Ada Masanya Kita Sedih.........


Bismillah........

Dengan penuh rasa keseronokan dan kegirangan, aku rasa hendak sahaja aku habiskan menonton semua episod cerita Lost malam tu. Episod 18 yang sedang aku tonton masa tu hampir kepada klimaks dan masih penuh dengan misteri.

Namun entri aku kali ini bukanlah mengenai cerita Lost, kalau korang nak tau, tengok sendiri cerita tu. Cerita tu memang menarik, sekali korang tengok, mesti nak tengok lagi. Macamlah ayam KFC.

Seperti yang aku katakan tadi, tengah aku leka tengok cerita Lost, tiba-tiba aku dikejutkan dengan sapaan YM daripada seseorang. Siapalah yang mengganggu ketenteraman dan keamanan aku ni, aku cakap dalam hati. Rasa nak cepuk saja budak ni.

Rupa-rupanya, si pengejut adalah rakan aku, rakan aku yang dah lama tak berjumpa, sejak tamat sekolah menengah dahulu. Tiba-tiba dia masuk YM pula masa itu. Tak jadi aku nak cepuk dia.

Jadi, marilah kita panggil rakan aku ni Z. Walaupun dah lama tak jumpa dengan Z, tapi aku selalu bersembang dengan dia melalui YM. Kali terakhir adalah semasa awal cuti semester.

Z baru sahaja habis pengajian di Matrikulasi Johor. Masih lagi aku teringat dia bercerita pada aku kali terakhir dahulu yang dia tersalah banyak dalam menjawab soalan kertas kimia. Masa tu dia teramatlah sedih. Katanya banyak kali juga dia menangis. Berlainan dengan aku, kalau salah jawab, aku tidaklah sampai menangis, aku biar sahaja. Lantaklah apa nak jadi.

Dalam pada itu, sempat juga dia bercerita mengenai USM. Katanya dia adalah salah seorang mangsa kesilapan USM hari tu. Pada awalnya dia dah lihat keputusan dia mana dia berjaya ditawarkan ke USM. Kemudian, apabila dia periksa semula kemudiannya, dia tak berjaya.

Kebetulan dia berada di Pulau Pinang masa tu, dia cerita pada aku, betapa banyaknya orang di USM yang tak puas hati masa tu. Kebanyakannya kaum cina. Bukan itu sahaja, wartawan dan orang-orang DAP pun ada di situ. Lim Kit Siang pun ada. Perghhh.........

Sedihlah juga dia masa tu. Sedih sebab tak dapat jadi junior aku. Huhuhu...... kalau tidak, dia ditawarkan kursus Bioperubatan. Tapi masa tu, bukan dia seorang sahaja yang bersedih, ada 5000 orang lagi yang juga bersedih dalam situasi tu. Semuanya dalam senarai kelayakan, tapi tak berjaya.

Kemudian, dia dah dapat tawaran ke Universiti Putra Malaysia. Pilihan kelima dia dalam senarai. Bidang kimia pula tu. Astaghfirullah, hebat betul rancangan Allah. Kertas subjek kimia yang dia tangisi itulah yang membawa dia ke universiti. Dia akan masuk pada hari Ahad ini. Oh, samalah dengan USM.

Malahan, UPM yang dia dapat pun dekat dengan rumah dia. Aku teringat kata dia dahulu, dia tak mahu berjauhan dengan rumah, bimbang pada ayahnya yang sakit.

Betullah kata pepatah orang tua, setiap kejadian ada hikmahnya. Dia buat silap dalam peperiksaan kimia. Dia tak berjaya masuk ke USM. Namun akhirnya dia dapat bidang apa yang dia mahukan. Malah dekat dengan rumah pula.

Memang hidup ni ibarat roda. Hari ini sedih, esok lusa mungkin tiba giliran untuk kita bergembira. Jadi, tak perlulah kita terlalu menangisi sesuatu yang dah lepas. Yang penting adalah masa depan.

Kita memang tak tahu apa yang akan jadi pada masa akan datang. Nak ramalkan pun tak tepat. Tapi, kalau ada usaha, InsyaAllah kita berjaya. Memang ini satu pengajaran pada aku.

Aku terasa sikit semasa bersembang dengan dia. Dari awal hinggalah akhir perbualan, dia asyik berterima kasih sahaja pada aku. Sampai aku pun naik hairan. Aku tak tahu nak bereaksi bagaimana. Ikhlas dia ucap terima kasih, malah berkali-kali pula tu. Katanya aku banyak tolong dia. Namun hakikatnya, aku tak tolong apa pun. Satu apa pun aku tak tolong. Semuanya hasil usaha dia sendiri. Aku tak ada tolong pun.

Entahlah. Asalkan dia dapat apa yang dia nak, cukuplah kan???

Kikikiki........

Wednesday, June 24, 2009

Yang Terasa Di Hati


Bismillah........


Cantik betul cuaca petang sabtu tu. Tak panas, tak pula sejuk. Cerah dan masih tidak mendung. Suhu bilik aku pula sejuk setelah angin kipas memenuhi ruang bilik.

Mata terasa mengecil. Menguap sebentar. Mataku kemudiaanya terasa berair, iris semakin mengecut. Tanda berlakunya miosis (ye ke? Aku hentam saja istilah ni.) senang cerita, aku mengantuk waktu tu.

Menampakkan katil yang menunggu aku, beserta dengan bantal seolah-olah memanggil aku, malah menggoda aku untuk tidur. Tak tunggu lama, aku terus terjun, baring-baring sebentar dan tidur.

Tak lama kemudian, ayah menggerakkan aku dari tidur. Haisshhh, tak dapat aku nak lena panjang. Nasib baik ayah aku gerak, kalaulah adik aku yang gerak, dah lama aku sambung tidur lagi satu jam.

Rupa-rupanya ada tetamu masa tu. Rombongan tetamu yang datang dari Perak. Mereka datang ke sini kerana esoknya hendak menghadiri perkahwinan kakakku.

Dengan rambut yang serabai sedikit, aku tak sedar masa tu, aku bersalaman dengan tetamu lelaki. Akhir sekali aku salam dengan adik kepada arwah atuk, aku panggil dia Opah Cu.

Namun, tangan aku dia tak lepas. Senyum dia tak lekang. Mata dia jernih memandang aku yang sedang merenung dia. Tu tandanya dia ajak aku berbual.

“Udah besar kamu ni, dah ada janggut haaa......”

“Hahaha.....” Aku ketawa saja.......

“Tinggi dah ni haaa, kalah ayah tu.”

“Takdelah tinggi mana, Opah Cu...”

“Berapa tahun lagi belajar?”

“Tinggal 2 tahun......”

“Kamu takde ‘kawan’ ke?”

Ahh, sudah..... soalan tu juga dia nak tanya. Muka dewasa ke aku ni? Walaupun aku tinggi dan ada janggut, hati kanak-kanak lagi, tak boleh nak kahwin lagi.

“Kawan memang ada. Banyak......” nak sahaja aku jawab begitu. Tapi dia dah tekankan perkataan ‘kawan’, takkan aku nak jawab macam tu. Huhuhu. Jadi, aku rangka jawapan lain.

“Orang tengah belajar lagi Opah Cu. Tak habis lagi.... Kena fokus.”

“Aiii, ye laaa, sapa yang suruh kamu tak belajar. Tapi cari tu cari juga.”

Aduhhh, aku cukup lemah bila bercakap dengan orang tua. Mereka cukup pandai membalas serangan kita.

Akhirnya mak saudara aku masuk campur. Buka topik lain. Hahaha.......

Bila aku tenung wajah Opah Cu ni, rasa sedih pula. Sedih dan simpati selalu saja hinggap di hati ni tatkala melihat orang tua, terutamanya dari kalangan keluarga kita.

“Opah Cu sihat tak?” aku selalu tanya orang soalan ni.

“Haiii, begini le yang kamu tengok...”

Simpati aku bukan sebab apa, cuma sebab keuzuran tu datang bertandang bila seseorang tu dah tua. Kadang-kadang menampakkan ketidakupayaannya. Sukar nak berjalan, dah tak kuat, mata dah kabur, dan lain-lain lagi. Itu belum ditambah dengan penyakit. Maklumlah, imuniti ketika itu di tahap rendah.

Aku terfikir, mungkin fasa tua inilah fasa yang amat-amat memerlukan satu kesabaran. Redha dengan keadaan diri yang dah tak sekuat dahulu. Malah fasa ini juga mengundang perasaan sensitif yang tinggi. Kadang-kadang diri mungkin terasa kesunyian.

Teringat arwah opah dahulu, sering terasa membebankan orang di sekeliling dengan keuzurannya. Kadang-kala, dia turut menangis, cuma tangisannya disembunyikan.

Namun, Opah Cu cukup beruntung. Cucunya ramai, masing-masing baik dengannya. Dia tak keseorangan. Anak-anak dia pun turut menjaganya dengan baik sehingga kini.

Bagaimanalah aku di hari tua kelak........

Friday, June 19, 2009

Nak Jelaskan Hutang Tag

Bismillah.........


Wajah aku yang kelihatan nak tidur malam ni masih lagi aku tahan. Bila singgah sejenak di blog aku, memang aku dah terperasan berapa lama dah aku tidak kemaskinikan blog aku. Bukanlah aku malas hendak kemaskini, bukan juga kerana tiada idea dan peristiwa tapi cuma aku malas nak menaip.

Sebelum aku menaip mengenai beberapa peristiwa yang berlaku, aku nak jawab dulu beberapa hutang tag dan award. Sekadar membuang masa sebelum tidur.

**********

Tag ini daripada Huda. Seorang kakak yang aku hormati. Tapi aku tak panggil dia kakak, takut dia marah. Hehehe......

Sebenarnya tag ni dah lama dah, aku pun dah taip lama dah nak jawab, sejak habis peperiksaan akhir hari tu, cuma aku simpan dalam draft atas sebab-sebab tertentu. Maaf Huda.

1. Arahan tag:

Anda perlu printscreen wallpaper di desktop anda yg sedang anda gunakan sekarang. Jgn tukar tau.


Ini muka desktop bagi laptop aku. Yang masih tak berubah sejak dahulu hingga kini, disebabkan aku tak boleh nak buka laptop. Bateri dah habis kuasa, charger pula Che Jo simpan.

2. Bagi tau kenapa anda suka wallpaper ini.

Suka???

Aku pun tak tahu. Mungkin kerana ini adalah salah satu hasil kerja aku sebelum peperiksaan bermula. Waktu tu tersangatlah bosan untuk membaca nota. Aku mendapat idea. Aku tutup lampu bilik, biarkan lampu meja terbuka, dan aku tangkap gambar. Menjadi.

Kalaulah ada teman sebilik aku, mungkin korang akan nampak aku sedang belajar di meja tu. Hahaha.......

Apapun, aku naikkan wallpaper ini adalah sebagai pendorong kepada aku untuk berjaya dalam peperiksaan. Lampu meja menunjukkan, aku cuba berusaha, namun aku masih tak tahu aku akan berjaya atau tidak. Maka aku tulis "Semoga Berjaya". Amin....

Tambahan: kalau korang lihat, memang serabut ikon desktop aku. Aku tak sempat nak kemaskan, sebab terlalu sibuk. Aku cuma sempat salin fail orang (kebanyakannya cerita filem) di desktop tapi tak sempat nak simpan semuanya dalam satu fail master. Aku pun naik serabut dah tengok.

3. Sila tag 10 org

Banyaknya. Aku tag orang yang biasa aku tag sajalah. Anne, Hakim, Keropi, dan Hanisah.

**********

Tag kedua datangnya dari Hakim. Tag ini pun dah lama dia suruh aku jawab, tapi masih lagi tak terjawab. Siap dia suruh aku seorang saja jawab pula tu. Hahaha.......

Tagnye berbunyi begini:

Sila ceritakan 3 benda kesayangan anda..

Aiseh, 3 benda sahaja? Aku ada sebilik benda kesayangan, termasuklah bilik aku sendiri.

Lama juga sebenarnya aku memikirkan apa barang kesayangan aku. Jujur kata, aku ni seorang yang tak reti nak menjaga barang. Barang-barang selalu juga aku sepahkan, dan bila nak guna, dah tak jumpa.

Jadi, aku kira barang kesayangan ni adalah barang yang aku jaga dengan sepenuh jiwa raga akulah ya, walaupun barang itu sememangnya murah!!!

1. Al-Quran

Kitab yang baru aku beli dari SMO sebelum balik cuti sem yang lepas. Sebelum ni memang aku dah idam-idamkan nak beli Al-Quran ni dah, sebab ianya cantik, coraknya penuh berseni dan yang penting jelas untuk dibaca.

Saiznya kecil, setiap 20 muka surat akan ditukar corak bingkai. Helaian muka suratnya menggunakan kertas licin seperti plastik, kalis air kiranya. Ringan dan mudah dibawa ke mana-mana.

Dengar kata Quran terbitan ni sebenarnya ditulis tangan. Betul atau tidak aku tak tahu. Tapi mungkin betul.........

Oh ya, benda kesayangan aku ini murah sahaja harganya. Semurah novel-novel cinta yang sering korang beli dan baca.

2. Gadget-gadget aku.

Gadget-gadget aku yang telah banyak berjasa kepada aku. Daripada sudut pembelajaran, hinggalah kepada sudut sosial. Semua alat elektronik ni banyak membantu aku membuat kerja terutamanya kerja grafik aku.

Ini senarai gadget-gadget aku setakat ini:
1. Laptop Compact Presario V3000
2. Kamera Digital BenQ DC C740i
3. Telefon Bimbit Sony Ericsson W200i
4. External Hard Disk
5. Pendrive Kingston 1G

Kebanyakan alatan ni aku beli sendiri, namun yang mahal tu macam laptop dan external hard disk, ayah aku beri pinjam, tak beri terus. Dia cakap macam tu supaya aku tak lupa diri, rasanya.........

3. Lukisan picisan aku.

Picisan tu maknanya sampah kan??? Hahahaha, tu maknanya lukisan aku takde harga le, bukan tak ternilai, tapi tak bernilai.

Kebanyakan lukisan aku, aku beri pada orang. Yang tinggal hanyalah beberapa sahaja. Yang menjadi koleksi pun jarang aku tunjuk pada orang. Takut kena kutuk. Hehehe........

Monday, June 15, 2009