ingatkan dapat cetak berwarna, rupa-rupanya tetap hitam dan putih. Huhuhu.......

Kad jemputan.......


Dan posternya pula, Wali suruh buat kemudian. Aku ingat nak design yang baru, tapi Wali bagi idea yang bagus. Buat sahaja poster dari kad jemputan tu, Cuma besarkan sahaja. Memang bernas sebab memang menjimatkan masa dan semua butiran dah ada. Jadi aku tambahkan logo PSK dan USM serta kata ‘semua AJK dijemput hadir’.

Posternya pula.......


Nak dijadikan cerita, aku menunggu bas bersama Iman. AJK aku, Faisal dan Ijon tak dapat pergi bersama untuk makan malam itu. Jadi aku ajak Iman menggantikan Ijon. Kami berdua tunggu bersama Thien dan Syazwan. Lama juga kami tunggu.

Aku masa tu dah naik bosan dah. Tahu-tahu dapat panggilan Alvino. Katanya bas dah sampai. Jadi dia minta kami bersiap-sedia. Ohhhh, okey. Aku pun dah bersemangat.

Tapi, bas tetap tak sampai ke Nurani. Aku jadi pelik. Tak mungkin Alvino menipu. Walaupun dia suka menipu, tapi tipu gurauan. Hmmm, mungkin bas tu ikut jalan jauh. Atau bas tu tunggu orang lagi. Berbaik sangka aku ni.

Lama lagi menunggu, bas tetap tak muncul. Kesempatan ni aku ambil untuk hubungi Acap dan minta dia gantikan Faisal. Walaupun Acap dah turun, namun bas tetap tak sampai. Aku dah tak sedap hati. Sudahlah aku rasa nak demam.

Akhirnya setelah Syazwan dan Thien berjalan kaki ke Murni, kami menyusul mereka. Dalam hati, aku sedikit rasa bersalah pada Iman dan Acap. Aku yang mengajak mereka, dan juga menyusahkan mereka.

Sampai di Murni, aku lihat bas tiada, dan budak-budak lain semua duduk di tepi.

Tak guna, Alvino tipu aku ke ni? Aku bergerak ke arah Kenny dan Hakim. Bersembang dengan mereka, aku dapati, USM Kampus Kesihatan dah diarahkan supaya kuarantin. Semua aktiviti akan dibatalkan terutama yang melibatkan luar. Astaghfirullah..........

Setakat ini, sudah 3 orang pelajar positif menghidapi H1N1 dan sejak dari hari Rabu, langkah berjaga dengan memakai topeng sudah dinaikkan di pusat pengajian. Jadi, pada malam semalam, pihak universiti telah membatalkan semua aktiviti pelajar terutamanya yang melibatkan luar dari universiti. Dengan kata lain, makan malam kami dibatalkan.

Makanan yang ditempah di restoran akhirnya dibungkus dan dihantar ke USM. Kasihan aku lihat semua yang bertungkus-lumus malam tu. Azmir, Wali, Therk dan lain-lain. Itu tak masuk lagi budak-budak yang setia menunggu di kafe. Hingga pukul 11 barulah sampai.

Masa yang terluang diisi dengan berbual kosong. Aku pula rasa bersalah pada Iman dan Acap dan juga Che Joe yang datang kemudian.

Namun, aku tetap berterima kasih kepada mereka yang bersabar dan berjaya menjayakan makan malam semalam walaupun di kafe Murni sahaja.

Satu mesej kemudian diterima memberitahu, perintah kuarantin dibatalkan. Pening kepala betul. Macam-macamlah hal yang berlaku.

p/s: Apapun, makanan semalam, bagi aku, agak sedap. Kali pertama makan makanan arab, walaupun sama seperti masakan Malaysia, tetapi rasanya agak pekat sedikit.

Urusan Malam ini Pula.......



Bismillah.........

Menawan si pemandang. Atau menarik perhatian si pemandang. Atau membuatkan si pemandang berhenti sebentar untuk membaca. Membaca mesej yang cuba disampaikan oleh si pembuat. Itulah antara tujuan poster dan wallpaper dibuat. Tidak perlu maklumat panjang berjela, cukuplah ringkas tetapi padat.

Namun untuk poster dan wallpaper kali ini, terpaksa juga aku memasukkan banyak perkataan. Selalunya kalau jadi keadaan sebegini, aku akan cuba meringkaskan ayat, kalau boleh seringkas yang boleh. Sebab itulah kalau kamu lihat poster dan wallpaper aku terdahulu, semuanya ringkas-ringkas.

Semasa aku belajar membuat poster dahulu, sering kali guru seni memberi tahu supaya mesej yang hendak disampaikan adalah ringkas tetapi padat. Kecualilah keadaan-keadaan tertentu.

Signifikannya, ia bertujuan menarik minat pembaca. Kemudian memudahkan pembacaan. Mesej pendek senang diingati daripada mesej panjang berjela. Lagipun, kalau mesej panjang-panjang, siapa nak baca kan? Semua orang ada kerja, semua nak cepat, mana ada masa nak duduk membaca setempat kalau sibuk.

Untuk design kali ini pula, terlalu banyak masalah. Berapa banyak kali aku meringkaskan ayat namun dikesan oleh pengarah dan diminta menukarkan kepada yang asal. Akhirnya 3 hingga 4 kali aku membuat perubahan dan setelah aku malas, aku cuma ‘copy and paste’ daripada yang diberi oleh pengarah. Dan aku tak menukarkan kepada yang ringkas.

Tak mengapa rasanya. Darurat!!

Minta maaf aku ucapkan kepada pengarah. Huhuhu........

Malam ini akan diadakan Program Tautan Ukhwah Bersama Pusat Islam USMKK dan Rakan Masjid. Malam ini juga akan diadakan Annual Grand Meeting PSK. Pun tadi aku terdengar ada Presentation Healthex. Nampaknya banyak aktiviti yang bercanggah pada malam ini. hinggakan kelas Inggeris aku pun terpaksa dibatalkan.

Kemungkinan besar kad keahlian Rakan Masjid akan diberikan kepada sesiapa yang dah bayar. Nanti aku buat satu entri mengenai kad tersebut. Ada kisahnya. Agak menarik jugalah. Selain itu, kita juga dapat mengenali muka-muka yang akan mentadbir Rakan Masjid semester ini.

Dengar kata Annual Grand Meeting PSK kali ini agak mencabar. Aku dah dengar penamaan tak rasmi beberapa calon. Tapi ada juga yang terasa nak menolak. Mari kita tengok malam ini siapa yang terpilih. Apapun, tugas aku di bawah Syazwan akan tamat malam ini.

Jadi kawan-kawan, marilah kita pergi dahulu ke Program Tautan Ukhuwah tersebut. Kemudian selepas Isyak, selepas jamuan pulut durian (atau jamuan durian) barulah kita bergerak pergi ke Annual Grand Meeting PSK. Waktu tengah kenyang baru bersemangat nak mengundi.

p/s: design kali ini telah aku cuba untuk membuat seringkas yang boleh. Jadi mungkin tak nampak berapa menarik. Tak boleh buat apa. Aku dah cukup mengantuk semasa membuatnya........ Kikikiki.........

Sunday, August 2, 2009