Kejadian Kecil Yang Menginsafkan........


Bismillah.......

Dia pernah berkata pada aku, "hidup ni memang menarik, perkara yang tak disangka sering berlaku." Dan aku yang masa tu baru masuk matrik, baru nak hidup berdikari tak tahu lagi makna ayat tersebut secara mendalam.

Dia memang betul. Pengalaman yang aku lalui sejak dari matrik hinggalah kini sedikit sebanyak mengajar aku bahawa falsafah itu sering berlaku. Memang aku alaminya sehingga hari ini.

Pagi tadi, pagi yang tenang, cerah dan sepi........

Aku bangun lewat sedikit. Aku isi pagi dengan aktiviti yang tidak menarik, yang kekosongan, aku cuma buang masa melayari internet dan membaca buku. Kemudian tidur semula. Banyak benda tak elok aku lakukan pagi tadi. Teruk aku ni.

Entahlah, apa nak jadi aku ni....... Aku pun tak tahu.......

Tengahari, aku bangun, pergilah mandi, bersihkan diri. Siap-siap nak pergi sembahyang Jumaat. Sambil pakai baju, aku terfikir suatu hajat......

"Kalaulah tiba-tiba aku dapat jumpa........" Hahaha, aku sahaja tak habiskan ayat aku tu. Korang fikirlah sendiri. Apapun, ia bukanlah satu hajat yang tak baik, cuma hajat yang tak mungkin berlaku.. Kenapa tak mungkin berlaku? Permata mana boleh tiba-tiba muncul di atas jalan tanpa sebab, kan?

Sukar untuk berlaku pada aku.

Sukar.....

Selepas siap, aku bergerak ke masjid. Dan dalam perjalanan itulah aku terasa, aku sememangnya tersilap. Sesungguhnya kata kawan aku memang benar, perkara yang tak disangka boleh berlaku.

Dan ia berlaku pada aku. Sukar aku nak nyatakan, walaupun sekejap, tapi aku rasa memang hajat aku dah tercapai. Memang aku jumpa........ Heh, susah aku nak gambarkan perasaan aku masa tu. 

Itulah kuasa Allah. Semua benda Dia kawal. Dialah yang mengaturkan segala-galanya. Segalanya di luar sangkaan manusia, macam aku ni.

Aku terfikir, pagi tadi yang aku habiskan dengan buat perkara tak elok, Allah tunaikan pula permintaan aku..... Rasa tak setimpal. Makin bersalah aku rasa diri ni.

Aku tak tahu nak kata apa, terharu pun ada juga. Memang terbukti kalimah "Bismillahirrahmanirrahim". Memang Allah maha pemurah lagi maha penyayang.

Sesungguhnya aku mengaku aku memang manusia yang tak tahu bersyukur.

p/s: teringat kata-kata ustaz dahulu. Kadang-kala, kata-kata hati bersifat permintaan boleh menjadi satu doa. Maka jauhkanlah dari meminta sesuatu yang buruk berlaku kepada diri orang. Bimbang makbul.....

Thursday, March 26, 2009

Aku Masa Kecil Dahulu......

Pernah tak terfikir betapa susahnya mak bapa kita nak sekolahkan kita???


Bismillah.........

Mengintai semula semua entri di laman blog rakan-rakan, aku terbaca entri lama milik Che Joe, entri yang bertajuk The Past Ep. 1 : The First Step. 

Di akhir entri tersebut, ada dinyatakan nama-nama supaya mereka yang disebut namanya ini dapat menceritakan pengalaman mereka semasa di sekolah semasa kecil dahulu. Nama aku adalah antara yang disebutkan.

Jadi, sekarang aku nak tunaikan janji aku kepada Che Joe untuk ceritakan pengalaman aku masa kecil dahulu, walaupun dah lama aku lupa nak tunaikan.

Rasanya cerita aku hampir sama dengan versi korang, cuma berlainan tempat sahaja.

...........

“Mak, kenapa abang mesti pergi sekolah?” aku bertanya.

“Mestilah, semua orang kena pergi sekolah, belajar.” Mak aku jawab, ringkas.

“Kalau abang tak mahu pergi sekolah?” aku bertanya lagi.

Mak tersenyum, sambil memandang aku.

“Semua orang wajib pergi sekolah. Kalau abang tak pergi sekolah, nanti mak dengan ayah kena penjara. Kerajaan marah.” Ohhh, jawapan yang masih aku ingat yang masih menakutkan aku masa aku kecil dahulu.

Jadi, disebabkan aku tak mahu mak masuk penjara, walaupun aku tahu sekarang ni yang mak aku temberang aku, aku pun pergi ke sekolah. Sebelum pergi, ada juga aku dengar cerita kakak aku yang terlebih dahulu pergi ke sekolah sebelum aku, sebab dia lagi tua.

“Nanti abang nak pergi tandas, kena minta kebenaran cikgu dulu.” Pesanan dia.

Pagi esoknya aku bangun, mak aku gerakkan. Mak masakkan air panas untuk aku mandi. Adik perempuan aku masih lena tidur. Aku masa tu memang cemburu dengan dia, dalam semua hal.

Dah mandi, aku capai baju sekolah putih dengan seluar biru gelap. Rasa-rasa aku, kalau aku tak silap, aku pakai bedak lagi masa tu, dengan tali pinggang. Aku sembahyang Subuh kemudiannya. Lihat katil, ishh, tidur lagi budak ni.

“Abang, meh makan cepat. Nanti lambat nak ke sekolah.” Emak memanggil.

Aku turun ke bawah. Menjamah sedikit hidangan pagi yang mak buatkan. Atuk dan opah masih tak kelihatan, selalunya waktu ini diorang sedang membaca al-Quran. Kakak-kakak aku semua dah siap makan.

Selepas makan, aku capai beg aku. Ringan sahaja. Heh, sebab aku cuma bawa buku latihan sahaja. Kata kakak, hari pertama tak perlu bawa buku teks. Buat berat sahaja, jadual waktu pun masih belum ada. Bimbang juga aku, takut kena marah dengan cikgu di sekolah.

Lencana sekolah aku...

Di sekolah, ayah dan kakak aku iring aku sehingga ke kelas. Banyak juga ibu bapa di kelas tersebut yang masih menemani anak-anak mereka. Ayah aku tak tunggu lama, dia terus pergi kerja. Ayah suka tinggalkan aku supaya aku berdikari. Kakak aku pun beredar pergi ke kelasnya.

Di kelas yang diberi nama 1 Biru itu, aku duduk di baris hadapan. Ada seorang budak di tepi aku. Dialah kawan aku yang pertama setelah aku masuk ke sekolah rendah. Aku berkenalan dengan dia, namanya Fahmi Ahmad Rashidi. Dulu, aku rapat dengan dia. Sekarang, kami dah jarang berjumpa. Dia pun dah berubah dah, dah tak macam dulu.

Cikgu kelas kami, Cikgu Faridatul Aznah, masuk ke kelas. Dia perkenalkan diri, dan minta kami perkenalkan diri. Sesi taaruf. Tanpa diduga, dia lantik Fahmi jadi ketua kelas, aku pula penolong ketua kelas. Masa tu aku naif lagi, tak tahu apa pun, aku pun terima saja.

Kringgg......... loceng berbunyi. Eh, awalnya balik. Rupanya bukan waktu balik, tapi waktu rehat. Mana aku tahu. Dulu masa tadika tak ada pun bunyi loceng rehat. Aku makan dengan Fahmi. Ayah dan ibu dia tunggu dia masa tu. Aku ikut sama, dengan membawa bekalan aku.

Korang tahu berapa duit belanja aku masa kecil dulu? Tiga puluh sen. Bila aku darjah enam, duit belanja aku lima puluh sen. Bila aku masuk sekolah menengah, duit belanja seringgit sehinggalah tingkatan lima. Kawan-kawan aku ada yang mencecah tiga hingga lima ringgit sehari. Gilaaa.......

Di waktu rehat, banyak juga aku berjumpa dengan kawan-kawan lain yang sudah aku berkenalan di tadika dahulu. Ilyas, Adam, Hakimi, Firdaus dan lain-lain. Hari pertama kami masih tak bermain, hari-hari yang lain, waktu rehat kami selalu main lepas makan.

Loceng berbunyi buat kali kedua, kami beratur di tapak perhimpunan, berbaris kemudian masuk ke kelas. Belajar dan belajar lagi. Matematik, bahasa Melayu, Inggeris. Ada cikgu yang baik, ada cikgu yang garang.

Loceng berbunyi lagi, kali ni aku pasti loceng ni menandakan waktu pulang. Kami semua berdiri, Fahmi ucap “terima kasih cikgu”, kami semua pun ikut ucap bersama.

Keluar kelas, kakak aku dah menanti. Aku ikut dia keluar dari sekolah. Di luar, atuk aku dah menunggu dengan kereta toyota putihnya. Kami pun pulang kerumah.........

............

Hahaha, aku cukup-cukup tak pandai bercerita. Lebih-lebih lagi hal ni dah lama berlalu. Kenangan masa kecil memang menarik, masa tu ramai kawan, banyak aktivti, bermain sama-sama, belajar sampai berjaya. Tak perlu fikir masalah pun masa tu.

Aku pernah cari hantu di sekolah, aku pernah ikut siasat budak hisap rokok, aku pernah tanam pokok serentak satu Malaysia, aku pernah bercinta monyet, aku pernah jadi pengawas, aku pernah jadi pengakap, pernah buat macam-macam kerja gila di sekolah kebangsaan masa kecil dahulu.

Sekarang........

Banyak guru yang sudah aku lupa namanya. Banyak juga guru yang dah berpindah, termasuklah guru besar, dah berapa kali dah tukar. Ustazah pun dah tak dengar cerita. Aku pun dah tak melawat dah sebab jauh. Sekolah pun dah berubah dah.

Banyak rakan yang aku dah lupa namanya dan banyak rakan yang dah berpindah. Ada rakan yang dah terpisah sehingga dah tak kenal aku lagi. ada pula yang tinggal jauh, sehingga dah tiada khabar berita. Ada pula rakan yang aku rasa dah betul-betul berubah, digelar gila kuasa, ada yang dah join tabligh dan hanya dua tiga orang sahaja yang masih boleh dibawa bergelak ketawa bersama.

Aku tak tahu nak kata apa dah.......

Siapa tahu suatu hari nanti aku pun jadi begitu............

p/s: hari ini, aku teringat arwah atuk aku, sebab tarikh 25 Mac adalah tarikh harijadinya. Dia pulang ke rahmatullah pada hari Nuzul Quran. Al-Fatihah, semua rohnya dicucuri rahmat.

Tuesday, March 24, 2009

Tanggungjawab Itu Sukar, Sahabat.......

Bismillah..........

Aku teringat keluhan seorang sahabat, keluhan sedihnya yang cuba disembunyikan dengan membuat muka tenang.

“Kenapalah selalu tiada orang yang ingin memberi aku jawatan tinggi......” katanya ketika kami sedang rancak berbual.

“Jawatan tinggi?” aku memandang mukanya.

“Alaaa, macam ketua exco.....” katanya lagi.

Aku terdiam. Masih lagi memandangnya. Kalau keluhannya itu bersifat pertanyaan, sememangnya aku tiada jawapan bagi soalan tersebut. Aku pasti jawapannya ada pada pengarah program sendiri, dan bukannya aku.

Namun begitu, sedikit sebanyak aku bersetuju dengan keluhan atau masalahnya. Selama dia di kampus, belum lagi dia memegang jawatan tinggi, sedangkan rakan-rakannya malah teman sebiliknya berkali-kali menjadi orang penting sesuatu program penting. Mungkin kerana itulah, dia terasa sedikit terkilan.

Hmm, susah untuk aku katakan kepadanya secara spontan. Secara jujur, aku hendak mengatakan, aku lebih suka jika tiada jawatan diberikan kepadaku, ataupun sekadar ahli jawatankuasa yang kecil sahaja. Namun, itu bukan pengubat keluhan, malah mungkin melukakan.

Sahabat, mengapa perlu diresahkan jika tiada jawatan tinggi? Bukankah resah itu cuma ada pada mereka yang berjawatan? Mereka yang berjawatan perlu bimbang berfikir sama ada mereka dapat menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik atau tidak.

Ya, hal ini sebenarnya berkaitan dengan tanggungjawab!!!

Tanggungjawab mendewasakan kita dan mematangkan lagi pemikiran kita. Ia adalah sesuatu beban yang dipikul yang perlu diselesaikan oleh kita dengan baik dan sempurna.

Tanggungjawab itu suatu aspek yang luas, namun aku lebih cenderung kepada tanggungjawab berjawatan dalam entri kali ini.........

Setiap orang daripada kita mempunyai tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai seorang pelajar, sebagai seorang anak, sebagai seorang yang berjawatan, sebagai pengguna dan lain-lain lagi. Tanggungjawab ini mungkin datang tanpa kita sedari, mungkin juga secara sedar, mungkin secara kerelaan, mungkin juga secara paksaan.

Namun, kita seharusnya mengingati suatu perkara yang penting berkaitan tanggungjawab. Setiap tanggungjawab yang kita pikul ini, di akhirat kelak akan ditanya semula. Adakah kita menyempurnakan dengan baik atau sambil lewa. Di waktu itu, pemimpinlah yang paling berat menjawabnya.

Maka dengan sebab itulah, diceritakan oleh ustaz aku, gunung pun sanggup menolak tanggungjawab yang diberikan.

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”(33:72)

Dan dari ayat ini, kita seharusnya jelas melihat, siapa yang sanggup menerima tanggungjawab?

MANUSIA........

Aku suka memerhatikan orang. Suka memerhatikan gelagat orang.

Dalam suatu perbincangan, akan ada pencalonan nama mengenai siapa yang layak untuk menerima jawatan. Namun, tidak kurang ada yang terus berjumpa dengan pengarah untuk meminta jawatan. Pernah sekali aku melihat, ada itu beriya-iya meminta jawatan.

Malah aku juga hairan mereka yang berada dalam arena politik yang sentiasa mengejar jawatan tinggi dan mendapatkan kuasa. Hinggakan ada yang sanggup menggunakan wang, bukannya abiliti atau kemampuan.

Sedangkan tanggungjawab yang sedia ada tidak pasti lagi kita tunaikan, hendak pula kita meminta tanggungjawab yang lain. Adakah kita seorang yang berfikir?

Namun, aku tak bermaksud yang kita seharusnya menolak semua tanggungjawab, atau jawatan, namun, biarlah berpatutan, agar kita mampu membawanya. Biarlah diakhiri dengan kejayaan, bukan dengan menolak atau mengundur diri secara tiba-tiba sahaja kerana tidak mampu.

Aku bukanlah seorang yang dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan sempurna, malah aku pernah mengingkari tanggungjawab yang diberikan kepada aku, suatu ketika dahulu. Itulah aku suatu masa dahulu, ketika masih kurang berfikir.

Sememangnya entri kali ini adalah peringatan yang lebih kepada diri aku berbanding korang semua.

Bagi sahabatku ini, tidak mengapa jika kau tidak ditawarkan jawatan tinggi. Cukuplah dengan jawatan rendah. Jika teringin juga, cubalah memintanya. Tidak mengapa jika mampu kau membawanya...... Cuma fikirlah masak-masak, agar sejarah seperti aku tidak berulang semula.

Bukan apa, tanggungjawab itu sememangnya sukar, sahabat. 

Sukar.........


p/s: aku berfikiran kolot lagi nampaknya. Kikikiki.........

Saturday, March 21, 2009

Grafik Untuk Maulidur Rasul


Bismillah........

Nota memang banyak yang perlu dibaca sejak akhir-akhir ni, apatah lagi dengan kedatangan musim CA yang kedua sekarang ni.

Jadi, aku tak dapat nak tulis banyak-banyak. Namun begitu, aku terasa nak berkongsi sedikit hasil kerja yang telah aku siapkan sejak awal lagi sebelum Maulidur Rasul.

Semua poster dan wallpaper untuk Program Sambutan Maulidur Rasul 1430H peringkat Kampus Kesihatan telah aku buat atas permintaan Ustazah Amira, cuma tak semua yang dapat dicetak atas sebab-sebab tertentu. Antaranya sebab aku buat terlampau banyak warna dan mungkin terlampau padat. Memang silap aku.


Di atas ni adalah poster keseluruhan program yang diadakan. Inilah poster yang aku maksudkan, terlampau banyak warna dan terlampau padat. Banyak lagi yang aku perlu belajar.



Yang ini pula adalah poster Sambutan Maulidur Rasul (hitam putih) dan wallpapernya (warna). Kebetulan aku terjumpa gambar bayang masjid ini di internet, dapat juga aku ubah menjadi poster hitam putih. Namun wallpaper ni tak digunakan atas sebab kesilapan nama penceramah.

Penceramah asal tak jadi untuk memberi ceramah. Diganti pula dengan penceramah lain, tapi masa tu aku pula tiada, maka Pusat Islam kena buat wallpaper baru. Minta maaf........


Ini pula wallpaper untuk forum dan gotong-royong yang aku masukkan kedua-duanya secara serentak. Sebabnya kedua-dua aktiviti ini jaraknya hanya sehari, dan kalau nak dibuat wallpaper yang berasingan akan susah untuk ditayangkan di dewan kuliah untuk publisiti. Maka aku buat sekali dalam satu wallpaper.



Ini pula poster untuk Forum Maulidur Rasul. Poster ni sahaja aku buat dalam bentuk melintang, sesuai juga kalau dibuat wallpaper.



Poster gotong-royong ini aku rasa tak sempat dinaikkan. Aku tak tahu kenapa, tapi mungkin kerana tak sempat dicetak. Tapi aku rasa poster ni memang ringkas sedikit.

Ada beberapa poster dan wallpaper lagi tapi aku saja tak naikkan. Kena tunggu ia naik secara rasmi baru aku boleh naikkan di blog ini.

Sunday, March 15, 2009

Naik Sakit Kaki Aku........

Dalam kenangan, mengalahkan Daus semasa Larian Untukmu Palestin....

Bismillah.....

Melihat orang lain sudah pun mula berlari, aku pun turut berlari bersama mereka. Memang pada mulanya aku pecut sedikit, dan aku cuba kekalkan kelajuan aku. Dapatlah aku memotong kawan-kawan aku yang lain yang turut bersama berlari dalam ujian Cooper ini.

Ujian Cooper atau lebih dikenali dengan Cooper Test adalah ujian yang mengukur pelajar-pelajar Persatuan Sains Kesihatan (PSK)yang mengambil subjek ko-kurikulum dalam larian mereka, larian pre dan juga post, terutamanya mereka yang mengambil subjek sukan dalam ko-kurikulum. Kedua-dua masa yang diambil dalam larian ini (pre dan post) akan dikelaskan mengikut kategori atau tahap tertentu dan dilihat sama ada mencapai kemajuan ataupun tidak.

Sampai di penghujung jalan pertama, kaki aku dah mula sakit. Sakit akibat larian yang dibuat pada hari yang sebelumnya, dan juga hari yang kelmarin. Sebenarnya, aku terasa sakit kepala membaca nota patologi yang menimbun, di samping nak memahami dan juga mengingati.

Jadi, aku ambil keputusan untuk berlari pada petang Ahad dan Isnin untuk menenangkan fikiran. Dan aku kalau berlari, memang berlari nak pecahkan rekod. Itu yang membuatkan kaki aku sakit, sejak semester 1 lagi kalau aku berlari tidak berselang hari, kaki aku akan sakit. Namun, aku terlupa yang hari Selasa ada ujian Cooper. Hah, berlarilah aku dalam keadaan kaki yang sakit.

Walaupun kaki aku dah sakit masa tu, aku tetap teruskan juga berlari. Sampailah aku dalam kumpulan perempuan yang sedang berlari. Aku rasa nak berhenti masa ni, tetapi aku tetap teruskan juga demi menjaga maruah aku di hadapan perempuan. Hehehe, ego tinggi aku ni.

Pertengahan jalan yang kedua, aku dah rasa betul-betul hendak berhenti. Kaki makin sakit. Jadi, aku perlahankan sedikit kelajuan aku.

Tiba-tiba, muncul seorang yang memakai baju biru dan kuning di sebelah kiri aku. Daus!!!  Dia dah kejar aku rupanya. Selalunya, kalau aku terlibat dalam larian yang penting, mesti dia ada di tepi aku. Tak tahu kenapa. Larian Cooper semester lepas, dan juga Larian Untukmu Palestin.

Masa tu, aku dah tak fikir mengenai kaki aku dah. Sakit atau tidak, lantaklah. Aku cuma fikir, aku tak boleh dikalahkan oleh Daus. Sebab sebelum ni, memang aku asyik kalahkan Daus pun.

Maka aku pun berlarilah bersama Daus. Halaju kami sederhana. Banyak juga rakan-rakan lain kami potong. Jaidi, Rashid, Saufi dan budak-budak perempuan.

Daus pun aku tengok dah banyak dah peningkatan. Dulu, kalau lari macam ni, dia akan rasa letih. Mesti dia dah banyak berlatih atau selalu turun jogging ni.

Kami kekalkan kelajuan kami, dan memotong beberapa orang pelajar lagi. Tapi, kami tetap tak boleh nak potong Ikram, yang berada jauh sikit daripada kami. Akhirnya Ikram sampai ke garisan penamat dahulu.

Melihat Ikram dah sampai ke garisan penamat, aku lintas jalan. Daus tak perasan. Depan aku ada seorang budak forensik tahun pertama, Syami. Daus lihat aku melintas, dia pun melintas sama.

Ahhhh, kaki aku dah mula kesakitan. Kenapalah masa genting ni kaki aku sakit? Aku mula perlahankan langkah aku. Daus pun aku tengok mula meninggalkan aku perlahan-lahan.

Sekarang aku berlari bersama dengan Syami. Sampai sahaja di blok Murni, kawasan yang ada banyak kerusi kecil tu, aku memulakan langkah besar, langkah yang Ijon selalu gunakan masa berlari.

Syami perasan yang aku cuba nak potong dia. Dia pun tak tunggu lama, terus berlari deras. Tapi dia tak tahu aku ni siapa.......

Langkah besar yang aku gunakan memang berkesan, aku dapat potong Syami. Sehinggakan Syami cakap pada aku sendiri, dia nak kejar aku pun dah tak boleh. Hahaha, maaf kawan, sasaran aku bukan kau, tapi Daus.

Aku terus kejar Daus. Langkah aku besarkan lagi, lajukan lagi.

Akhirnya aku dapat menghampiri dia. Waktu tu, kami sudah pun hampir di garisan penamat. Lagi sedikit aku nak potong Daus, lagi sedikit. Kakak yang jaga masa (aku tak tahu dia jurulatih atau tidak) perasan akan kehadiran kami. Dan dia juga perasan yang aku sedang mengejar Daus.

Aku percepatkan lagi langkah aku, lagi sedikit. Daus pula tak perasan aku di belakang dia. Lagi sedikit, lagi sedikit.

“Dua belas tiga lima, dua belas tiga enam” kata kakak tersebut, sambil tersenyum melihat kami berdua.

Aaarrrgggghhhhhh, aku tak dapat kejar Daus. Aku ditewaskan dengan masa satu saat sahaja, mungkin beberapa milisaat. Sedih aku dibuatnya. Bukan rezeki aku rasanya hari tu.

Waktu berhenti tu, kaki aku kalau diberi mulut, mesti kaki aku dah menjerit. Memang pedih rasanya, terutamanya kaki kiri aku. Aku berjalan pun tak betul dah masa tu sehinggalah balik, masih terhincut-hincut. Sehingga hari ini terasa lagi tapi dah kuranglah sedikit kesakitannya.

Aku rasa betul-betul puas masa tu, walaupun tak dapat mengalahkan Daus, tapi aku dah pecahkan rekod aku. Sebelum ni, ujian Cooper aku yang pre adalah empat belas perpuluhan enam belas saat. Kalau lari hari sebelumnya pun tiga belas saat, itu pun tak tambah jarak permulaan dari tangki air.

Memang ada sedikit kemajuan. Tapi aku rasa itu yang terakhir, sebab tak mungkin aku boleh capai rekod tu lagi selepas ni.

Dalam hati aku, aku tetap berterima kasih pada Daus sebab kalau dia tak berlari tepi aku, dah lama aku berhenti berlari.

p/s: mungkin korang terasa, dua belas minit tu tiadalah apa sangat, tapi bagi aku, memang satu kejayaan untuk aku. Huhuhu........

Saturday, March 14, 2009

Ada Hadiah Sedikit.......


Bismillah........

Aku lihat kita sudah pun memasuki bulan Mac. Dan kalau aku tak silap, ramai kawan aku yang lahir pada bulan Mac, tapi aku lupa siapa mereka.

Antara mereka yang lahir pada bulan Mac ialah Alvieno, Sree, Che Joe, Rahim, Huda, Faeiza, Azlina dan Ijon. Malah kalau aku tak silap, Shahir atau Faisal, kawan setutor matrik aku, lahir pada bulan Mac juga. Banyak lagi sebenarnya, terutamanya yang di matrik, tapi aku dah lupa.

Apapun, sempena hari jadi Che Joe ni, aku nak ucap sekaligus pada korang semua yang lahir pada bulan Mac.

SELAMAT HARI LAHIR...

Moga beroleh kejayaan dalam setiap perkara yang dilakukan.


p/s: terkenang aku pada arwah yang lahir dalam bulan Mac juga. Al-fatihah.... 

Monday, March 9, 2009

Yang Aku Nampak.....

Bismillah........

Sedang aku melayari laman blog forensik, yang baru sahaja di buat dan diketuai oleh Lea, aku terperasan sesuatu. Sesuatu di bahagian bawah ruangan ‘chat box’. Ada lima hyperlink di situ.

Ohhh..... Rupa-rupanya rakan aku dah ada blog. Kebanyakannya baru di buat minggu lepas. Aku lihat di blog Lea pun ada juga blog baru iaitu blog Lukman. Malah, Rakan Masjid juga telah melancarkan blog pada minggu lepas. Tak cukup lagi, aku lihat Che Joe pun ada blog baru juga. Heh, aku terasa minggu lepas mungkin minggu membuat blog.

Sekarang, masing-masing dah ada blog. Baguslah begitu, sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi sesuatu dengan rakan-rakan yang lain, mungkin cerita, pengalaman, atau pemikiran. Malah, aku juga tak sangkal yang blog boleh menjadi suatu medium kita mengurangkan stress, sama ada kepada penulis ataupun pembaca. Blog juga dapat menjadi medium perkongsian ilmu dan juga publisiti suatu peristiwa. Semuanya bergantung kepada penulis.

Entri kali ini sebenarnya sudah lama hendak aku coretkan. Mungkin entri ini berunsur sedikit nasihat kepada semua penulis blog, termasuklah diri aku sendiri.

Aku teringat satu artikel yang ditulis oleh Saiful Islam mengenai penggunaan Bahasa Melayu di blog-blog. Memang aku juga perasan perkara tersbut berlaku dikalangan kawan-kawan aku, malah juga berlaku kepada aku.

Kebanyakan penulis blog semakin hilang tatabahasa atau pudar penggunaan Bahasa Melayu. Kenapa aku cakap begitu? Penulis-penulis blog kini semakin banyak menggunakan bahasa pasar. Bukan itu sahaja, terdapat juga banyak penggunaan bahasa rojak dan juga perkataan ringkas.

Mungkin kita tak berapa perasan sebab kita dah terbiasa dengan penggunaannya dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam penggunaan pesanan ringkas, SMS. Oleh kerana kita terlalu hendak berjimat dengan duit mesej yang hanya beberapa sen, kita cenderung untuk menulis perkataan secara ringkas, terlalu ringkas. Kadang-kala mesej yang diberi kepada aku pun begitu, sehinggakan aku keliru. Contohnya, ‘lma’, lima atau lama?

Kini di universiti, kita lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu sekadar perbualan sahaja, dan perbualan kita lebih cenderung kepada penggunaan bahasa pasar dan rojak. Tak hairanlah penulisan bahasa kita semakin terhakis.

Mungkin korang pandang remeh mengenai perkara sebegini. Ada juga yang mengatakan bahasa baku terlalu skema, stereotaip dan kedengaran bendul. Namun, bagi aku, perkara ini bukan remeh malah ia sendiri penting. Kita lihat kaum asing lebih mahir dalam penggunaan Bahasa Melayu, tak kira penulisan atau percakapan. Bila tengok diri kita yang mewarisi bangsa Melayu dan Bahasa Melayu, hancurr.....

Sebenarnya mungkin kita dah terlalu biasa dengan penggunaan bahasa pasar, rojak dan singkatan. Susah pula secara mendadak hendak menggunakan bahasa baku. Tak mengapa. Aku juga begitu, juga seperti korang. Contohnya aku terlalu suka penggunaan ‘korang’ lebih daripada kamu, betullah kot, nampak terlalu skema. Malah aku juga selalu guna perkataan 'kot'.

Sedar tak penggunaan bahasa yang tidak betul membuatkan orang menyampah atau malas nak baca sesuatu penulisan? Kalau dibuat novel atau buku pun, pihak penerbitan mesti dah tolak.

Tapi, setiap masalah ada jalan penyelesaian. Banyak sebenarnya namun, aku tak terasa hendak mencoret panjang lebar. Sekurang-kurangnya, cubalah kita meminimumkan penggunaan perkataan yang singkat atau bahasa pasar dalam penulisan, dan memaksimumkan penggunaan yang betul dan baku.

Jikalau seharian diri kita sering berbual bahasa pasar, nota bahasa rojak dan mesej perkataan ringkas, apa salahnya kita cuba membetulkan semula semasa kita menulis blog. Mungkin ini berguna pada masa hadapan.

Sebenarnya aku tak layak hendak menasihati korang, sebab aku juga teruk dalam penggunaan Bahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam penulisan. Penanda wacana pun aku dah lupa. Jadi aku ingin meminta maaf jika ada yang terasa dengan entri pada kali ini. Minta maaf. Sebenarnya aku nak tujukan entri ni pada para penulis blog yang baru, tapi tak salah menjadi peringatan buat kita semua.

Tak mengapa kalau korang anggap aku tak betul pun. Mungkin aku ni berfikiran kolot kot.

Cuma aku berharap, ambillah sedikit pengajaran. Jangan merendahkan Bahasa Melayu kita yang cukup mahal ni. Kita kaya dengan bahasa, tapi jika kita terus-menerus salah menggunakannya, kita miskin dengan bahasa, hakikatnya.

p/s : Aku juga bimbang jikalau perkara ini berterusan, kita akan semakin terbiasa, dan tidak boleh berubah. Dan suatu hari apabila anak kita tanya “Mak, ayat mana yang betul?” dapat tak kita jawab masa tu? Heh.......

Sunday, March 8, 2009