Tahun Baru Hijrah 1430H......


Bismillah........

Terasa kerdil betul aku bila aku duduk sebentar selepas sembahyang maghrib tadi. Aku pandang hadapan sekejap, layan perasaan sendiri. Mulalah aku nak bermain fikiran, bermain perasaan, bermain kenangan. Sebelum aku terus hanyut, Alif telebih dahulu memberi sedikit tazkirah mengenai tahun baru hijrah kepada semua jemaah.

Pejam celik, pejam celik, akhirnya satu tahun lagi sudah pun berlalu. Terlalu pantas rasanya masa beredar. 20 tahun terasa terlalu sekejap berlalu. Sekali lagi menampakkan kita dah semakin tua atau semakin dimamah usia. Walaupun korang atau aku sendiri masih mengaku muda, namun hakikatnya kita dah semakin tua.

Namun, masa yang berlalu tetap terus berlalu. Kita tak boleh nak memperlahankannya, tak boleh juga mempercepatkannya, apatah lagi memberhentikannya. Maka jika dilihat semula, masa tetap akan berlalu dan pergi begitu sahaja, malah tidak akan datang kembali. Betapa begitu berharganya masa itu. Malahan, pujangga turut merakamkan masa sebagai emas dan juga sebagai pedang. Allah berfirman,

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.

Surah Al-Asr, 1-3

Apa yang aku nak tekankan kali ini adalah pengajaran dan iktibar yang dapat kita ambil dari masa yang telah berlalu. Sempena tahun hijrah 1430 yang baru bermula hari ini, aku nak mengajak korang supaya merenung sedikit mengenai sirah lebaran Rasulullah s.a.w dan para sahabat semasa berhijrah ke kota Madinah.

Allah menukar ganti malam dan siang, sesungguhnya pada demikian itu satu iktibar yang besar bagi mereka yang mempunyai penglihatan mata hati.” - 

 Surah An-Nur, 44

Mungkin korang tak berapa suka sangat sirah atau lebih sinonim dengan sejarah. Mungkin darah muda kita ni tak terdetik untuk terus mengingati masa silam yang tak pernah kita alami. Aku faham, aku pun seperti korang juga. Namun begitu, iktibar sejarah perlu kita hayati. Daripada sejarahlah kita dapat membina tamadun yang lebih baik pada hari ini.

Betapa perit penderitaan yang di lalui oleh penduduk Islam Makkah suatu ketika dahulu. Diseksa setiap hari, cedera parah, cacat malah ada juga yang terbunuh.  Malahan, setiap suku kaum yang membenci Rasulullah merancang menghantar wakil, dan berkumpul di luar rumah baginda untuk membunuh baginda. Betapa kuasanya Allah yang mampu menidurkan musuh-musuh ini agar baginda dapat keluar dan tempat baginda digantikan oleh Ali.

Bersama Abu Bakar, mereka bersama-sama ke Madinah yang dibantu oleh beberapa toloh seperti Aishah, Asma’ dan Abdullah. Sepanjang perjalanan, beberapa peristiwa telah berlaku. Kuda yang dinaiki musuh tiba-tiba sahaja jatuh ketika diarahkan haluannya kepada baginda untuk membunuh baginda dengan pedang. Sarang labah-labah yang menutup jejak baginda dan Abu Bakar daripada pandangan musuh-musuh di Gua Thur. Abu Bakar yang menahan gigitan atau sengatan ketika baginda sedang tidur di pahanya sembuh.

Maka apa yang dapat kita fahami dari peristiwa hijrah ini? Hijrah ini bukanlah bermakna melarikan diri dari musuh, ia adalah suatu perubahan yang membawa kepada kebaikan. Akibat hijrah ini, akhirnya banyak peristiwa penting dalam tamadun Islam berlaku. Pembinaan Masjid Quba’ dan Nabawi, ikatan persaudaraan Muhajirin dan Ansar, Piagam Madinah dan bermacam-macam lagi. Malah perkembangan Islam menjadi lebih lancar dan kuat.

Malahan, Ustaz aku dulu pernah berkata hijrah ni salah satu langkah penting atau titik penting dalam pengembangan Islam, bukan menunjukkan Islam itu lemah. Dan memang betul, daripada peristiwa hijrah ke Madinah ini, Islam dapat berkembang dengan pesat. 

Bukan itu sahaja untuk kita ambil pengajaran, dari peristiwa hijrah juga banyak membangkitkan kisah-kisah lain yang perlu kita ikuti. Terutamanya kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar. Banyak pengorbanan yang mereka lakukan demi persaudaraan, dan aku rasa kita pun tak mampu nak ikut pengorbanan tersebut. Contohnya kisah Abdul Rahman bin Auf dan Saad.

Maka di tahun hijrah yang baru ini, masihkah korang dapat menghayati peristiwa hijrah tersebut? Adakah korang masih mengambil iktibar daripadanya?

Kita di zaman sekarang pun bukannya tidak boleh berhijrah, masih boleh sebenarnya. Konteks hijrah bukan terletak kepada perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat sahaja, namun ia suatu konteks yang luas. Hijrah juga boleh diertikan sebagai suatu perpindahan atau perubahan daripada yang buruk kepada yang lebih baik. ia merangkumi semua aspek tak kiralah perangai, perbuatan, sikap, dan sebagainya.

Namun begitu, masih lagi ramai yang lupa dan alpa dan aku boleh katakan tidak langsung mengambil iktibar dari sejarah hijrah terdahulu. Jikalau tahu pun hanya tahu sahaja, tidak menghayati peristiwa tersebut. Dengan kata jujur, kadang-kala aku pun begitu juga. Mungkin kerana kita atau aku terutamanya, terlalu asyik dengan kenikmatan dan keamanan yang ada pada hari ini dan terus-menerus lupa yang masa terus mengalir deras tak berhenti atau berputar semula.

Sekali lagi aku ingin mengingatkan diri sendiri dan semua pembaca agar dapat mengambil iktibar dari peristiwa hijrah dan dapat melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik dan seterusnya menghargai masa.

Di sini ingin aku ingin berkongsi satu soalan yang ditanya oleh ustaz aku di matrikulasi dahulu. Pada zaman nabi Musa a.s, pengikutnya sendiri mampu memindahkan istana besar dalam sekelip mata yang tidak mampu dilakukan oleh jin sekalipun. Namun, kenapa Rasulullah s.a.w tidak berdoa agar dipindahkan sekelip mata ke Madinah dalam peristiwa hijrah? Cuba renungkan sejenak. Inilah iktibar yang perlu kita hargai kerana dalam mencapai kejayaan, perlulah melalui pelbagai ujian malah rintangan. Inilah iktibar yang ditunjukkan kepada kita untuk direnungkan bersama.

 p/s: kalau aku ada tersilap tulis, tolong bagitau, sebab aku tulis berdasarkan apa yang aku dah belajar dahulu kala. Mungkin aku dah terlupa sedikit.

Sunday, December 28, 2008

0 Comments: