Kawan Lama.......

Bismillah.......

Aku turun dari LRT. Berjalan sekejap selepas melepasi dari kaunter tiket. Aku berjalan perlahan ke kiosk di sebelah stesen ini. Melihat buku komik yang tersusun dari luar. Masih lagi tak nampak Penyiasat Remaja yang Hakim katakan.

Sedikit hampa, aku berjalan pergi ke kedai sebelah, kedai makanan, karipap, burger, jejemput dan beberapa jenis kuih lagi. Walaupun aku lapar, tapi aku tak terasa nak makan kuih-kuih ni, maka aku tak beli kuih-kuih ni.

Dan di waktu itulah aku terdengar, “Awak.....”

Waktu tu aku buat tak perasan, yalah, aku tak tahu ganti nama diri tersebut ditujukan pada aku.

“Alahaiii, apa nama dia ni.......” waktu tu aku baru perasan, aku terasa ada orang cuba nak berkomunikasi dengan aku. Aku alihkan pandangan pada suara tersebut, di sebelah kiri aku. Kelihatan seorang gadis kecil dan comel, memakai tudung merah jambu. Sambil berdiri, dia nampaknya cuba menegur aku dan kini apabila aku melihatnya, dia menunggu reaksi aku. Tersenyum.

Eh, siapa ni? Soalan pertama hinggap di kepala aku. Minah tanya jalan? 

5 saat aku berfikir, baru aku rasa macam kenal. 

“M?” aku bertanya. (Nama terpaksa dirahsiakan, hehe)

“Haa, yalah.” Jawabnya, tersenyum lagi.

“Eh, awak buat apa di sini? Bukan rumah awak di Serdang ke?” aku tanya balik. Hahaha, aku memang tak pandai memulakan perbualan.......

“Saya pergi berjalan tadi...”

Dan bermulalah sesi perbualan antara kami. Rupa-rupanya dia dah nampak aku masa aku turun LRT tadi. Aku sahaja yang tak nampak dia. 

5 Gigih dalam kenangan.......

“Awak balik macam mana ni? Naik bas ke?” dia bertanya.

“Jalan kaki je.....” aku jawab, selamba.

“Eh, tak jauh ke?” dia tanya balik.

“Dekat je.” Aku jawab balik. Walaupun hakikatnya jarak stesen LRT ni ke rumah aku kira-kira 3 kali perjalanan bilik aku di Nurani ke dewan kuliah B.

Niat aku nak terus balik tadi terbantut sebentar. Sementara menunggu kakak dia datang mengambil dia, aku pun temankanlah dia sekejap. Bual-bual apa yang patut. Yalah kan, lama dah tak berjumpa. Kalau aku tak silap, kali terakhir kami jumpa masa hari terakhir SPM, subjek apa aku lupa, yang pasti bukan Tasawwur.

“Awak nampak makin tinggilah.” Ye ke? Aku yang makin tinggi atau dia yang makin rendah? Huhuhu.

Bila kakak dia datang, dia pun balik dan aku pun tak tunggu lama untuk balik rumah. Dan dalam perjalanan balik rumah inilah aku banyak berfikir.

Berapa banyak kawan dan kenalan yang aku ada. Namun begitu, tak semua yang masih aku hubungi sehingga kini. Baik perempuan ataupun lelaki. Sejak dari sekolah rendah, sekolah agama, sekolah menengah dan matrikulasi. Semuanya makin hilang bayang.

Ada banyak faktor menyebabkan aku melupakan semua rakan-rakan lama ni. Sewaktu sekolah dahulu, aku lebih cenderung mengingati nombor telefon mereka, berbanding menulis didalam buku. Dan bila dah lama tak menguhubungi, aku mula melupakan semua nombor yang aku ingat. Pertama kali aku dapat telefon bimbit masa aku mula masuk matrikulasi.

Faktor kedua, hampir 60% rakan-rakan yang bersekolah dengan aku dahulu bukanlah bermukim atau tinggal berdekatan dengan rumah aku. Nak buat reunion pun susah. Apatah lagi dah tiada sebarang maklumat hubungan.

Dan bila semuanya dah lama tak hubungi antara satu sama lain, memang ternampaklah perubahan dalam diri masing-masing. Perubahan sentiasa akan hadir dalam diri seseorang. Sebagai contoh, M dahulu bagi aku seorang yang pendiam, cakap dengan aku bila perlu je. Tetapi sekarang, petah berkata-kata!! Mungkin dulu dia takut dengan aku kot.

Dan akhirnya, aku takut aku mula lupakan kenangan-kengan bersama diorang. Mungkin kenangan masih lagi boleh teringat, namun wajah dan nama rakan-rakan, terutamanya di sekolah rendah, aku rasa dah luput dalam ingatan ni. Mungkin hanya teringat beberapa sahaja. Itupun lelaki, kalau perempuan memang lupa langsung. Apatah lagi semuanya makin berubah ditelan masa.

Semua orang berubah.......

Aku pun berubah juga.                                                                                    

Mungkin.........



Wednesday, January 28, 2009

Wallpaper MiniTOT

Bismillah.........

Hari tu aku betul-betul serabut. Esoknya CA Analytical Chemistry. Ada beberapa nota lagi tak baca. Ingat bolehlah aku habiskan petang tu sebab petang hari Isnin memang aku tiada kelas. Namun, aku terlebih dahulu pengsan di katil. Tak baca aku nota petang tu.

Lepas sembahyang Asar, Adam pula mesej, katanya malam tu ada mesyuarat. Haduh, sepatutnya malam hari Selasa, mana tau dia awalkan pula. Tapi takpe, ada masa lagi rasanya nak baca. Mungkin mesyuarat malam ni sekejap saja.

Sebagai Exco Publisiti untuk Mini TOT, aku mula terfikir, akibat poster yang sememangnya terhad dan susah nak dapat, aku perlu luaskan lagi publisiti. Tapi aku tak tahu bagaimana nak luaskan lagi. Kalau kata nak buat flyer, kena fotostat tu memang susah sikit. Fotostat poster pun dapat sikit, fotostat flyer susah la nak dapat. Lagipun, Adam dah kata tak perlu flyer hari tu.

Apa pun, aku terfikir alternatif lain. Wallpaper. Tapi sempat ke aku nak buat wallpaper?

Dan tiba-tiba ilham datang. Aku teringat akan wallpaper pertandingan MPI yang Syafiq pernah buatkan untuk aku dulu. Syafiq ataupun ahli Exco dia yang buat, aku pun tak tahu, tapi memang kreatif. Dia gabungkan 3 pertandingan dalam satu wallpaper. Bijak betul. Sekarang aku gunakan idea dia namun dalam cara yang lain.


Wallpaper Syafiq untuk aku dahulu

Sebenarnya nak buat wallpaper memang susah, (bagi akulah yang tak hebat grafik ni) tapi akibat kesuntukan masa nak buat sebelum mesyuarat, terpaksalah aku buat dengan jalan yang paling mudah. Cuma masukkan maklumat yang penting sahaja.

Aku ceritakan sikit pasal nak buat wallpaper ni secara amnya. Rasanya korang pun dah tau dah. Mula-mula, kena cari wallpaper latar yang sesuai. Dah ada, tetapkan saiznya besar mana korang nak, kemudian baru ubah dalamannya serta masukkan perkataan dan maklumat. Tapi wallpaper yang baik adalah susunan dan letak yang menarik dan juga wallpaper latarnya yang menarik. Baru orang pandang. Susunan yang tak baik akan menyulitkan pembaca.

Untuk membezakan tiga bahagian dalam wallpaper ni, aku guna wallpaper orang tengah berlari, kemudian buat satu kotak empat segi dengan warna hijau dan satu lagu ungu dan aku letakkan kanan dan kiri. Kemudian aku tukar setting untuk kotak tersebut pada blending, supaya warna kotak tu bercampur dengan warna wallpaper belakang.

Korang pun boleh cuba trick ni, memang menarik.

Dah nampak pembahagi warna untuk 3 bahagian, barulah aku masukkan semua maklumat yang perlu. Kejap je. Memang tak fikir banyak sebab semua maklumat aku dah tahu sebab aku buat poster Mini TOT hari tu kan. Huhuhu.


Inilah hasilnya

Kenapa aku mesti buat sebelum mesyuarat? Aku dah malas nak bertangguh, dan aku nak utarakan idea wallpaper ni pada Adam. Sebelum ni Adam tak suruh pun buat wallpaper. Dan satu lagi tujuan, aku nak minta tolong pelajar PPSP dan PPSG yang ada di situ supaya mereka dapat tolong naikkan wallpaper ni. Susah untuk aku dari PPSK ni nak naikkan wallpaper di PPSP dan PPSG.

Alhamdulillah, cadangan diterima dan Bob dah cuba naikkan di PPSP. Aku pun dah naikkan separuh di PPSK. Tak tahulah korang perasan ke tak......

Sunday, January 25, 2009

Ros yang Dia Pilih.....

Bismillah...........


Aku tengah tunggu beberapa jam je lagi nak balik. Jadi sambil menunggu tu, aku cuba untuk menambah semula semua butir untuk semua sijil peserta pertandingan. Sebelum ni dah buat tapi masih ada yang tak lengkap. Beberapa orang je lagi..........

Aku capai telefon bimbit, menaip mesej untuk bertanya nombor matrik dan kad pengenalan pada salah seorang peserta ni. Tiba-tiba balasan dia, tanya aku nak beri hadiah ke. Aikk, ingatkan semalam hari jadi dia. Hari ni ke???

Aiseh, aku rasa tak baik pula nak menolak request Birthday Girl kan??? Jadi, inilah hasilnya. Aku edit balik lukisan lama aku. Tambah layer, letak perkataan. 

Ringkas je, tapi tak tahu la Birthday Girl kita puas hati ke tak. Hehehe.........

p/s: Birthday Girl ke Birthday Woman? 

Thursday, January 22, 2009

Projek Mini TOT

Bismillah.......

Minggu Penghayatan Islam telah pun berlalu. Sekarang ni aku sibuk dengan Mini TOT pula. Apa tu Mini TOT? Mini TOT adalah singkatan Mini Temasya Olahraga Tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani sebagai acara kecil yang tujuan utamanya memilih atlet untuk mewakili desasiswa Murni dan Nurani ke TOT bulan Mac nanti.

Secara tidak langsung aku telah dipelawa oleh seorang rakan, pengarah Mini TOT iaitu Adam untuk menjadi salah satu exconya, Exco Publisiti. Kerjanya bukanlah setakat publisiti sahaja, tetapi termasuklah grafik sekali. 

Kerja pertama aku adalah menghasilkan poster untuk 3 projek Mini TOT, iaitu Larian Sebatu, Sukantara dan juga Mini TOT sendiri. Poster-poster ini dah aku siapkan lama dah dalam seminggu lebih yang lepas. Bukan apa, aku takut aku sibuk je kemudian nanti, dan aku memang dah sibuk dah sekarang, dengan nak buat lab report, dengan CA lagi.

Dan poster-poster ni dah aku naikkan bermula hari Rabu yang lepas bersama-sama dengan AJK bawahan aku. Tapi masih tak cukup, InsyaAllah malam ni naik lagi kot. 

Hasil kerja aku kali ini adalah berdasarkan hasil kerja aku yang lepas. Kalau korang perhatikan betul-betul, poster sukantara aku ada persamaan dengan banner futsal Zunnun dan poster Mini TOT ada persamaan dengan poster pertandingan MPI aku. 

Bukan apa, masa tu aku kekeringan idea sebenarnya. Ambil masa lama aku berfikir nak hias apa dalam poster-poster ni. Aku siapkan dulu poster Larian Sebatu lepas jumpa gambar orang berlari di internet. Kemudian poster Mini TOT, aku nak guna gambar piala, tapi aku dengar hadiahnya bukan piala tapi pingat, aku pun buat gambar pingat. 




Untuk Sukantara, aku dah tak tahu nak letak gambar apa dah. Lama juga aku memerah fikiran masa tu. Akhirnya disebabkan Sukantara ada 3 acara sahaja, aku bercadang nak letak gambar atlet dalam 3 acara tersebut. Tapi aku keletihan malam tu, jadi aku letak gambar orang tengah main lontar peluru dan lompat jauh sahaja. Huhuhu.

Untuk Adam selaku pengarah Mini TOT, aku minta maaf banyak-banyak sebab banyak tanya pasal 3 projek ni. Pening juga aku pada mulanya. Lepas tu dia banyak berurusan dengan pejabat untuk cetak poster ni. 

Mungkin hasil tangan aku kali ini agak sederhana sedikit. Tapi tak apalah kan. Kikikiki......

p/s: Azmir marah gila kat aku hari tu sebab guna printer dia untuk cetak hard copy asal. Maaf Mir, banyak guna dakwat hitam. Huhuhu........

Monday, January 19, 2009

Malam Penutup MPI ke 11

Bismillah........

Perghhhh, dengan berakhirnya penutup MPI pada malam ini, secara rasminya aku pun dah habis bertugas sebagai ketua projek untuk pertandingan khat, multimedia dan fotografi. 

Dan hari ini, walaupun sebelah petang aku tiada kelas, tetapi aku tetap sibuk. Sibuk mencari hakim, pergi jabatan bendahari, ambil poster TOT, dan membuat video untuk para peserta. Fuhh.... Penat.....

Tapi, Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Cuma tiga perkara sahaja pada malam ni yang membuatkan aku terkilan sebagai ketua projek ini. Tapi tak mengapalah kan, benda dah berlalu. Nak ubah pun dah tak boleh dah.

Apapun, hasil karya aku dalam membuat video peserta untuk pertandingan khat dan fotografi dapat ditunjukkan tadi kepada semua hadirin. Mungkin tak seberapa sangat sebab aku tak cukup masa tadi. Lagipun aku sebenarnya ulang buat video tu sebab mula-mula salah save..





Kalau korang tengok video ni sampai habis, saja aku tak letak nama pemenang di akhir video. Saja aku letakkan ' Dan pemenang adalah.....'. Bagi para peserta suspens sikit. Tak tahulah diorang suspens ke tak. Huhuhu. Cuma satu je aku suka video ni, aku suka lagu dia. Lagu In Team, Sutera Kasih.

Keputusan untuk Explorace MPI juga keluar malam ini. Dan kumpulan Kambing Hitam memenangi tempat KEDUA. Fuh, tak sangka betul. Tahniah buat kita semua. Tak sia-sia Che Joe jadi imam, Lukman praktik tayamum, Syazwan menulis jawi, Azmir makan nasi masin dan aku yang jadi model. Alhamdulillah........

Keseluruhannya, MPI tahun ini memang menarik. Cuma ada beberapa kelemahan. Mungkin masih dapat diperbaiki lagi untuk tahun hadapan.

Dan aku cukup kagum dengan barisan Exco Grafik MPI tahun ini, diketuai oleh Syafiq dan Huda. Memang masih banyak yang perlu aku belajar dalam grafik..........

Dengan berlabuhnya tirai MPI pada malam ini, tamatlah sudah MPI ke 11 sesi 08/09. 

Alhamdulillah aku ucapkan kepada Allah yang sentiasa melayan rintihan dan masalah aku dan sentiasa juga memberikan penyelesaiannya.

Sekalung penghargaan aku ucapkan kepada semua yang membantu menjayakan projek aku, terutamanya pembantu aku yang banyak bekerja, mungkin lebih daripada aku sendiri, Nafsiyah, orang-orang bawahan aku, pengadil, Encik Saiful Haizad Ahamad Jainid, Pusat Islam, Exco Grafik, Pengisian, Publisiti, Protokol, Peralatan, Hadiah, dan juga mereka yang membantu secara langsung atau tidak langsung yang tidak disebut di sini.

Jutaan terima kasih kepada anda semua.......... Syukran........

Semoga salah dan silap diri ini dapat anda semua maafkan..........

Sunday, January 18, 2009

Boikot Mereka yang Membantu Israel....




Bismillah.........

Di saat kita bergembira sewaktu menyambut tahun baru yang lepas, Israel membawakan kesengsaraan kepada rakyat Palestin. Rakyat Palestin menyambut tahun baru dengan air mata, kehilangan orang tersayang, harta benda dan juga dibedil peluru.

Sewaktu aku mendengar ceramah Untukmu Palestin MPI hari itu, aku cukup tak puas hati dengan jawapan 'kita tak boleh buat apa'. Namun itulah hakikatnya, kuasa mereka yang jahanam ni terlalu besar, namun perbuatan mereka sekali lagi membuka mata dunia apabila inilah serangan terburuk kedua selepas 1976. Tapi, jawapan itu menjelaskan kita tak boleh buat apa secara langsung atau terus, tapi kita masih mempunyai sesuatu yang boleh dilakukan untuk menolong saudara seIslam kita di sana.

Jawapan itu disusuli dengan langkah memboikot syarikat yang menyokong Israel, mendoakan kesejahteraan saudara kita, menderma setakat termampu dan menghebahkan kepada keluarga dan rakan-rakan yang lain. Di atas, aku senaraikan semua (tak semua, hampir semua) syarikat yang menyokong Israel.

Kita pula jangan pandang rendah dengan kuasa memboikot ni. Kalau kita boikot betul-betul, kuasa ekonomi syarikat itu akan tumbang. Serius. Dan sebab utama kita perlu memboikot ni adalah kita tak mahu duit yang kita gunakan untuk membeli barangan mereka disumbangkan kepada Israel untuk membunuh rakyat Palestin. Kalau terjadinya begitu, dalam sudut pandangan lain, kita sebenarnya yang membunuh saudara seIslam kita.

Apa kita nak jawab di akhirat esok?

Jarang aku nak menjawab tag orang sebab aku tak suka sangat layan tag, sebab banyak yang mengarut (cth, orang tersayang anda, bantal anda. lagu anda etc.). Tapi kali ini, tag dari Che Joe mengenai boikot, aku jawab juga sebab ada kesedaran dan perjanjian dalam tag ini sebenarnya.



Original messege: Here’s what we should do. it’s simple: list down 5 of the products from the list below that you are boycotting, and then list down 5 of the products that you will try your best to boycott, and finally list another 5 of the products that you find it hard to boycott, and tag 5 others. This tag is to get everyone to read the list below carefully and identify which products affects your life and the lives of the Palestinians most! You can also compare your list with your friends and see: if they can boycott one product that you haven’t been boycotting, why can’t you start to boycott the product too? 

5 products that you are boycotting?
Kalau diikutkan semua senarai produk tersebut, memang semua aku boikot. Cuma tinggal beberapa benda sahaja. Bukan apa, semua barang-barang tu tak berguna pun bagi aku, dan aku tak pernah jumpa barang-barang tu kat Malaysia. (mungkin ada tapi aku je tak nampak, hehehe)

5 products that i'll try my best to boycott?
1. 20 CENTURY FOX - jarang aku tengok wayang dia, aku ambil alternarif lain, doload internet. Jadi, SOKONGLAH CETAK ROMPAK bagi filem ini. hehehe.
2. COCA COLA - aku dah mula boikot menda ni sewaktu sekolah menengah pas ada artikel tulis mengenai imej cermin cocacola.
3. MAGGI - jarang aku beli maggi sekarang sebab harga maggi terlalu mahal sekarang, aku beli mamee je.
4. DANONE - biskut chipmore ni pun mahal, Lepas ni tak nak beli dah.
5. SPRITE & KIT KAT - kenkadang aku layan juga produk ni. 

5 products that are hard to boycott?
1. KFC - ini cukup susah, aku ngan keluarga dan kengkawan cukup suka makan KFC.
2. DISNEY - antara kartun yang aku minat.
3.CARREFOUR - ohh, antara yang tersusah, sebab rumah aku dekat dengan Carrefour, barang dia murah pula tu.
4 CNN - channel yang ayah aku suka tengok
5. KOTEX - jenama yang popular dikalangan perempuan. Ahli keluarga perempuan rumah aku guna produk ni rasanya.


Untuk tag seterusnya, aku tak tahu nak kasi siapa. Sebab aku tahu, orang yang seangkatan dengan aku tak suka main tag. Tapi aku cuma beritahu nama, tak kisah nak jawab atau tak. 
1. HAKIM
2. TENGKU ATHIRAH
3. NADIA

p/s: senarai barangan ni sebenarnya dah lama dah keluar, sejak dari aku matrikulasi dahulu. Pada permulaan semua boikot tapi kemudian jadi senyap. Semua guna balik. Minta kita jangan jadi macam tu lagi.

Friday, January 16, 2009

Explorace MPI

Bismillah........

“As...kum, anda tlh bersedia? Jika blm, siapkan diri anda. Jumpa d surau murni pkl 8 am nanti. Set...”

Haha, inilah mesej yang Azmir berikan pada aku pagi semalam. Tujuan utama dia nak gerakkan aku supaya aku tak lupa pagi tu adalah pagi penting untuk kami berlima. Explorace MPI........

Kumpulan Kambing Hitam, nama yang diberikan oleh Azmir sebagai ketua kumpulan, dengan ahlinya Syazwan, Lukman, Che Jo dan aku. Kami adalah kumpulan yang paling relaks sekali sebab tak berlari sangat masa Explorace ni sebab masa keseluruhan tidak dikira, yang dikira cuma masa di stesen sahaja.

Suatu perkara yang aku cukup suka mengenai explorace ini adalah banyak perkara simbolik yang cuba ditunjukkan dan diketengahkan agar pemain dapat menghayatinya. Peserta dibekalkan klu, al-Quran tafsir dan juga seplastik batu.

Signifikannya, permainan explorace ni ibarat kita perjalanan kita hidup di dunia. Al-Quran tafsir adalah pembantu kita di dunia dan akhirat, kerana al-Quran patut dibaca dan difahami maknanya dan dalam al-Quran ada banyak petunjuk untuk kita. Sebab itulah satu klu diberikan untuk semua pemain mencari tempat berdasarkan ayat al-Quran sahaja.


Batu pula menunjukkan dosa yang membebani pemain. Nak bawa batu sambil berlari memanglah memenatkan, banyak pula tu. Itulah ibarat dosa kita. Esok, dah makin berat dosa kita, susah kita nak angkat di akhirat.

Dan setiap stesen pun ada simboliknya yang tersendiri.

STESEN 1 – stesen ni menyuruh kami mendengar dan menghayati 8 lagu nasyid yang diberikan dan mencari siapa tokoh yang hadir dalam lagu tersebut. Selama ni kita cuma mendengar lagu nasyid dan tak tahu siapa tokoh yang diketengahkan dalam lagu tersebut. Juga stesen ini menjelaskan ingatan kita (refresh) agar mengingati semula tokoh Islam yang pernah kita pelajari dalam Sirah dahulu. Kami dapat 7 daripada 8 betul di stesen ini, sebenarnya 1 lagi yang salah tu kami tahu jawapannya cuma keliru dan tak sempat nak tukar.

STESEN 2 – stesen jagaan Ikhlas dan Am. 2 orang diikat tangan, 2 orang diikat mata dan seorang tidak boleh bercakap dikehendaki mencari plastik berisi puzzle dan mencantumkannya. Oh, inilah yang patut kita rasai apabila kehilangan pancaindera seperti mereka yang kurang bernasib baik. Di stesen ini, kami menyerahkan semua batu apabila Ikhlas minta, sepatutnya satu batu je. Kikikiki.........

STESEN 3 - di rumah mayat. Kami dikehendaki menyusun urutan sembahyang jenazah. Kami berjaya. Untuk kepastian, aku guna helah sikit, tapi pengadil ok je. Hehehe. Kemudia praktikal sembahyang, Che Joe jadi imam beb. Syazwan lak jadi mayat. Kelakar betul masa praktikal ni. Ini pun untuk mengingatkan kita mengenai sembahyang jenazah yang jarang kita praktikkan. Sebelum pergi, kami dioffer seorang dari kami untuk tinggal di bilik peti sejuk mayat selama 5 minit, dapat markah bonus!! Che Joe terus setuju. Tapi kami berlima nak masuk sebenarnya. Rupanya cuma olokan untuk lihat sama ada kami jawab nak atau taknak je. Yalah kan, banyak kumpulan asyik fikir nak cepat dan takut dengan rumah mayat.

STESEN 4- Syazwan dan Lukman terlajak tingkat. Di stesen ini Lukman menonjolkan kaedah tayamum dan Che Joe pula kaedah sembahyang duduk. Inilah rukhsah yang kita cuma pelajari secara teori tiada praktikal selama ni. Moga cara yang betul untuk rukhsah ini dapat kita ingati untuk masa hadapan.

STESEN 5 -  kami dikehendaki mencari 5 benda di taman Nurani – jubah, kopiah, tasbih, sejadah dan kain. Dan aku kena jadi model pakai semua benda ni. Huhu. Signifikannya nak memberikan kita kesedaran betapa kita sanggup membeli baju yang mahal tapi barang mudah seperti ini pun kita tak mampu nak beli. Malah kita patut merasai sekejap perasaan memakai pakaian ini.

STESEN 6 -  makan nasi dengan garam dan sos tiram. Perghhh.... Syazwan dah wat muka dah lepas beberapa suap. Aku suruh dia berhenti. Aku dan Che Joe habiskan bahagian nasi yang terakhir, cuma aku perlukan bantuan air. Waktu kita susah, macam di Palestin, inilah makanan kita, mungkin ini lebih baik lagi. Kita yang makan nasi lauk ayam dengan ikan setiap hari patutnya ingat pada saudara kita yang kekurangan makan dan kelaparan yang tak mampu nak beli lauk sedap.

STESEN 7 – menyusun hadith dan menulis semula dalam jawi. Hadith yang senang ni jadi susah apabila kami keliru dengan ganti nama diri yang rasanya terlebih. Syazwan menunjukkan kemahiran menulis jawinya. Stesen ni cuba mengingatkan tangan kita yang selama ni menulis rumi untuk menulis jawi semula.

STESEN 8 – kami dikehendaki memilih buku agama dan mencarinya dan menjawab soalan berdasarkan buku tersebut dalam masa yang ditetapkan. Berjaya. Signifikan stesen ini cuba mengingatkan kita dalam setahun, berapa kali kita ingat untuk mencari dan membaca buku agama? Asyik layan buku anatomi je dulu. Kemudian cuba mengingatkan kami kesan marah kepada hati berdasarkan soalan yang diberikan.

Betul-betul menarik explorace kali ini, bukan setakat enjoy sahaja, tetapi turut mengingatkan kita kepada sesuatu selagi kita berfikir. Ini salah satu acara yang menarik dalam MPI kali ini. Semoga tahun depan diadakan lagi.

Pilihan Raya Kampus 08/09

Bismillah........

Aku menguap, mengantuk lagi, mata pun rasa nak tutup balik.

Bangun awal aku pagi ni, sebab semalam aku tidur awal. Aku gagahkan juga diri nak pergi bilik air, bersihkan diri nak sembahyang Subuh. Bila nak keluar je dari bilik, aku ternampak satu kertas terselit bawah pintu.

Aku ambil, angkat dan baca. Tulisannya besar, font saiz 20, mungkin. Tidak bertajuk dan tidak bergambar. Namun, tujuan penulisannya tetap jelas tempampang, malah kepada siapa ditujukan pun dapat diketahui.

Apa yang aku nak cerita di sini, kandungannya memburukkan atau lebih jelas lagi, mengutuk salah seorang bekas MPP. Dan aku rasa mungkin si penulis ini adalah salah seorang calon sekarang atau penyokong calon tersebut. Heh, macam-macamlah diorang ni.

Aku letak kertas tersebut atas meja Riduan dan keluar dari bilik, haaa, aku terjumpa satu lagi kertas di atas rak kasut. Aku ambil dan baca, ada tajuk dan salah satu perenggan dibesar dan diboldkan.

Haha, kali ini, kandungan kertas ini jelas ditujukan kepada calon tadi, dengan sedikit pengaruh kepada pelajar kampus agar memilih calon yang lebih baik. Bagi aku, masih ada unsur memburukkan calon tersebut.

Sekali lagi aku ketawa. Macam-macamlah diorang ni.

Jujur aku cakap, aku bukanlah penyokong untuk kedua-dua pihak dalam hal ini. Apatah lagi aku kurang berminat dengan politik, bukan tak suka, cuma tak minat. Aku lebih suka meilhat reaksi para pemain dunia politik kampus. Melihat siapa yang membangkang, siapa yang menentang, siapa yang menang dan siapa yang melatah.

Dan ini adalah salah satu senario yang biasa digunakan dalam dunia politik sebenar, memburukkan calon lain. Semua kesalahan kecil akan ternampak jelas bagaikan gajah. Masing-masing cuba memburukkan lawan untuk mendapat kuasa pentadbiran.

Memburukkan lawan ni memang satu strategi ke? Strategi bagus atau kotor? Bagi aku, biarlah orang main kotor, tapi jangan kita main kotor. Mungkin pemikiran aku ni kolot........ Bukan apa, memburukkan orang lain dah nampak macam menghancurkan imej sendiri, takut sangat bakal tak menang. Dan yang paling orang fikir, kemaruk nak kuasa. 

Tapi bila aku dengar manifesto masing-masing, sama sahaja manifesto kedua-dua pihak. Adakah manifesto ini cuma alat mempengaruhi pelajar? Atau tujuan sebenar perjuangan mereka? Kalau benar manifesto ini yang mereka perjuangkan, kenapa nak berlawan nak menjatuhkan lawan? Ohh, di saat ini, aku terfikir, masing-masing mempunyai agenda di belakang.

Apapun terjadi, semua pemimpin mahukan nama yang baik. Semua pemimpin mahukan kesejahteraan kampus. Semua pemimpin mahukan kebajikan pelajar. Jadi, kenapa tak boleh sepakat dalam hal politik? Agenda......

Sehinggakan semasa mengundi tadi, aku duduk di dewan dengan masa yang lama, tidak tahu yang mana satu perlu dipangkah. Serius.

Kalau diikutkan, semua calon tahun ini amatlah berkaliber. Malah aktif dalam pelbagai aktiviti. Bukan itu sahaja, hampir semua matlamat mereka adalah sama. Namun, hati manusia Allah sahaja yang tahu.

Apapun yang terjadi selepas ini, biar siapa pun yang naik, dah menjadi tanggungjawab dia untuk menunaikan janji-janji, dan menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dan menegur.

Pemikiran aku sentiasa hendakkan kesatuan antara kita, bukan perbalahan, mungkin pemikiran aku ni kolot kot. 

Pilihlah yang mana korang rasa baik untuk korang. Terutamanya, sokonglah mereka yang boleh buat kerja.

Yang pasti, ini pilihan raya kampus pertama yang kontroversi sejak pengalaman aku di matrikulasi. Kikikiki.....

p/s: keputusan dah keluar. Lepas ni kita tengok macam mana rentak diorang menari atas pentas kampus. Akhir kata, maafkan pemikiran kolot ini, aku tak menyokong sesiapa pun sebenarnya. Cuma suka melihat latah orang saja.

Thursday, January 15, 2009

Aku Cemburu.........

Bismillah......

Cemburu???

Mungkin juga. Dalam hati aku sekejap tadi, memang tiba-tiba wujud perasaan ni. Jadi, apa yang aku cemburukan?

Haha, aku bukan cemburu dengan kejayaan orang, cuma cemburu dengan hasil kerja orang. Cerita bermula ketika aku melawat Unit Informatik Kesihatan petang tadi bersama Saiful. Poster yang dibuat dan ditampal di situ, cukup-cukup menarik perhatian aku.

Posternya cantik, menarik dan berwarna. Dalam hati, aku akui, aku pun boleh buat poster begitu cuma aku masih tak sekreatif perekanya lagi sebab tak terfikir sebegitu. Ohhh, cemburunya.

Aku mula teringat akan hasil kerja Studio Grafik dan Media Digital PPSK. Satu waktu dahulu, aku cuma explore laman web PPSK. Mana tahu aku termasuk link Studio Grafik dan Media Digital PPSK. Dan dari situ, baru aku tahu, betapa kerdilnya aku dalam dunia grafik ni.

Beberapa hasil kerja diletakkan di situ. Daripada poster, dan banner hinggalah kepada brochure dan lain-lain lagi. Dan aku terpaksa akui, itulah hasil kerja daripada mereka yang sudah bergelar profesional. Aku yang masih lagi beginner ni tak mampu nak buat sehebat itu. Bukan tak mampu nak buat, aku boleh buat seperti apa yang mereka buat, cuma pemikiran dan kekreativiti mencipta sesuatu aku masih lagi tidak seprofesional mereka.

Ahhh, betul-betul cemburu.

Mungkin kerana selama ini aku cuma mencipta design yang ringkas sahaja, bukan apa, supaya memudahkan kerja dan kos percetakan. Mereka pula yang profesional tak mengira kos, kerana mereka mempunyai sendiri alat percetakan. Maka pemikiran mereka dapat dikembangkan lagi. Dan aku pula terperangkap dalam kongkongan yang sempit.

Sebenarnya aku dah cuba keluar dari kongkongan tersebut. Aku cuba mencipta revolusi dalam hasil seni aku. Contohnya banner selamat datang HTD. Aku rasa, itu banner pertama yang dibuat oleh pelajar USM yang menggunakan banyak warna. Namun, ada sahaja pihak yang menentang, alasan mereka, banyak kos dan menghabiskan warna. Salah aku atau salah mereka?

Kalau begini, susahlah pemikiran kreatif ini hendak berkembang. Dan benda tersebut akan menjadi satu stereotaip sahaja selamanya. Bagaimana seni hendak berkembang?

Apapun, aku rasa baik kiranya aku kongsi hasil kerja Studio Grafik dan Media Digital PPSK dengan korang semua. Mana tahu setiap kita boleh jadikan ia sebagai rujukan. Malah aku sendiri pernah jadikan ia sebagai rujukan untuk buat poster aku sendiri.

Untuk melihat lebih lagi, bolehlah melayari link ini,

 http://www.ppsk.usm.my/grafik/galeri%20grafik.htm













p/s: aku akui, aku masih lagi 'kanak-kanak' dalam bidang grafik. Kikikiki..........

Monday, January 12, 2009

Pendapat Dalam Percintaan...


Bismillah.........

Hari Khamis yang lepas, aku rasa Forum Bicara Ad-Din betul-betul menarik. Dengan tajuk yang sememangnya dapat menarik ramai remaja, “Salahkah Aku Bercinta”, ramai juga aku tengok orang yang hadir, rata-ratanya pelajar kampus kita.

Bertambah menarik lagi apabila moderatornya pandai bermain bahasa bersama-sama dengan ahli panel. Di samping berlawak, ada juga mesej yang disampaikan. Memang simbolik.

Memang aku puji, setakat ini, Forum Bicara Ad-Din lebih menarik dan lebih ramai pengunjung berbanding projek-projek lain.

Kalau nak diikutkan pada hari ini, memang ramai remaja kita yang dah bercinta ni. Tengok saja kawan-kawan aku, entah berapa banyak yang bermain cinta. Mabuk cinta.

Aku?

Huhu, aku pun manusia juga kan. Fitrah manusia, lelaki suka perempuan dan perempuan suka lelaki. Jadi, hati Adam ini tetap akan tertarik pada Hawa juga. Cuma aku tak suka main-main cinta ni. Kalau suka pun, suka tengok jauh-jauh je. Nak bercakap, nak berkenalan, nak beramah mesra, nak makan bersama, itu tak mungkin sebab itu semua bukanlah prinsip aku.

Hari itu, salah seorang kawan aku menganalisa aku. Hasil analisanya, dia mengatakan yang aku ini cuma berkomunikasi dengan perempuan atas dasar pelajaran, kerja dan gurau senda. Tak ada sebab lain dan tak lebih dari itu. 

Ermm, mungkin betul kot. Hahaha.......

Kenapa?

Haha, mula-mula, aku tau aku cuma budak biasa. Budak biasa yang tak punya apa. Dan sekeliling aku pula, terlalu ramai yang mempunyai kelebihan, dan yang banyak kelebihan tu perempuan pula. Kalau lelaki, tak apa lagi. Ini bukan merendah diri, ini satu kenyataan.

Dan aku tak suka terikat dengan sesuatu. Kebanyakan kawan aku yang bercinta ni suka main mesej, habis kredit, dan juga masa. Tu belum nak jaga perasaan pasangan lagi. Perasaan diri seperti cemburu tu lagi le. Seorang kawan aku, baru tengok pasangan dia berbual dengan lelaki lain dah cemburu. Itu belum melayani kehendak pasangan lagi. Bagi aku, baik layan kawan dari layan pasangan. Kurang-kurang, kawan boleh belanja kita makan, kalau makwe??? Kita yang habis duit belanja dia.

Sebab yang paling utama kenapa aku tak bercinta, sebab aku takut cinta akan menghampiri perkara yang disebut zina. Bahaya woo. Banyak orang beri alasan itulah, inilah, sampai ada yang mempertikaikan ustaz dan ulama dengan alasan diorang, dan alasan diorang bercinta dengan tatacara dalam Islam, dan alasan tak buat benda tak baik, tapi di hadapan Allah esok, bolehkah alasan ni diterima? Banyak dah ayat Al-Quran dan hadith mengenai larangan menghampiri zina dijadikan ingatan buat kita. Adakah kita sedar?

Bila aku sembahyang, selalu aku rasa diri aku kekurangan sesuatu. Tu sebab aku suka sujud lama-lama. Terasa lebih banyak kekurangan. Terasa insaf sikit. Mungkin inilah sebab yang mengikis kehendak aku nak bercinta dengan orang. Kalau cinta pada Allah pun kurang, tak payahlah cinta pada orang lagi. Kena jaga hubungan dengan pencipta dulu baru dengan manusia kan?

Jujur kata aku, aku lebih suka kawan beramai-ramai. Gelak ketawa bersama, belajar bersama, kurang perasaan cemburu dan bermacam-macam lagi. Tak perlu terikat. Dan yang paling best, ketika bersama keluarga. Beramai-ramai lebih selesa dari bersama pasangan sahaja.

Mungkin orang cakap, aku ni terlalu berfikiran ringkas, terlalu tak matang, tak berfikir mendalam dalam hal ni. Namun, aku dah cukup bersyukur aku berfikir macam ni.

Apapun, aku rasa, tak payahlah berpening kepala dengan soal cinta ni kan? Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan.

Dan, ungkapan 'Jodoh di tangan Tuhan' yang biasa digunakan, aku cakap seperti yang orang biasa cakap, kalau ada jodoh, memang tak kemana perginya......

p/s: ni bukan lukisan gambar awek aku, tapi aku ambil dari seseorang yang meletakkan gambarnya ini di internet. Dan dari gambar tersebut, aku lukis semula. Bukan apa, nampak comel gambar orang yang bertudung ni. Kalau rasa ada iras sesiapa lukisan tu, itu cuma ilusi atauu khayalan korang je. Aku yakin korang tak kenal siapa dia ni, sebab aku pun tak tau nama dia. Kikikiki.........

Saturday, January 10, 2009

Poster Pertandingan

Bismillah........

"Jadi, saya nak tanya, poster pertandingan ni siapa yang perlu buat? Kami sendiri ke atau grafik atau publisiti?" aku bertanya.

"Saya sebenarnya keliru, sebab sekejap kata grafik buat, sekejap lagi publisiti yang buat, last-last kami diminta buat sendiri." aku menambah lagi.

"Kalau macam tu, baik kiranya projek pertandingan buat sendiri." kata HICOM.

"....... Okey." Aku menutup bicara.

Sebenarnya aku faham situasi sekarang. Dengan MPI yang baru bermula masa tu, masing-masing jadi sibuk. Lebih-lebih lagi grafik. Poster yang kami minta grafik buatkan pada lebih sebulan lepas masih belum siap.

Malah aku rasa aku faham, mungkin kerana projek kami antara projek terkecil berbanding projek-projek lain, maka projek lain lebih diberi keutamaan dahulu.

Kemudian, publisiti pula meminta poster daripada kami, katanya grafik belum beri. Lantas publisiti ingin membuat poster kami. Butiran telah aku beri. Tapi mereka juga sibuk, aku faham. 

Itulah sebabnya aku membuat pertanyaan tadi. Sekadar memberi penjelasan kepada grafik, publisiti dan projek aku siapa yang perlu buat poster kami. Bila aku dah menerima, mungkin kerja mereka akan menjadi ringan sedikit. Tak apalah kan, bantu rakan. Lagipun bukannya aku tak boleh buat poster.

Jadi, balik dari mesyuarat malam tu, aku terus design poster untuk projek aku, projek pertandingan. Namun masalah tetap ada, kami memerlukan 4 jenis poster. Maka aku dan naib aku, Nafsiyah merasakan yang 4 poster kami ini akan memenuhi papan kenyataan. Lantas kami berbincang dan sepakat untuk membuat 2 poster dalam satu keping kertas. Dengan ini, kami cuma menggunakan 2 keping kertas untuk 4 buah poster. Korang faham tak ni?

Seperti biasa, aku guna Adobe Photoshop. Nak design 4 poster dalam satu masa bukan kerja mudah malah mungkin memakan banyak masa. Jadi, aku cuba membuat poster seringkas yang boleh. 

Sebenarnya, kalau ikut pelajaran pendidikan seni di sekolah dahulu, sebuah poster perlu ada ciri-ciri yang betul. Pertama, ia dapat menarik pehatian orang, kedua ringkas tapi padat, ketiga, penuh informasi dan beberapa ciri lain yang aku dah lupa. Hahaha, dah berapa tahun dah aku tinggalkan perkara ni.

Jadi inilah design yang aku reka. 


Ambil masa jugalah nak reka ni. Walaupun hakikatnya aku cuma ambil gambar daripada internet, tapi nak memanipulasikan gambar tu yang susah.

Seperti biasa juga, proses menulis butiran aku gunakan Microsoft Publication. Saja aku buat begitu sebab senang nak kawal, lagipun aku perlu beri poster dalam format publisiti. Lagipun senang nak diedit oleh orang yang tak tahu guna Photoshop, bukan apa, benda ni pernah terjadi sebelum ni.

Jadi, ini pula keputusannya. 2 poster dalam satu kertas A4.




Hahaha, orang cakap aku pandai grafik, tapi bagi aku, aku cuma pandai manupulasikan gambar orang je. 

p/s: aku rasa macam dah buat revolusi poster pula sebab sebelum ni mana ada poster kecil lagi macam seprauh A4 yang aku buat ni. 

Sunday, January 4, 2009

Banner Kejohanan Futsal 16-16

Bismillah.......

Hari ini, 3hb Januari 2009, tarikh berlangsungnya Kejohanan Futsal 16-16 yang dianjurkan sempena Minggu Penghayatan Islam. Ketua projeknya adalah Zunnun dan aku adalah salah seorang AJK di bawahnya.

Sepanjang hari ni aku jaga kaunter urusetia je, catat markah, jawab pertanyaan orang, beri pamplet dan yang utama, jaga sistem PA. Perghhh, memang penat dan rasa sikit bosan (sikit je...) terutamanya waktu dah nak habis kumpulan terakhir. Asyik tanya dalam hati, bilalah nak habis. Kikikiki.........

Apapun, seperti yang aku beritahu dalam post yang lepas, aku lebih kepada AJK grafik Zunnun sebenarnya. Selain dari design borang untuk Zunnun, aku turut buatkan satu design banner untuk projek futsal ni.

Cerita buat banner ni bermula selepas 2 minggu menikmati cuti semester, aku pun duduklah berehat di rumah. Satu malam, tiba-tiba aku dapat mesej dari dia, hendakkan aku design satu banner dan hantar padanya secepat mungkin supaya Exco Publisiti dapat menempahnya.

Memang gila, aku waktu tu dah setkan minda aku nak pergi Langkawi. Nak tak nak, aku buat juga malam tu. Sambil aku mendownload cerita John Doe, sambil itu aku buat design banner. Akhirnya aku berjaga malam siapkan banner tersebut sehinggalah pukul 4 pagi. Mak aku dah bangun dah waktu tu untuk siapkan makanan sahur puasa sunat.

Penat juga aku. Dia hendakkan banner yang hampir serupa dengan borang pernyertaan yang aku buat. Inilah hasilnya. Aku buat guna Adobe Photoshop. Save dalam bentuk jpeg. 



Sebenarnya yang lama aku design banner ni adalah disebabkan susun letak semua benda dalam banner tu, daripada perkataan hinggalah ke ilustrasinya. Banyak kali jugalah aku adjust, nampak tak cantik, tukar lagi, dan tukar lagi. Aku rasa sesiapa yang jadi freelance ni memang betul-betul kena banyak bersabar.

Apapun, bila aku balik ke USM, bila semester baru bermula, tiba-tiba dia kata Exco Publisiti tak jadi buat. Tiada budget aku dengar. Hoh, habis usaha aku tidur lewat.

Namun begitu, awal minggu ni, semasa aku sedang berjalan ke Murni untuk pergi mesyuarat, aku terlihat banner ni. Terkejut juga aku. Bila aku tanya Zunnun, dia kata Exco Publisiti dapat buat satu untuk dia banner cetak. Hahaha....... Mungkin tajaan Khyrar, itu sebab ada logo dia dalam banner ni.

Ni la hasilnya selepas dicetak. Nampak serupa  cuma ada pertambahan sedikit. Ada benda yang lupa aku masukkan dan ada logo penaja.

Banner ni digantung di pagar gelanggang futsal di luar pada mulanya tapi di bawa ke tepi dewan pada hari pertandingan. Mungkin kalau korang bernasib baik, banner ni masih ada lagi di situ.

p/s: Secara jujur, aku pun tak sangka hasil banner cetak ni cantik. Jarang design banner aku dicetak.

Saturday, January 3, 2009