Aku Rasa Lega Sedikit


Bismillah........

Teringatkan lagi peperiksaan sebulan lepas. Masih lagi menghantui aku tahap kesukarannya. Dan yang paling susah bagi aku tentulah subjek patologi dan farmakologi.

Namun setelah aku melayari laman web USM pagi tadi, aku dapati keputusan peperiksaan dah pun keluar, tetapi bukan dalam bentuk gred. Yang keluar hanyalah dalam bentuk lulus atau gagal.

Mengejutkan aku, aku lulus patologi dan farmakologi. Alhamdulillah........

Lulus dua subjek susah tu pun dah cukup bagi aku.

Sekurang-kurangnya aku tak gagal dan tak perlu mengulang subjek. Kikikiki......

Korang macam mana???

Sunday, May 31, 2009

Melihat Sekolahku Sekarang......

Bismillah........


Sering kali jika ada cuti universiti, tak kiralah cuti semester atau cuti pertengahan semester, apabila aku balik ke rumah, aku mesti berhubung dengan Fadzly, seorang rakan lamaku. Apabila kami sama-sama cuti, maka salah satu aktiviti yang kami akan buat adalah melawat sekolah menengah lama kami. Dah menjadi hobi kami rasanya.Justify Full
Asalnya ingin aku ajak dia ke sekolah semasa sambutan Hari Guru yang lepas, tapi tidak menjadi kerana pada pagi sambutan tersebut aku mengantuk, cuma tidur 2 jam sahaja pada malam sebelumnya. Jadi, kebetulan setelah kami keluar semalam, aku ajak dia untuk pergi pagi ni. Dia setuju.

SMK Bandar Baru Seri Petaling adalah nama sekolah menengah kami. Jaraknya hanya beberapa minit sahaja jika berjalan dari rumah aku. Selalunya aku datang lambat ke sekolah sebab jarak dekat, kikikiki....... Walaupun selepas jadi pengawas, aku tetap datang lewat.

Aku lihat banyak perubahan pada sekolah ni, semakin cantik dan semakin banyak kemudahan baru. Selalu terjadi begitu, selepas aku tamat sekolah rendah, menengah atau matrikulasi, barulah nak cantik dan tambah kemudahan. Semasa aku menuntut ilmu, tak ada pula usaha nak menambahkan prasarana. Hahaha.......

Dulu, zaman aku........

Sekarang dah cat baru dah........

Apa yang kami berdua buat di sekolah???

Selalunya ada dua aktiviti yang kami lakukan apabila kami melawat sekolah. Pertama, aktiviti kami pada kebiasaannya akan kami habiskan masa bersembang dengan guru kaunseling, Cikgu Talib di biliknya. Ini memang aktiviti wajib kamilah kiranya. Memang setiap kali kami datang ke sekolah kami akan terus ke biliknya.

Malangnya ketika datang pagi tadi, beliau tiada di biliknya. Kecewa jugalah. Silap aku juga sebab ajak Fadzly datang pada masa begini. Aku sememangnya terlupa sekarang ini waktu budak-budak menghadapi peperiksaan. Maka mestilah guru-guru sibuk menjaga kelas masing-masing.

Namun, sebaik sahaja kami melangkah di tangga bilik pengetua, terjumpa pula dia yang sedang membaca papan kenyataan.

“Cikgu.......” aku menegur.

Dia tengok aku. Aku lihat dah banyak sikit dah uban dia berbanding aku jumpa dia beberapa bulan lalu.

“Haaa tuan, apa cerita?? Sihat??” hahaha, dia suka gelarkan bekas murid-murid dia dengan ganti diri ‘tuan’ pada awal bicara.

“Sihat. Cikgu ada kerja ke? Kami baru ingat nak jumpa cikgu.”

“Haaaa, meh pergi bilik saya jom.”

Dan di biliknya, banyak jugalah kami berbincang dengannya. Kadang-kadang, walaupun kami bertandang tanpa masalah atau topik, dia pula yang mengemukakan topik perbualan. Dia kan cikgu kaunseling.

Masalah di universiti, masalah di sekolah, masalah kaum Melayu kurang berjaya di sekolah, masalah gaji guru malah masalah gagasan 1 Malaysia pun dia cerita juga. Aku pun baru tahu, rupanya gaji pengetua dengan guru biasa tak beza banyak mana pun. Yang bezanya elaun sahaja.
Seronok bercakap dengan Cikgu Talib ni. Buah pandangan dia bernas, malah apa yang diperkatakan pun benar. Dia pun dah banyak makan garam, tau lah dia yang mana manis yang mana masin.

Aktiviti kedua kami, kami akan duduk membaca papan kenyataan pelajar di lorong tingkat dua. Kadang-kadang saja buat baca. Bukan apa, bila duduk di situ, adalah guru yang melalui lorong itu sama ada hendak ke bilik guru atau sedang menuju ke kelas. Dan di situlah kami selalu terjumpa dengan guru-guru lama kami.

Kami akan bersembang dan berbual kejap. Pertanyaan mereka lebih menjurus kepada apa yang kami buat sekarang, dan belajar di mana. Ada pula cikgu tadi bertanya aku “kamu ni dah berkahwin ke? Berjanggut macam bapak orang dah.” Hahaha......

Kadang-kadang aku selalu terfikir, walaupun semua guru lupa nama aku dan kawan-kawan, tetapi dia masih ingat muka kami.

Selalunya aku mesti akan berjumpa dengan pengetua sekolah, Puan Hajah Bidah yang sering melalui lorong tu. Hubungan kami agak baik dan aku banyak terhutang budi pada dia. Sekarang dia dah bersara, pertengahan tahun lepas kalau aku tak silap. Kecil hati aku tak dapat jumpa dia lagi.

Puan Hajah Bidah, bekas pengetua SMKBBSP

Ada sekali tu, tahun lepas kalau aku tak silap, aku dan Fadzly datang nak dapatkan pengesahan sijil dari dia, dia ajak masuk bilik dia pula. Bersembanglah kami bertiga. Dia siap tawarkan kami jadi pengajar sementara pula. Aku jadi pengajar??? Kikikiki......... korang pun tau apa akibatnya.

Kadang-kadang datang sekolah ni dapat melepaskan rindu, rindu pada zaman persekolahan dulu. Tempat aku membesar lima tahun, tempat yang pernah merakamkan pelbagai kenangan. Malah, aku selalu teringin nak berjumpa dengan guru-guru aku dahulu, bersembang dan bercerita.

Aku pun tak tahu kenapa aku selalu nak jumpa mereka. Namun aku rasa mungkin sebab aku tak nak lupakan mereka. Bukan sahaja jasa mereka, tapi tak nak lupakan muka mereka. Mereka yang mengajar aku sehingga aku dapat melangkah sebegini jauh.


Badan Pelajar Islam, aku naib pengerusi.......

Cikgu Talib, misalnya, tanpa dia, aku takkan tahu wujudnya matrikulasi. Pengetua Hajah Bidah, pernah sampai aku ke rumah dia pergi minta tandatangan pengesahan sehari sebelum masuk matrikulasi. Cikgu Ali, kalau tiada dia, tak adalah ilmu aku dalam membuat banner dan catan. Cikgu Azhar, banyak kali memarahi anak murid demi membetulkan kesalahan laporan eksperimen yang mana bagi aku masih diaplikasikan sehingga ke hari ini.

Namun, aku terperasan satu perkara. Banyak sudah guru yang berjasa kepada aku yang sudah tidak lagi berkhidmat di sekolah ini. Kebanyakannya merupakan guru baru dengan muka yang tidak aku kenali.

Bukan sahaja guru, malah pelajar-pelajar pun dah aku tak kenal, sebab banyak pelajar baru yang baru masuk. Junior kami pun mana ada dah.

Masa pun dah banyak berlalu, cikgu-cikgu pun dah makin tua........

Semoga aku boleh datang lagi sekolah ni pada cuti akan datang. Dan masa tu, minta-mintalah ada lagi guru yang aku kenali....

Wednesday, May 27, 2009

Aktiviti Muat Turun Cerita

Bismillah........


Perasaan bengang memenuhi mindaku. Muat turun menggunakan perisian Bittorrent memang menguji kesabaran aku. Bayangkan aku muat turun satu cerita, ianya 100% siap selepas seminggu menunggu.
Proses muat turun........

Kebiasaan aku semasa cuti, selain membuat kerja yang perlu dibuat, aku sering memuat turun beberapa cerita yang hati aku rasa berkenan. Sejak mendapati beberapa laman web yang mengandungi banyak sambungan muat turun, memang kebanyakan hari cuti di kala aku tiada kerja, aku habiskan masa dengan memuat turun cerita tersebut.

Sebelum balik bercuti, aku mendapati satu tajuk cerita yang aku rasa aku betul-betul nak iaitu cerita mengenai penyiasatan. Cerita Galileo menyiasat kes polis yang melibatkan fenomena pelik dengan menggunakan teori fizik. Tertarik dengan cerita ini, aku pun mencari cerita ini di tempat biasa aku memuat turun cerita. Malah semasa cuti ini, aku juga tertarik dengan beberapa cerita penyisatan dari negara matahari terbit.

Cerita Galileo

Sebelum cuti, aku sempat menimba ilmu muat turun dengan menggunakan perisian Bittorent daripada Hakim. Dalam hati, memang aku ingin mencuba muat turun menggunakan perisian ini sebab sebelum ini, aku sering terjumpa cerita yang hanya boleh dimuat turun menggunakan perisian ini.

Ohh, sebelum itu, mari aku terangkan dahulu beberapa cara muat turun bagi kamu yang masih kurang memahami.

Pertama, muat turun terus (direct download), proses muat turun terus dari satu alamat (link) yang disediakan. Kebanyakan kita sering menggunakan cara ini.


Kedua, menggunakan Torrent, muat turun yang bergantung kepada beberapa faktor seperti peer, host dan lain-lain. Aku masih baru belajar dalam torrent. Namun aku dapati, kebanyakan cerita sering menggunakan torrent.


Ketiga, muat turun secara IRC. Ini memang aku tidak tahu menggunakannya.

Kebiasaan aku menggunakan direct download. Namun cuti ini aku ingin cuba menggunakan torrent.

Namun, kata orang, malang tak berbau. Charger laptopku tertinggal di kampus. Maka aku terpaksa menggunakan komputer desktop yang perlahan sedikit dari laptopku. Alhamdulillah, cerita yang melibatkan direct download menggunakan link Rapidshare dan Megaupload berjaya aku perolehi, walaupun Megaupload sedikit lambat.

Namun, cabaran bermula apabila sesetengah cerita hanya boleh di muat turun menggunakan torrent. Pertama aku muat turun secara torrent menggunakan Limewire. Kemudian aku muat turun beberapa cerita lain menggunakan Bittorent.

Ahhh, terlalu lambat kalau dibandingkan dengan direct download. Malah ada satu masa, terasa nak hentak sahaja komputer ini dibuatnya, namun, aku masih mampu bersabar. Alhamdulillah, Galileo The Movie adalah kejayaan pertama aku menggunakan torrent.

Setelah cerita Galileo tamat, aku meneruskan pula memuat turun satu cerita yang bertajuk Gonzo. Aku bernasib baik kerana terjumpa link secara direct download, bagi episod 1 hingga 4. Sangkaan aku ceritanya tamat apabila episod 4, namun masih ada 6 episod lagi rupanya. Sudahlah episod kelima merupakan episod pembongkaran misteri bagi empat episod pertama.

Cerita Gonzo

Namun bagitu, keenam-enam baki episod ini hanya boleh dimuat turun menggunakan torrent. Aku tak tahu nak kata apa dah. Mahu tidak mahu, terpaksa juga menggunakan torrent yang lambat ini.

Sudah 4 hari, namun masih lagi tidak habis memuat turun satu episod. Nilainya 50% siap. Jadi, pagi tadi, aku mencuba nasib mencari juga link untuk direct download supaya aku tidak mensia-siakan masa aku.

Nasib aku agak baik. Aku terjumpa!!! Alangkah gembiranya aku. Aku batalkan semua muat turun secara torrent, kerana bimbang melambatkan perjalanan komputerku. Ingatan sekali lagi kepada pembaca, komputer desktopku ini memang lambat sedikit.

Aku tidak membuang masa lagi, terus aku muat turunnya. Sehinggalah dapat satu cerita dalam masa dua jam setengah sahaja berbanding torrent, separuh jalan baru empat hari.

Terlupa aku katakan di sini, dalam memuat turun cerita, fail yang dimuat turun adalah dalam format RAR dan ia perlu dicantumkan untuk membentuk cerita.

Jadi, aku gunakan perisian 7Zip untuk mengekstrak atau mencantumkan cerita tersebut. Dalam permulaan nak mencantumkan cerita, tiba-tiba keluar satu arahan seperti dalam gambar di bawah.


Aaaahhhhh, apa kata laluannya???

Aku terasa nak hentak kepala ke dinding sahaja masa tu........

p/s: maafkan aku kerana aku terpaksa menggunakan perkataan bahasa Melayu bercampur dengan beberapa istilah bahasa Inggeris dalam entri kali ini. Sukar untuk menggunakan istilah dalam bahasa Melayu......

Saturday, May 16, 2009

Nukilan Kenangan Permulaan di Matrikulasi...

Bismillah......

Melayani perasaan. Itulah yang aku lakukan semasa aku dalam perjalanan pulang dari kampung ke rumahku. Hendak bercakap, tiada topik untuk diperkatakan kepada ahli keluarga yang lain di dalam kenderaan. Jadi aku pun memandang ke luar tingkap melihat persekitaran dan melayani perasaan.

Sedang kami melalui lampu isyarat Simpang Pulai, aku terlihat satu banner. Banner yang dinaikkan sempena hari ini, 11 Mei 2009. Banner yang memberitahu 11 Mei adalah tarikh pengambilan baru pelajar ke Matrikulasi Perak (dan mungkin seluruh matrikulasi yang lain).

Dan aku mula teringat akan kenangan aku semasa di matrikulasi dahulu. Memang banyak kenangan manis dan pahit ketika aku di matrikulasi. Dan aku juga banyak mempelajari sesuatu di matrikulasi.

Cara berfikir,

Cara aku berdikari,

Cara aku belajar ,

Mungkin sebahagian daripada aku hari ini adalah kesan daripada aku di matrikulasi dahulu. Berbeza sekali di sekolah menengah, matrikulasi adalah permulaan aku belajar berdikari seorang diri. Belajar mengenali ramai manusia.

.......

“Mak, abang dapat matrik, Matrikulasi Perak!!” aku berkata kepada emak di luar.

“Haa, matrik? Mana abang tahu?” tanya emak semula.

“Ni, di internet ni dah umumkan.” Aku memberitahu, sambil melihat keputusan pengumuman di skrin monitor.

“Ya Allah, budak ini. Tutup komputer tu. Tak dengar ke guruh tu???” mak aku dah mula marah. Kedengaran bunyi guruh makin bersambungan. Langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Aku terus menutup komputer.

Dahulu, akibat membuka televisyen ketika guruh berdentum, televisyen rumah aku pernah meletup kecil. Aku sendiri menyaksikan percikan bunga api bersama opah aku selepas rancangan kami hilang di skrin, kemudian gelap rumah kami satu malam. Mungkin emak tak mahu perkara yang sama berlaku lagi dengan komputer ini pula.

Jujur kata, selepas itu, aku makin keliru. Baguskah dapat matrikulasi? Secara jujur, aku tak pernah ambil tahu apa itu matrikulasi atau diploma atau ijazah selepas sekolah menengah dahulu. Bagi aku semuanya sama.

“Tak sama!!!” kata mak.

“Apa yang tak samanya? Bukan semuanya masuk univeriti ke?” tanya aku semula.

“Matrikulasi bukan universiti, walaupun sesetengah universiti ada matrikulasi.” Ahhh sudah, makin keliru aku dengan penjelasan emak.

Namun emak menyimpulkan yang matrikulasi adalah jalan pintas untuk mendapatkan ijazah selain diploma dan tingkatan enam. Begitu juga kata cikgu Talib, kaunselor sekolah aku.

Kawan aku pula berkata matrikulasi hanya untuk mereka yang pandai sahaja. Ahhh, mengarutlah, kalau untuk mereka yang pandai, kenapa aku dapat masuk matrikulasi?? SPM aku hanya berapa sahaja.

Dan hari yang dinantikan tiba. 15 Mei 2006 kalau aku tidak silap tarikhnya. Aku ingat malam pendaftaran aku ada cerita Numbers musim kedua yang akan mula ditayangkan di saluran AXN. Kami tiba awal, sekitar jam 8 atau 9, namun, aku lihat kereta sudah ramai beratur di jalan luar matrik. Kami pun ikut beratur. Terfikir juga aku masa itu, berapa ramai orang yang masuk matrikulasi sebenarnya.

Pintu depan Matrikulasi Perak....

Kereta ayah diletakkan di padang. Namun, untuk ke asrama lelaki, kami kena naik tangga bukit. Perghh, punyalah tinggi, nasib baik kami tak membawa beg lagi. Ibu bapa dan pelajar lain yang membawa beg berat menaiki tangga curam tu memang semput dibuatnya.

Padang yang dijadikan tempat letak kereta....

Aku beratur di luar bilik televisyen untuk pendaftaran. Sempat lagi membetulkan dokumen yang perlu setelah ada petugas memberitahu dokumen apa yang diperlukan kepada semua pendaftar.

Setelah mendaftar, aku naik ke bilik bersama ayah dan akak aku (aku panggil dia Ila). Bertuah, ayah dapat membawa keretanya ke asrama, maka mudah untuk kami mengambil bagasi ke bilik baruku. Kata Ila, bilik matrik lebih besar dari bilik di universitinya. Aku akui pernyataan ini. Bilik di matrikulasi aku 3 atau 4 kali ganda lebih besar dari bilik di USMKK, walaupun berkongsi empat.

Sebelum pulang, ayah sempat berpesan kepada aku. Pesanan bersifat pertanyaan.

“Kalau Ila yang perempuan boleh hidup berdikari di UiTM Arau di Perlis nun, kenapa abang tak boleh?”

Selepas mereka pulang, aku mula berkenalan dengan rakan sebilikku. Amin, dari Melaka, Faisal dari Perak dan Shi dari Perak juga. Mulanya kami agak terasing kerana masing-masing agak kurang bercakap, namun aku tahu serba sedikit mengenai mereka, mereka kesemuanya dari sekolah berasrama. Terasa kecil aku masa tu. Itu belum lagi aku cerita di makmal kimia. Nantilah aku cerita kemudian.

Malam, selepas aktiviti di Dewan Serbaguna, ucapan pengarah matrikulasi, semuanya keletihan, termasuklah aku.

Sebelum tidur, aku mula berfikir. Begini rupanya hidup orang merantau. Bersendirian di tempat asing. Kata pepatah, rusa masuk kampung. Namun, kalau nak hidup kenalah faham dan biasakan dengan persekitaran. Masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang kerbau, menguak.

Mampukah aku hidup di matrikulasi?? Mampukah aku membawa kejayaan ilmu dari situ??

Persoalan yang masa itu masih lagi aku tak dapat menjawabnya, walaupun sekarang telah aku mengetahuinya.

Perlahan-lahan mata aku lelapkan.

Asrama kami di atas bukit, jenuh mendakinya......

Asrama perempuan hanya di tepi jalan sahaja.....


Dewan Kuliah kami.....


Masjid yang menjadi rumah kedua aku...

Dewan Serbaguna tempat perhimpunan kami...

p/s: kepada pelajar baru matrikulasi, semoga berjaya ketika di matrikulasi. Walaupun korang pernah berjaya di sekolah menengah, korang terpaksa bermula dari kosong di matrik.


Monday, May 11, 2009

In Finishing Few Project

Bismillah.........


Aku masih bercuti, tapi bukan cuti dengan kekosongan. Bukan cuti yang hanya makan minum dan tidur sahaja. Aku juga tiada kerja di kedai dan tiada latihan komuniti seperti budak-budak Dietetik, maaf, pelajar-pelajar Dietetik(nanti mereka marah).

Tapi aku juga bekerja. Bekerja di rumah. Di rumah yang aku anggap studio.

Bekerja di rumah bukanlah bermaksud aku menjadi surirumah tangga. Korang pun tahu aku kalau mengemas rumah, kucar-kacir jadinya. Itu belum jika disuruh masak lagi.

Sekarang, aku cuma bekerja membuat projek grafik sahaja. Banner SKSPM ni adalah atas arahan Azmir. Mungkin diterima mungkin tidak. Terlebih dateline sebenarnya. Patutnya hantar semalam, tetapi akibat tiada logo, aku terpaksa hantar hari ini.


Banner ini dibuat dengan menggunakan perisian Adobe Photoshop CS3. Agak mudah menggunakan CS3 sebab dia ada satu tool yang mudah untuk memotong gambar yang tiada dalam CS dan CS2.

Seterusnya selepas adalah sedikit kerja Rakan Masjid yang perlu diuruskan. Namun kesulitan melanda diri ini apabila kesemua bahan yang aku perlukan ada di dalam laptopku. Dan laptopku kehabisan bateri.

Sudahlah kehabisan bateri, charger (aku tak tahu bahasa Melayunya) laptopku pula tertinggal di USMKK. Aku terlupa hendak mengambilnya. Aaarrrghhhhhh.......

Dan sekarang, aku betul-betul rasa memang bagus aku buat blog ni. Ketiadaan bahan dari laptop membuatkan aku terpaksa merujuk semula hasil kerja aku yang terdahulu dari blog ini.

Terima kasih aku ucapkan kepada Che Joe kerana tolong simpankan charger aku dan rantai laptopku yang tertinggal. Namun cuti ni, aku tak boleh buka laptoplah nampaknya. Cadangnya hendak muat turun banyak cerita, akhirnya kempunan.

Jadi, selain bekerja ini, kerja aku yang lain hanyalah membaca buku. Kakak aku sempat berkunjung ke Karnival Buku Kuala Lumpur yang lepas dan membeli buku Bercinta Sampai ke Syurga dan Rindu Bau Pohon Tin karya saifulislam. Hahaha........

Tambah pula mak aku ada beli beberapa buku menarik, memang cuti ni aku akan banyak membaca.

Thursday, May 7, 2009

Uhuhu, Karya Lama

Bismillah..........

Dalam aku mengemas barang-barang, daripada nota hinggalah kepada buku-buku, aku terjumpa beberapa karya aku yang lama dahulu. Tak berapa menarik pun sebenarnya. 

Memandangkan kakak aku dah nak sampai, aku cuma dapat muatnaik beberapa sahaja. 

Korang pernah baca Stories Of Sudin?? Satu komik yang pernah aku buat satu ketika dahulu dalam entri aku yang terawal? Sebenarnya, inilah permulaan ceritanya.

Stories Of Sudin 1

Huda pernah buat satu entri mengenai potret. Aku pula masa tu dah lama meninggalkan pensel 2B aku. Ini hasilnya semasa aku tengah penat baca nota untuk peperiksaan hari tu. 

Potret perempuan yang tidak bernama. cuma khayalan. Hahahaha.

Ini salah satu permintaan seorang rakan. Dimintanya aku melukis Ultraman untuk adik dia. Tapi aku tak sempat nak beri pada kawan aku. Maaf kawan. Kau tak minta, tapi aku memang menunggu malam tu.

Aiseh, kakak aku dah datang.

Friday, May 1, 2009