Naik Sakit Kaki Aku........

Dalam kenangan, mengalahkan Daus semasa Larian Untukmu Palestin....

Bismillah.....

Melihat orang lain sudah pun mula berlari, aku pun turut berlari bersama mereka. Memang pada mulanya aku pecut sedikit, dan aku cuba kekalkan kelajuan aku. Dapatlah aku memotong kawan-kawan aku yang lain yang turut bersama berlari dalam ujian Cooper ini.

Ujian Cooper atau lebih dikenali dengan Cooper Test adalah ujian yang mengukur pelajar-pelajar Persatuan Sains Kesihatan (PSK)yang mengambil subjek ko-kurikulum dalam larian mereka, larian pre dan juga post, terutamanya mereka yang mengambil subjek sukan dalam ko-kurikulum. Kedua-dua masa yang diambil dalam larian ini (pre dan post) akan dikelaskan mengikut kategori atau tahap tertentu dan dilihat sama ada mencapai kemajuan ataupun tidak.

Sampai di penghujung jalan pertama, kaki aku dah mula sakit. Sakit akibat larian yang dibuat pada hari yang sebelumnya, dan juga hari yang kelmarin. Sebenarnya, aku terasa sakit kepala membaca nota patologi yang menimbun, di samping nak memahami dan juga mengingati.

Jadi, aku ambil keputusan untuk berlari pada petang Ahad dan Isnin untuk menenangkan fikiran. Dan aku kalau berlari, memang berlari nak pecahkan rekod. Itu yang membuatkan kaki aku sakit, sejak semester 1 lagi kalau aku berlari tidak berselang hari, kaki aku akan sakit. Namun, aku terlupa yang hari Selasa ada ujian Cooper. Hah, berlarilah aku dalam keadaan kaki yang sakit.

Walaupun kaki aku dah sakit masa tu, aku tetap teruskan juga berlari. Sampailah aku dalam kumpulan perempuan yang sedang berlari. Aku rasa nak berhenti masa ni, tetapi aku tetap teruskan juga demi menjaga maruah aku di hadapan perempuan. Hehehe, ego tinggi aku ni.

Pertengahan jalan yang kedua, aku dah rasa betul-betul hendak berhenti. Kaki makin sakit. Jadi, aku perlahankan sedikit kelajuan aku.

Tiba-tiba, muncul seorang yang memakai baju biru dan kuning di sebelah kiri aku. Daus!!!  Dia dah kejar aku rupanya. Selalunya, kalau aku terlibat dalam larian yang penting, mesti dia ada di tepi aku. Tak tahu kenapa. Larian Cooper semester lepas, dan juga Larian Untukmu Palestin.

Masa tu, aku dah tak fikir mengenai kaki aku dah. Sakit atau tidak, lantaklah. Aku cuma fikir, aku tak boleh dikalahkan oleh Daus. Sebab sebelum ni, memang aku asyik kalahkan Daus pun.

Maka aku pun berlarilah bersama Daus. Halaju kami sederhana. Banyak juga rakan-rakan lain kami potong. Jaidi, Rashid, Saufi dan budak-budak perempuan.

Daus pun aku tengok dah banyak dah peningkatan. Dulu, kalau lari macam ni, dia akan rasa letih. Mesti dia dah banyak berlatih atau selalu turun jogging ni.

Kami kekalkan kelajuan kami, dan memotong beberapa orang pelajar lagi. Tapi, kami tetap tak boleh nak potong Ikram, yang berada jauh sikit daripada kami. Akhirnya Ikram sampai ke garisan penamat dahulu.

Melihat Ikram dah sampai ke garisan penamat, aku lintas jalan. Daus tak perasan. Depan aku ada seorang budak forensik tahun pertama, Syami. Daus lihat aku melintas, dia pun melintas sama.

Ahhhh, kaki aku dah mula kesakitan. Kenapalah masa genting ni kaki aku sakit? Aku mula perlahankan langkah aku. Daus pun aku tengok mula meninggalkan aku perlahan-lahan.

Sekarang aku berlari bersama dengan Syami. Sampai sahaja di blok Murni, kawasan yang ada banyak kerusi kecil tu, aku memulakan langkah besar, langkah yang Ijon selalu gunakan masa berlari.

Syami perasan yang aku cuba nak potong dia. Dia pun tak tunggu lama, terus berlari deras. Tapi dia tak tahu aku ni siapa.......

Langkah besar yang aku gunakan memang berkesan, aku dapat potong Syami. Sehinggakan Syami cakap pada aku sendiri, dia nak kejar aku pun dah tak boleh. Hahaha, maaf kawan, sasaran aku bukan kau, tapi Daus.

Aku terus kejar Daus. Langkah aku besarkan lagi, lajukan lagi.

Akhirnya aku dapat menghampiri dia. Waktu tu, kami sudah pun hampir di garisan penamat. Lagi sedikit aku nak potong Daus, lagi sedikit. Kakak yang jaga masa (aku tak tahu dia jurulatih atau tidak) perasan akan kehadiran kami. Dan dia juga perasan yang aku sedang mengejar Daus.

Aku percepatkan lagi langkah aku, lagi sedikit. Daus pula tak perasan aku di belakang dia. Lagi sedikit, lagi sedikit.

“Dua belas tiga lima, dua belas tiga enam” kata kakak tersebut, sambil tersenyum melihat kami berdua.

Aaarrrgggghhhhhh, aku tak dapat kejar Daus. Aku ditewaskan dengan masa satu saat sahaja, mungkin beberapa milisaat. Sedih aku dibuatnya. Bukan rezeki aku rasanya hari tu.

Waktu berhenti tu, kaki aku kalau diberi mulut, mesti kaki aku dah menjerit. Memang pedih rasanya, terutamanya kaki kiri aku. Aku berjalan pun tak betul dah masa tu sehinggalah balik, masih terhincut-hincut. Sehingga hari ini terasa lagi tapi dah kuranglah sedikit kesakitannya.

Aku rasa betul-betul puas masa tu, walaupun tak dapat mengalahkan Daus, tapi aku dah pecahkan rekod aku. Sebelum ni, ujian Cooper aku yang pre adalah empat belas perpuluhan enam belas saat. Kalau lari hari sebelumnya pun tiga belas saat, itu pun tak tambah jarak permulaan dari tangki air.

Memang ada sedikit kemajuan. Tapi aku rasa itu yang terakhir, sebab tak mungkin aku boleh capai rekod tu lagi selepas ni.

Dalam hati aku, aku tetap berterima kasih pada Daus sebab kalau dia tak berlari tepi aku, dah lama aku berhenti berlari.

p/s: mungkin korang terasa, dua belas minit tu tiadalah apa sangat, tapi bagi aku, memang satu kejayaan untuk aku. Huhuhu........

Saturday, March 14, 2009

0 Comments: