Kena Banyak Bersabar....

Bismillah.......

“.....dan lepas habis yang ini, kau cuba masukkan yang ini pula.” Kata Azmir.

“Safwan yang minta kau buatkan.” Kata Syazwan.

“Kau design lagi satu, aku belanja kau makan.” Kata Baju Biru (lupa nama sebenar).

“Tolong design wallpaper dan poster untuk program RM dan MPP.” Mesej berbunyi.

“Minta UIP tolong design badge, sebelum hari Sabtu.” UEK pula meminta.

“Multimedia Rakan Masjid dah siap ke belum?” tanya Ujai.

Ini hanyalah sebahagian daripada permintaan mereka kepada aku dalam dua minggu ini. Ada lagi beberapa permintaan lain sebenarnya. Dan hasilnya, aku penuh dengan kerja di samping perlu menyiapkan laporan makmal aku.

Penat, namun masih tidak di sampai tahap stress.

Bekerja grafik memang seronok. Lebih-lebih lagi apabila kerja kita dihargai. Bagi kamu yang ingin berjinak-jinak dengan ilmu grafik, aku sememangnya menggalakkan dan menyokong.

Namun begitu, ada satu perkara yang perlu kamu tahu dahulu, sebelum menjadi ahli grafik, tak kiralah untuk organisasi apa. Mungkin perkara ini adalah asas sebelum kamu bersedia menjadi ahli grafik.

Design kita tidak semestinya diterima!!!

Walau sejauh mana pun kepuas hatian kita terhadap apa yang kita buat, namun ia mungkin tidak memuaskan semua pihak.

Dan yang paling penting, kita perlu banyak bersabar. Terutamanya apabila kita dah siapkan sesuatu design, namun ia langsung tak digunakan, walaupun kita dah banyak mencurahkan masa ke atas design kita.

Mari kita lihat sebentar kisah aku.

Aku mendapat satu kerja di saat akhir, diminta untuk membuat satu poster dan wallpaper untuk Kursus Pembinaan Mahasiswa Lestari. Ia adalah kerjasama Rakan Masjid dan MPP. Hanya dua atau tiga hari sahaja diberikan kepada aku.

Terasa ingin menolak kerana aku tak suka diberi kerja saat akhir. Namun, oleh kerana melibatkan barisan MPP kali ini, aku terima juga.

Pening kepala, kawan baikku pula meminta aku membuatkan wallpaper silat. Sungguh pun aku menolak lama dahulu, namun, dia telah membawa bahan hingga ke bilikku. Jadi, aku tak mampu menolak lagi.

Dua kerja ini perlu disiapkan pada hari Selasa. Hari Isnin aku masuk makmal dan hari Selasa pun masuk makmal. Jadi, aku bercadang untuk menyiapkan semuanya pada petang hari Selasa kerana pada waktu malam aku ingin menyiapkan laporan yang perlu dihantar pada hari Rabu.

Semasa menemani Che Joe ke HEP, selepas makmal, aku mendapat idea untuk wallpaper dan poster Kursus Pembinaan Mahasiswa Lestari. Oleh kerana ini satu kerjasama dengan MPP, aku serius dalam pembikinannya, hingga aku memilih gambar yang membawa tema yang kiranya lestari. MPP adalah barisan elit universiti, maka aku perlu buat kerja dengan baik dalam kerjasama kali ini.

Kerja berlanjutan sehingga waktu malam. Laporan makmal masih lagi belum siap. Apabila hampir nak siap dah kerja, aku terima satu mesej. Mesej tersebut berbunyi, Kursus Pembinaan Mahasiswa Lestari telah dibatalkan.

Dibatalkan??? Arggghhh.........


Tangan yang memegang bumi tanda pengurusan lestari.......

Kecewa, aku tiada mood nak buat laporan makmal. Jadi aku siapkan dulu wallpaper untuk kawan baikku. Masa yang aku ambil tidaklah begitu lama, namun sampai jugalah 45 minit, setelah mencari bahan dan menguji keserasian.

Setelah siap, aku berusaha menyiapkan laporan. Namun, tetap tak siap laporan aku.

Kemudian pagi esok, aku beri pada kawan baikku wallpaper dia. Ada satu permintaan dia aku tak dapat tunaikan kerana aku tak tahu, iaitu Two Tones. Jadi aku minta dia ubahkan sendiri. Sedikit sahaja pun.


Aku tak tahu nak buat Two Tones yang dikatakan.......

Malam itu, aku berkunjung ke biliknya. Bersembang sebentar dengannya. Kemudian aku dikejutkan bahawa wallpaper yang aku buat tak akan dinaikkan kerana ketuanya kata dah terlambat, walaupun aktiviti yang dijalankan adalah pada hari Jumaat.

Haisshhh, sia-sia sahaja kerja aku.

Memang kerja grafik ni perlu banyak bersabar......

Sabar.........

Friday, July 31, 2009

Anda Semua, Tolonglah Beli.......

Bismillah.......

Menarik bukan???

Lebih menarik jika kamu membelinya sebanyak lapan helai..........

Tolonglah beli.......

Merayu ni.

p/s: di sebalik rekaan baju ini, ada kisahnya, tetapi malas nak menaip.

Monday, July 27, 2009

Nak Beli Kasut Baru??? Tak Naklah........

Macam ni rupanya nak design kasut.....


Bismillah.........

Terlalu susah untuk aku coretkan kelemahan aku kali ini. lebih kepada perasaan malu sebenarnya. Apa yang nak dimalukan? Jadi, sebelum anda semua terus membaca, mari kita sama-sama menjawab soalan di bawah ini.

“BERAPA KALI DALAM SETAHUN ANDA MEMBELI KASUT BARU?”

Kasut ya, bukan selipar.

Baiklah, jika soalan ini ditujukan kepada aku, aku akan jawab...... “dua atau tiga tahun sekali.”

Dalam banyak-banyak orang dalam keluarga, akulah yang cukup-cukup kelihatan daif. Daif dari segi pakaian dan fesyen. Antara pakaian aku yang paling menampakkan kekolotan aku adalah kasut dan seluar.

Aku tak suka seluar jeans, walaupun dah dileter beberapa kali oleh rakan-rakan aku. Sekarang pun aku cuma suka memakai seluar slack dan seluar sukan.jumlanya kalau ditambah tak sampai sepuluh. Adik aku pula, entah berapa banyak seluar dia ada. Dah macam koleksi pula.

Mengenai kasut pula, aku paling lemah dalam membeli kasut. Maka aku jarang membeli kasut baru. Selalunya aku akan pakai kasut lama. Semasa di tingkatan 5 dahulu, aku cuma ada kasut sekolah sahaja. Bersukan kasut itu, pergi jalan pun kasut itu. Bukan tak mahu beli kasut jalan, tapi aku tak berminat beli kasut. Akhirnya kasut tersebut berhenti berkhidmat setelah ada ‘mulut’. Kalau tak, mesti aku terus pakai di matrikulasi atau sehingga sekarang.

Aku ada dua pasang kasut sekarang. Kasut Jazz warna biru dan kasut sukan. Kedua-dua pasang kasut ini dah pun kelihatan lama dengan kasut Jazz sudar pudar warnanya dan kasut sukan pula sudah lama naik hitamnya.

Memang dah kurang sikit nampak birunya.......

Kasut Jazz ini aku beli sewaktu sebelum masuk ke USM, manakala kasut sukan ini aku beli akhir tahun pertama di USM. Sejak dari itu, memang aku dah tak beli kasut dah.

Sepanjang masa di USMKK, inilah kasut aku. Pergi ke kuliah, kasut ini, pergi bersukan, kasut ini, pergi aktiviti besar, kasut ini, pergi masuk makmal, pun kasut ini juga, malah boleh dikatakan pergi ke mana-mana yang melibatkan kasut, kasut inilah yang akan aku gunakan.

Kasut sukan merangkap kasut kuliah dan kasut jalan.........

Melihat kawan terdekat aku, Che Joe, Ijon, Lukman, Hakim, entah berapa kali aku nampak diorang pakai kasut baru. Hohoho......

Aku bukan tak mahu beli kasut baru. Kemahuan itu memang ada. Tapi aku tak pandai memilih. Bila aku dah pilih, aku akan tengok harga. Aku suka barang murah. Kalau beli barang mahal aku takut menyesal. Selalu begitu, selepas beli suatu barang mahal, aku akan menyesal, walaupun tak ada sebab untuk dikesali.

Kemudian, aku akan membeli kasut mengikut keperluan.mungkin di kala waktu-waktu terpaksa sahaja akan aku beli. Kasut Jazz itu aku beli setelah dipaksa oleh emak. Kasut sukan itu pula dibeli setelah kasut sukan matrikulasi aku tak lagi muat dengan saiz kaki aku.

Kasut kulit?

Dah lama koyak, sejak waktu masuk orientasi USM lagi. Nak beli ke? Pinjam Che Joe sudahlah......

Apa punya pemikiranlah aku ni ya........

Semalam pergi ke KB Mall bersama Iman. Terasa nak beli kasut baru. Bila masuk kedai kasut, tak tahu nak pilih mana satu, atau lebih tepat lagi, aku tak tahu nak beli kasut apa. Kasut sukan okey lagi, kasut Jazz masih tak berkoyak. Tapi aku tertarik dengan satu kasut sukan tu. Aku tengok harganya. Ulppp.......

Akhirnya, selepas 10 minit di kedai kasut, aku tak jadi beli kasut.

p/s: aku semakin yakin yang aku ni makhluk asing........

Saturday, July 25, 2009

Indahnya Tidur...


Lukisan pen berdasarkan lakaran yang aku buat dalam kelas untuk melawan perasaan mengantuk...


Bismillah.......

Lupakan sebentar mengenai masalah-masalah yang aku hadapi. Inilah salah satu alasan mengapa aku masih menulis blog. Walaupun aku tahu yang aku ini tidaklah mahir menulis, apatah lagi dalam penulisan kreatif. Mungkin kerana hal sedemikian, aku sering mendapat markah rendah dalam karangan semasa kecil dahulu.

Cukuplah pendahuluan ini dahulu.

“Abang tidur tak dalam kelas?” emak bertanya kepada aku semasa cuti semester dahulu.

“Kadang-kadang.” Aku jawab, padahal memang aku tidur dalam kebanyakan kelas.

“Kenapa mak tanya?” aku bertanya pula.

“Tak adalah, mak dah agak dah. Abang tu selalu sangat tidur lewat. Kadang-kadang mak tengok abang tidur sampai pukul 4 pagi. Mana nak tahan dalam kelas. Cuba abang fikir.........” mak bagi ceramah pada aku. Aku tak nak kongsi dengan korang ceramahnya. Aku kan kedekut ilmu. Hahaha....

Apapun, aku rasa aku dah sedikit insaf selepas diceramah ketika itu. Jadi, aku berazam untuk tidur awal. Semasa fasa akhir cuti, aku memang tidur awal, dalam pukul 2.30 pagi paling lewat. Jadi, aku berazam untuk melakukan perkara yang sama di USMKK.

Kini, di USMKK, aku selalu tidur awal, paling awal pukul 12.30 malam dan paling lewat pukul 2.30 pagi. Kiraan purata waktu aku tidur adalah dalam pukul 1 pagi. Matlamat aku adalah untuk bangun awal, dan tak tidur lagi dalam kelas.

Namun bagitu, nampaknya masalah baru pula muncul. Walaupun aku dah tidur awal, aku tetap mengantuk semasa dalam kelas, jadi, memang kadang-kala tu aku tertidur jugalah. Aku pun tak tahu mengapa.

Aku tidur mengangguk-angguk. Kemudian aku terjaga semula, aku tahankan mata aku untuk terbuka. Petua aku sejak dari matrikulasi lagi, kalau terasa nak tidur, aku akan melukis. Ataupun berbual dengan kawan sebelah.

Namun, semalam, aku mengalami tidur yang paling teruk. Hampir semua kelas aku tertidur. Aku cuba amalkan petua aku, dengan melukis. Aku lukis lakaran pensel untuk gambar di atas. Tapi memang aku cukup-cukup mengantuk hingga tertidur juga. Hendak berbual, aku hormatkan pensyarah.

Aku tertidur juga akhirnya. Tewas dengan perasaan mengantuk. Bersandar, aku tidur. Dah berapa lama kemudian, aku terjaga. Aku tengok kelas dah habis. Pensyarah baru nak tutup slideshow. Kawan-kawan di tepi aku pula senyum-senyum pada aku. Buang tabiat ke diorang ni.

Ijon cakap pada aku, aku tidur ternganga sedikit. Haaa??? Wali dah ketawa dah. Ijon siap sempat rakam lagi guna telefon bimbit dia. Kemudian dia replay pada aku. Cipan kau Ijon. Tapi aku pun ketawa juga. Hahaha........

Jadi, sekarang aku kena kaji semula. Mengapa aku masih mengantuk di dalam kelas walaupun dah tidur secukupnya pada waktu malam.

1. Adakah sebab pensyarah yang mengajar? Adakah pengajarannya terlalu bosan atau aku tidak faham?

2. Adakah kerana aku tidak minum kopi pagi-pagi? 

3. Adakah kerana tiada wanita cun didalam kelas aku? Ataupun kerana tiada 'dia'?

4. Atau adakah ini satu penyakit berjangkit setelah rakan sebelah aku tidur yang menyebabkan aku turut ingin tidur sama? 

5, Ataupun adakah aku ni makhluk asing yang memerlukan tidur lebih dari manusia normal?

 p/s: kata orang, 'tidur itu indah, namun kalau disalahguna akan membawa binasa." Begitu bukan?

Wednesday, July 22, 2009

Kerana Durian....


Bismillah..........

Aku sempat pergi ke pasar malam semalam bersama-sama dengan Ijon, Che, Iman dan Lukman. Kebiasaaannya, kami akan ke pasar malam selepas maghrib, mengisi waktu terluang sebelum tiba waktu isyak. Malah, pergi pasar pada waktu malam, lebih terasa dengan perkataan “pasar malam”.

Apabila kami tiba, gerai pertama yang kami singgah adalah gerai buah-buahan. Aku ajak mereka berhenti sebenarnya kerana ternampak buah durian. Hoho..... Selonggok dalam lima biji dengan harga RM10. Hah, murahlah tu, kan?

Waktu bersiap balik semula ke kampus baru kami beli durian tersebut. Kelima-lima biji durian tersebut kami bawa ke bilik Che dan kami makan selepas habiskan nasi. Oleh kerana tiada parang, kami sempat menyuruh abang yang menjual tadi membuka separuh durian tersebut. Kalau tahun lepas, tiada parang, kami buka guna sudu. Punyalah menyeksakan.

Huh, memang sedap durian tu, terutamanya durian pertama, kedua dan ketiga. Ulasnya kuning hampir keemasan, manisnya tak usah ceritalah, kalah coklat Apollo strawberry. Tapi, yang membuatkan terasa sedap mungkin apabila kita makan durian tu bersama-sama dalam satu kumpulan. Lepas seulas, seulas lagi diambil.

Teringat tahun lepas. Ketika di tahun kedua semester pertama. Kami baru habis kelas petang, dalam pukul 2 atau 3. Berjalan pulang ke Nurani, aku, Ijon dan Che terjumpa sebuah gerai buah-buahan. Kebetulan di situ ada Ziela dan Merah. Diorang beli buah apa aku dah lupa.

Kami pula tertarik dengan buah durian. Ijon suruh Ziela belanja. Ziela pula senyum. Kemudian kami pulang dengan seplastik durian, dalam 2-3 biji rasanya. Kami terlupa yang di bilik masing-masing, semua tiada parang atau pisau. Ahhh, sudah. Masalah betul.

Akhirnya, sudu diambil, dan kopeklah durian guna sudu tu. Haduhhh, seksa aku melihatnya. Bila dah terbuka, kami pun makan bersama. Astaghfirullah....... Isi durian ini tebal. Sudahlah tebal, keras pula tu. Rasanya pula macam ubat. Tak larat kami nak memakannya. Rasanya itu durian muda.

Durian tu nasibnya di tong sampah, di buang begitu sahaja. Kemudian aku teringat satu perkara.

“Eh, siapa yang bayar durian ni tadi ye?”

Aku memang tak bayar, Che dengan Ijon pun tak bayar. Sangkanya Ziela yang bayar. Tapi aku perasan, yang Ziela cuma bayar buah yang dibelinya sahaja. Hahaha.........

p/s: aku teringat cerita Fear Factor. Mat Saleh ni disuruh makan durian. Muntah-muntah diorang makan. Kalau bagi pada aku, menjilat jari dah.

Saturday, July 18, 2009

Gila di Tahun Ketiga


Senior tahun keempat......

Bismillah.........

Dapat juga aku merasa kesusahan di tahun tiga kursus forensik ni. Memang mencabar betul. Satu minggu, tiga kali masuk makmal buat eksperimen. Balik bilik dah penat. Kelas awal pagi. Malam buat laporan. Sudahlah aku menulis lambat. Lambatlah habis. Jadi, bila masa aku nak baca nota?

Aku kena buat jadual waktu untuk uruskan masa.......

Sejak akhir-akhir ni, aku terasa sunyi sedikit. Sepi..... Rasa sedikit berlainan semasa aku berada di tahun kedua dan pertama. Mungkin kerana pelajar tahun ketiga PPSK sudah pun berpecah dan mengambil haluan kursus masing-masing.

Namun, antara faktor utama yang buat aku terasa sunyi adalah kehilangan senior. Senior tahun keempat sudah pergi ke PDRM dan senior yang sudah tamat, memang dah susah nak jumpa.

Aku suka berkawan dengan mereka. Perangai dan otak mereka membuatkan aku terasa seperti berada di samping kawan-kawan di matrikulasi. Perangai gila-gila, dan yang penting, tak pernah terasa di hati. Cakaplah apapun, semburlah apapun, kutuklah apapun, semuanya terasa lawak dan tak pernah rasa marah. Mereka tidak sensitif seperti kebanyakan pelajar lain di USM.

Aku dan mereka yang dah letih sangat masa malam Installation....

Aku cukup suka datang ke bilik mereka semasa di tahun pertama dan kedua dahulu. Biasanya aku datang melawat Rashid dan Ikram. Bertukar pandangan, minta cetak, minta tunjuk ajar dan yang paling aku suka sekali, minta soalan tahun lepas. Hahaha......

Yang selalu datang bilik aku pula Syuk dan Daus. Datang bilik tak lain nak minta cerita dari aku. Sempat lagi diorang tengok cerita yang banyak tu. Aku sendiri pun tak habis tengok. Daus lagilah, entah berapa kali ulang tengok cerita One Piece.

Aku selalu nampak Faisal di surau dan ketika jogging. Kata Rashid, Faisal belajar sampai lewat malam. Hinggakan Daus pernah cakap, "Nasib baiklah Iman dulu sebilik dengan aku dulu, kalau tidak, dah gila aku."

Kapten pula kaki surau dan ahli tabligh. Selalu keluar di hujung minggu pergi ke masjid. Aku selalu juga minta nasihat dia dalam grafik. Jaidi satu bilik dengan Kapten, selalu nampak dia berjalan dengan awek dia. Huhuhu.....

Tapi keputusan mereka tetap tinggi-tinggi.

Macam manalah ya diorang menguruskan masa?

Aku teringat kata-kata Bul masa orientasi dahulu. “Sekarang kau minatlah forensik. Nanti dah lama-lama nanti, kau takkan minat dah.”

Adakah sekarang masanya?

p/s: tak hairanlah diorang digelar "the best batch" oleh pensyarah kami.

Friday, July 17, 2009

Nampaknya Hari Ini Cuti.......


Bismillah........

Tidak sangka betul. Tahu-tahu sahaja hari ini cuti umum di Kelantan. Semuanya kerana pilihanraya di Manek Urai. Ini pun aku tahu selepas Kak Fizah, yang menjaga makmal forensik buat pengumuman. Kalau tak, mungkin aku dah pergi ke kelas pagi ni. Huhuhu.

“Manek Urai kan satu kawasan dalam Kelantan. Kalau pilihanraya diadakan di situ, kenapa satu Kelantan cuti?” tanya aku.

“Entahlah. Sebab ini pilihanraya penting kot.” Jawab seorang rakan.

Sesungguhnya aku memang lemah dalam mengetahui perkembangan politik di Malaysia. Mungkin setiap kali diadakan pengundian dalam  satu kawasan, satu negeri akan cuti. Itulah, siapa suruh aku tak tumpukan perhatian dalam kelas Sejarah dulu.

Tak mengapa, kita lupakan mengenai pilihanraya dan semua itu. Kita terima cuti kita. Memang hidup ini sentiasa penuh dengan kejutan. Dan itulah yang menjadikan hidup ini menarik.

Jadi, bila hari ini pelajar dah bercuti, aku bimbang satu perkara.

Sebenarnya hari ini, akan diadakan satu perjumpaan pelajar tahun satu PSK bersama dengan Timbalan Dekan dan pelajar senior. Program Malam Mesra Bersama Timbalan Dekan dan Pelajar Senior.

Untuk itu, aku ditugaskan untuk membuat wallpaper bagi program ini. Malam hari Sabtu yang lepas aku tidur lewat, semata-mata nak siapkan wallpaper ini. Memang aku tiada idea.

Jadi aku potong semua gambar aktiviti PSK yang ada dalam komputer aku. Kemudian aku tampal dalam wallpaper tu. Yalah kan, yang penting dalam wallpaper ni adalah gambar Dr Izani, dan gambar pelajar senior PSK. Hasilnya seperti di atas, tak berapa menarik.

Awal pagi esoknya aku serahkan pada Syazwan, ketua aku.

 Namun, aku tak nampak wallpaper ini dinaikkan. Kebanyakan wallpaper yang dinaikkan adalah wallpaper AGM kelab wushu. Alamak, diorang dah tukar wallpaper ke? Ataupun wallpaper aku sensitif sebab ada gambar orang? Entahlah......

Takut juga aku malam ni tak jadi program ni atau telah dibatalkan. Takut juga pelajar tahun satu tidak mahu hadir. Lebih menakutkan bila mereka dah hadir, kita pula yang senior ni tak hadir. Hahaha........

Teringat ketika sewaktu di tahun satu dahulu. Melalui program inilah aku mengenali kebanyakan senior aku. Duduk bersama bersembang dengan mereka. Waktu tu aku panggil mereka ‘abang’. Hahaha........ Sekarang dah tak panggil dah, dah kamceng kan.......

Tapi sekarang, aku pula malas nak pergi program ni. Tak tahulah mengapa........

Jadi ke program ni diadakan???

Oh, tadi Syazwan dah beri mesej pada aku. Katanya program ini dibatalkan kerana hari ini cuti umum.........

Monday, July 13, 2009

Umpama Permainan

Hidup sentiasa penuh dengan kejutan. Itulah yang menarik mengenai hidup.

Bismillah.........

Dia lagi. Memang aku akui yang aku betul-betul tak sangka. Kadang-kadang aku tak tahu aku ni beruntung atau pun aku ni malang.

Semuanya kelihatan seperti sudah dirancang. Seperti sudah diduga. Namun tak pernah sekali pun aku merancang apa-apa. Pun tidak sekali mengatur strategi. Apatah lagi mengambil tindakan drastik. Jadi adakah ini nasib?

Suatu ketika dahulu, pernah aku minta agar diberi peluang, peluang yang aku rasa penting. Sebabnya peluang ini tak selalu datang. Lebih-lebih lagi dalam kes aku. Dan aku amat pasti tiada peluang dah bagi aku selepas ini.

Namun, aku tak pasti sama ada hajat aku termakbul atau ini cuma satu ujian untuk aku. Ujian untuk melihat apa yang aku akan lakukan. Apakah aku akan terus berjalan perlahan, berlari deras ataupun tertiarap kaku?

Hidup ini umpama permainan.

Permainan papan dan dadu.

Ambil dadu, baling dan dapat salah satu permukaan menandakan sebanyak mana perlu kita mengambil langkah. Langkah untuk buah kita dijalankan sebanyak petak yang dinyatakan oleh encik dadu.

Langkah itu sememangnya tidak kita sangka. Mungkin tiada apa yang terjadi. Mungkin sahaja bernasib baik disuruh mara ke hadapan. Mungkin disuruh undur beberapa petak. Dan mungkin sahaja kehilangan giliran atau ditendang keluar dari permainan.

Begitu juga dengan aku. langkah aku ke hadapan berdasarkan keputusan yang diambil setelah banyak perancangan dibuat. Namun, setelah perancangan dilaksanakan, elemen kejutan kadang-kala datang bertandang.

Memang betullah kata orang, manusia hanya merancang, namun Allah yang menentukan. Dan setiap kejadian sememangnya mempunyai hikmah.

Jadi.......

Adakah aku perlu mengambil peluang aku? Ataupun aku perlu berdiam diri?

Adakah aku perlu merancang beberapa strategi lagi? Atau sekadar berdiri jauh melihatnya?

Adakah tindakan perlu aku ambil? Atau berserah sahaja pada keadaan?

Biarlah aku fikirkan dahulu.......

p/s: kata orang, jangan bertepuk sebelah tangan, jika tidak, manakan berbunyi.

Tuesday, July 7, 2009

Melihat Hari Pertama Semester Baru


Bismillah.......

Senyuman terukir di bibir kami. Melihat gelagat sekumpulan pelajar tahun satu yang baru masuk ke USM.

Mungkin disebabkan semalam hari pertama mereka menghadiri kuliah di USM, maka mereka berpakaian kemas. Baju kemeja putih, berseluar hitam, lengkap dengan tali leher, kad matrik tergantung dan kasut kulit hitam. Lagi hebat apabila semuanya berpakaian sama, seperti boria pula. Hehe.......

Bagi perempuan pula, walaupun semuanya berbaju kurung tetapi tudungnya semua berwarna putih. Ikatan tudung pula hampir serupa. Pun seperti boria. Hehe.......

Sebenarnya bukan tak bagus berpakaian kemas begini. Aku pun suka tengok diorang begitu. Namun, minta-mintalah tabiat baik ni diteruskan. Jangan dah sampai tahun dua atau tahun tiga dah berselipar pula. Macam aku. Aku, lepas hari pertama, terus baju tak masuk dalam dah.

Malahan, mereka ni pula adalah pelajar APEX. Maka lebih eloklah nampak dinamik. Barulah taraf kebangsaan, kan? Penampilan diri pelajar-pelajar tahun satu kini memang penting dalam menjaga nama universiti. Mereka yang sekarang ini adalah contoh, kepada adik-adik yang akan datang dan juga kita yang lebih lama di universiti ni.

Tambahan pula, kata cikgu kaunselor sekolah aku, apabila berpakaian kemas begitu, seseorang akan menjadi lebih bersemangat dalam belajar atau bekerja. Emmmm..... Mungkin betul.

Berbanding dengan diri aku, tahulah aku betapa selekehnya aku kalau dibandingkan dengan mereka. Sudahlah pakai baju berkolar biasa, tak masuk dalam seluar (tie in) pula tu. Kasut pun kasut lama, tak berkilat dah, nampaklah kehitaman. Kadang-kadang pergi kuliah pun dengan memakai selipar. Kalau aku pakai kemeja pun, haram nak masuk dalam kecuali waktu presentation.

Berkata Che Joe kepada aku semasa dalam perjalanan pulang ke bilik.

“Merekalah Apex student kan? Bukan kita.”

“Eh, kenapa pula?” bagi aku kita pun pelajar APEX sebab kita belajar di bawah universiti yang bergelar APEX, kan?

“Kita dipilih bukan berdasarkan interview. Malahan semester ni bermula pemilihan universiti sendiri terhadap mereka. Maka mereka lah APEX student, bukan kita.”

Betul juga cakap Che Joe, dari satu sudut. Maka tak hairanlah mereka disuruh berpakaian kemas kan??

Tak kisahlah........

Apapun, selamat datang pelajar baru sesi 2009/2010. Semoga korang dapat buat lebih hebat daripada kami. Lebih hebat dari aku yang lemah ni dah pastilah.

Wallpaper di atas adalah buah tangan dari Persatuan Sains Kesihatan kepada anda. Baik betul YDP PSK kita. Kikikiki......

p/s: aku betul-betul terasa nak hempuk sahaja internet universiti kita yang dah bergelar APEX ni. Cukup-cukup menyirap.......

Monday, July 6, 2009