Liga Futsal 16-16 MPI

Bismillah.......

Nampaknya MPI dah beberapa hari berjalan. Dan kalau aku tak silap, esok dan Sabtu akan diadakan Liga Futsal 16-16 di bawah pengetuaan Zunnun.

Aku masih teringat lagi sebelum peperiksaan semester 1 bermula, aku pergi ke bilik Che untuk melawat Che. Kebetulan Zunnun ada sekali di situ (dia satu bilik dengan Che), terus dia suruh aku jadi AJK di bawah dia untuk design borang dan banner. Dengan kata lain, dia nak aku jadi AJK grafik untuk projek dia.

Aku nak menolak masa tu sebab aku dah ada projek MPI lain tapi dia kata aku tolong design je, jadi aku pun tolonglah dia. Kawan punya pasal kan....... Lagi pun aku ni seorang yang susah nak menolak permintaan orang. Jadi, borang untuk futsal aku cuba buatkan untuk dia sebelum semester 1 tamat.

Dia berikan aku apa syarat-syarat pertandingan dan aku designkan satu borang untuk dia berdasarkan borang contoh yang dia beri. Walaupun borang yang dia beri tu cumalah fotostat, tapi aku dah nampak gambaran borang yang dia nak. Dua borang dia beri, satu poster depan dan belakang, satu lagi muka hadapan sahaja.

Aku akui, nak buat borang ni susah sikit. Mula-mula aku kena tau posisi semua bahagian dulu. Mula-mula aku nak buat borang lain sikit, aku nak buat secara menegak, tapi memandangkan terma dan syarat banyak, aku takut tak dapat buat jadual nama. Jadi aku pilih untuk buat borang melintang.

Kemudian kena cari gambar futsal, bab ni yang susah sikit sebab futsal MPI tak sama dengan futsal lain, main kena pakai seluar yang menutup aurat. Lama juga aku cari gambar yang sesuai. Akhirnya aku jumpa gambar dua orang pemain yang kiranya tutup jugalah aurat lutut tu. Cuma yang seorang tu........

Bahagian edit gambar, buat muka taip yang sesuai, masih senang lagi bagi aku. Semua ni aku buat guna Photoshop. Aku tak masukkan terma dan syarat lagi masa ni sebab aku takut terma dan syarat akan berubah, dan Zunnun tak tahu guna Photoshop. Jadi aku save dalam bentuk jpeg dan masukkan dalam Microsoft Publisher. Inilah bentuk jpeg yang aku save.




Perkara yang susah seterusnya adalah nak masukkan jadual nama pemain dan syarat-syarat. Entah berapa lama aku adjust aku pun tak tau. Pelbagai tulisan aku cuba, dengan saiz-saiz tertentu. Akhirnya siap setelah aku pilih muka taip Arial (biasa digunakan, mulanya aku nak guna Times New Roman) dengan saiz 8. Barulah muat sikit walaupun nampak padat sedikit.

Yang di bawah ni adalah borang yang dah siap 100%. Aku save dalam Microsoft Publisher.




Zunnun check balik dan edit mana yang perlu dalam tema dan syarat. Borang ni siap sepenuhnya waktu cuti sebelum mula semester 2. Ada sedikit perubahan semasa cuti seperti wang hadiah dan beberapa syarat lain.

Tapi, bagi aku, inilah percubaan pertama aku buat borang pertandingan. Puas hati juga aku, walaupun aku tau design aku ni tak seberapa pun.

Wednesday, December 31, 2008

Minggu Penghayatan Islam ke 11




Bismillah.......

Akhirnya, sekali lagi Minggu Penghayatan Islam USMKK datang menemui kita. Tahun ini ada kali ke sebelas MPI diadakan di USMKK dan tahun ini, MPI diterajui oleh saudara Faisal, Medik tahun 2, bersama-sama barisan HICOM serta Exco dan ketua projek yang lain.

Banyak aktiviti yang telah dirangka untuk MPI pada kali ini, ada penambahan aktiviti dan ada juga pengurangan aktiviti dahulu. Namun, aku rasa MPI kali ini bakal menggegarkan USMKK seperti tahun lepas juga.

MPI tahun ni dimulakan pada 27 Disember 2008 dengan aktiviti Kursus Kahwin Fasa I. Tapi aku rasa tak ramai yang tahu waktu tu dah bermula MPI. Namun, hari ni bahang MPI mula terasa apabila bermulanya pameran pada waktu siang dan Majlis Perasmian MPI pada malam hari.

Di sini, aku tak mahulah cerita banyak mengenai MPI. Tapi kalau korang nak tahu, apa salahnya datang menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan nanti. Dan boleh korang nilai sendiri.

Di sini, ada aku sertakan sekali jadual MPI kali ini. Aku edit guna Microsoft Word 2007. Microsoft Word 2007 memang mudah untuk mengcantikkan kerja sebab template dia dah sedia ada. 


p/s: aku tak tahu kenapa tapi aku suka dengan logo MPI yang ni. Logo ni mula digunakan sejak sidang 07/08 dan digunakan hingga MPI yang kini. Mungkin sebab susunan huruf mim, fa dan alif tu yang menjadikan ia menarik.

Tuesday, December 30, 2008

Tahun Baru Hijrah 1430H......


Bismillah........

Terasa kerdil betul aku bila aku duduk sebentar selepas sembahyang maghrib tadi. Aku pandang hadapan sekejap, layan perasaan sendiri. Mulalah aku nak bermain fikiran, bermain perasaan, bermain kenangan. Sebelum aku terus hanyut, Alif telebih dahulu memberi sedikit tazkirah mengenai tahun baru hijrah kepada semua jemaah.

Pejam celik, pejam celik, akhirnya satu tahun lagi sudah pun berlalu. Terlalu pantas rasanya masa beredar. 20 tahun terasa terlalu sekejap berlalu. Sekali lagi menampakkan kita dah semakin tua atau semakin dimamah usia. Walaupun korang atau aku sendiri masih mengaku muda, namun hakikatnya kita dah semakin tua.

Namun, masa yang berlalu tetap terus berlalu. Kita tak boleh nak memperlahankannya, tak boleh juga mempercepatkannya, apatah lagi memberhentikannya. Maka jika dilihat semula, masa tetap akan berlalu dan pergi begitu sahaja, malah tidak akan datang kembali. Betapa begitu berharganya masa itu. Malahan, pujangga turut merakamkan masa sebagai emas dan juga sebagai pedang. Allah berfirman,

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.

Surah Al-Asr, 1-3

Apa yang aku nak tekankan kali ini adalah pengajaran dan iktibar yang dapat kita ambil dari masa yang telah berlalu. Sempena tahun hijrah 1430 yang baru bermula hari ini, aku nak mengajak korang supaya merenung sedikit mengenai sirah lebaran Rasulullah s.a.w dan para sahabat semasa berhijrah ke kota Madinah.

Allah menukar ganti malam dan siang, sesungguhnya pada demikian itu satu iktibar yang besar bagi mereka yang mempunyai penglihatan mata hati.” - 

 Surah An-Nur, 44

Mungkin korang tak berapa suka sangat sirah atau lebih sinonim dengan sejarah. Mungkin darah muda kita ni tak terdetik untuk terus mengingati masa silam yang tak pernah kita alami. Aku faham, aku pun seperti korang juga. Namun begitu, iktibar sejarah perlu kita hayati. Daripada sejarahlah kita dapat membina tamadun yang lebih baik pada hari ini.

Betapa perit penderitaan yang di lalui oleh penduduk Islam Makkah suatu ketika dahulu. Diseksa setiap hari, cedera parah, cacat malah ada juga yang terbunuh.  Malahan, setiap suku kaum yang membenci Rasulullah merancang menghantar wakil, dan berkumpul di luar rumah baginda untuk membunuh baginda. Betapa kuasanya Allah yang mampu menidurkan musuh-musuh ini agar baginda dapat keluar dan tempat baginda digantikan oleh Ali.

Bersama Abu Bakar, mereka bersama-sama ke Madinah yang dibantu oleh beberapa toloh seperti Aishah, Asma’ dan Abdullah. Sepanjang perjalanan, beberapa peristiwa telah berlaku. Kuda yang dinaiki musuh tiba-tiba sahaja jatuh ketika diarahkan haluannya kepada baginda untuk membunuh baginda dengan pedang. Sarang labah-labah yang menutup jejak baginda dan Abu Bakar daripada pandangan musuh-musuh di Gua Thur. Abu Bakar yang menahan gigitan atau sengatan ketika baginda sedang tidur di pahanya sembuh.

Maka apa yang dapat kita fahami dari peristiwa hijrah ini? Hijrah ini bukanlah bermakna melarikan diri dari musuh, ia adalah suatu perubahan yang membawa kepada kebaikan. Akibat hijrah ini, akhirnya banyak peristiwa penting dalam tamadun Islam berlaku. Pembinaan Masjid Quba’ dan Nabawi, ikatan persaudaraan Muhajirin dan Ansar, Piagam Madinah dan bermacam-macam lagi. Malah perkembangan Islam menjadi lebih lancar dan kuat.

Malahan, Ustaz aku dulu pernah berkata hijrah ni salah satu langkah penting atau titik penting dalam pengembangan Islam, bukan menunjukkan Islam itu lemah. Dan memang betul, daripada peristiwa hijrah ke Madinah ini, Islam dapat berkembang dengan pesat. 

Bukan itu sahaja untuk kita ambil pengajaran, dari peristiwa hijrah juga banyak membangkitkan kisah-kisah lain yang perlu kita ikuti. Terutamanya kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar. Banyak pengorbanan yang mereka lakukan demi persaudaraan, dan aku rasa kita pun tak mampu nak ikut pengorbanan tersebut. Contohnya kisah Abdul Rahman bin Auf dan Saad.

Maka di tahun hijrah yang baru ini, masihkah korang dapat menghayati peristiwa hijrah tersebut? Adakah korang masih mengambil iktibar daripadanya?

Kita di zaman sekarang pun bukannya tidak boleh berhijrah, masih boleh sebenarnya. Konteks hijrah bukan terletak kepada perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat sahaja, namun ia suatu konteks yang luas. Hijrah juga boleh diertikan sebagai suatu perpindahan atau perubahan daripada yang buruk kepada yang lebih baik. ia merangkumi semua aspek tak kiralah perangai, perbuatan, sikap, dan sebagainya.

Namun begitu, masih lagi ramai yang lupa dan alpa dan aku boleh katakan tidak langsung mengambil iktibar dari sejarah hijrah terdahulu. Jikalau tahu pun hanya tahu sahaja, tidak menghayati peristiwa tersebut. Dengan kata jujur, kadang-kala aku pun begitu juga. Mungkin kerana kita atau aku terutamanya, terlalu asyik dengan kenikmatan dan keamanan yang ada pada hari ini dan terus-menerus lupa yang masa terus mengalir deras tak berhenti atau berputar semula.

Sekali lagi aku ingin mengingatkan diri sendiri dan semua pembaca agar dapat mengambil iktibar dari peristiwa hijrah dan dapat melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik dan seterusnya menghargai masa.

Di sini ingin aku ingin berkongsi satu soalan yang ditanya oleh ustaz aku di matrikulasi dahulu. Pada zaman nabi Musa a.s, pengikutnya sendiri mampu memindahkan istana besar dalam sekelip mata yang tidak mampu dilakukan oleh jin sekalipun. Namun, kenapa Rasulullah s.a.w tidak berdoa agar dipindahkan sekelip mata ke Madinah dalam peristiwa hijrah? Cuba renungkan sejenak. Inilah iktibar yang perlu kita hargai kerana dalam mencapai kejayaan, perlulah melalui pelbagai ujian malah rintangan. Inilah iktibar yang ditunjukkan kepada kita untuk direnungkan bersama.

 p/s: kalau aku ada tersilap tulis, tolong bagitau, sebab aku tulis berdasarkan apa yang aku dah belajar dahulu kala. Mungkin aku dah terlupa sedikit.

Sunday, December 28, 2008

Sebelum terlena......

Bismillah.......

“Allahuakbarr.........” aku menguap sambil menutup mulut. Hujan pula makin mencurah-curah di luar tingkap. Suhu semakin menurun, maksud aku makin menurun. Mungkin disebabkan aku angin dari kipas yang turut terpasang. Aku rasalah, malam ni suhu bilik aku 27 celcius kot.

Mata aku semakin kuyu, mula berair selepas menguap tadi. Nampak sangat aku dah mengantuk. Kepala aku letakkan pada bantal yang diberi Wan. Tangan aku pula aku capaikan selimut putih di tepi kaki. Selimut putih ni aku gunakan untuk menutup kaki aku yang kian sejuk.

Seperti biasa, aku bacalah doa sebelum tidur dengan dua kalimah syahadah sekali. Lepas tu baru aku cuba melelapkan mata ni. Mata yang semakin kuyu ni.

Nak dijadikan cerita, aku mula berfikir, lebih tepat lagi terfikir. Sejak akhir-akhir ni aku terasa keliru. Keliru dengan sesuatu. Sesuatu yang aku fikir memelikkan. Apa yang memelikkan?

Minda aku mula mengembara dalam diari hidup aku yang tersemat dalam otak aku. Cebisan ingatan mula diungkit-ungkit untuk diingati. Cebisan ingatan yang aku rasa aku akan ingat dalam masa terdekat ni. Mungkin.

Aku di situ, dia di sana. Tiba-tiba sahaja dia menawarkan sesuatu kepadaku. Hah, ini tawaran baik, terutamanya bagi aku. Tapi aku mula terfikir, ini tawaran ataupun permainan? Bukan permainan catur, cuma permainan psikologi yang dah lama disimpan. Disimpan oleh dia, malah aku pun turut terfikir suatu ketika dulu.

Dia bertanya lagi. Aku diam berfikir. Nak terima, atau nak tolak? Nak terima, atau nak tolak? Nak terima, atau nak tolak? Oh, aku dah mula berperang dalam hati. Kesan psikologi pertama dari tawaran dia.

Aku diam seribu bahasa walaupun aku hanya tahu beberapa bahasa sahaja. Minda terus berfikir apa niatnya yang sebenar. Dia memang berani bertanyakan soalan tersebut pada aku. Betul-betul berani. Sama ada dia memang ikhlas atau aku yang terlebih fikir? Kalaulah aku mahir dalam psikologi manusia.

Kalau niat baik, tak salah untuk aku dan dia. Cuma aku rasa takut, sebab aku macam tak percaya. Tambah lagi kenangan yang terpahat dahulu mula berbunyi sekarang. Makin berbunyi makin aku nak terima. Tapi kesudahan itu yang aku bimbang. Cukup bimbang.

Aku fikir habis. Cuma aku takut malu saja nanti kalau dinampak orang. Aku pun jawab.........

GELAP.

Aku tertidur. Terus melupakan memori tersebut. Mungkin muncul didalam mimpi, mungkin terus ditelan tidur yang hanya beberapa jam ini.........

Wednesday, December 24, 2008

Wallpaper Karnival Sukan MPD 08/09



Bismillah......

Aku baru nak tertidur, tetapi terjaga semula selepas mendengar bunyi kaca pecah, bunyi mesej telefon aku. Tak tunggu lama, aku bacalah siapa yang hantar mesej pada nombor maxis aku ni. 

Oh, ketua aku rupanya. Dia suruh aku buat satu wallpaper iklan untuk Karnival Sukan MPD 08/09 yang akan berlangsung pada 27 Disember ni. Aku terimalah tugasan ni dengan kepala aku mula mengaturkan masa, bila nak menyiapkannya di samping nak menyiapkan kerja-kerja lain lagi. Tau-tau aku dah pun tertidur.

Petang tu, Ikram datang melawat aku di bilik. Sambil-sambil sembang dengan dia, aku mula membuat wallpaper ni. Ikram pula cakap sesuatu pada aku. Pelik juga aku. Lain kali aku cerita kat blog ni apa yang dikatakannya.

Apapun, aku minta juga pendapat Ikram dalam membuat wallpaper ni. Aku setuju dengan pendapat Ikram berikan pada aku petang tadi, "Walaupun wallpaper buruk atau terlampau ringkas, yang penting mesej dapat disampaikan." Ya, itulah tujuan utama iklan kan? Saja aku minta pendapat dia dalam buat wallpaper sebab dia banyak pengalaman buat wallpaper sebelum ni. 

Lepas tu dia tambah sikit "Sekarang orang buat poster dan wallpaper tapi diorang tak sedar yang perkataannya tenggelam dengan background." Aku rasa betul cakap dia dan aku rasa ini satu tips yang baik untuk aku dan orang lain yang nak buat wallpaper lepas ni. Perkara ni selalu terjadi pada iklan poster hitam putih dan wallpaper yang terlalu colourful.

Lepas sembahyang Maghrib aku sambung lagi. Akhirnya siap juga selepas aku makan di luar. Saja je aku buat dua wallpaper.

Aku saja buat lebih dari satu untuk dia dapat pilih mana yang lebih elok. Tapi aku rasa dua-dua ni tak berapa cantik. Tak taulah kenapa tapi aku rasa macam ada kekurangan sikit dalam design aku kali ni. Mungkin sebab ini first time aku buat wallpaper iklan yang banyak perkataan. Wallpaper iklan yang aku buat untuk PSK sebelum ni sikit je perkataan.

Tak tahulah dia naikkan ke tak wallpaper ni atau dia tukar wallpaper lain. Hahaha......

Sunday, December 21, 2008

Azam baru........

Bismillah......

Huh, nampaknya tinggal beberapa hari je lagi untuk aku dan budak-budak USMKK untuk menghabiskan cuti semester. Masing-masing mesti dah mula persiapan pulang, kemas beg, beli tiket. Aku pun baru beli tiket hari Selasa yang lepas.

Kalau boleh, memang rasa tak nak je pulang ke USM, tak nak lepaskan cuti ni dan kalau boleh tak nak berganjak dari tilam empok ni.

Tapi, hakikatnya semua orang ada tanggungjawab kan? Jadi, kita terpaksa juga bergerak untuk terus menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang penuntut universiti.

Dan di permulaan semester, sememangnya selalu aku tanam azam baru, yang bagi aku sememangnya hangat-hangat tahi ayam. Kenapa? Aku cuma bersemangat masa awal semester saja nak tunaikan azam tapi bila dah nak abis semester, perghhhh....... korang lebih arif rasanya.

Semester baru ni, aku tak tau nak teruskan buat azam baru lagi atau tak. Kalau buat tapi tak tercapai pun tak guna juga kan? Tapi kalau tak buat pun lagi tak elok kan? Entahlah.

Mungkin azam aku satu sahaja. Kalau azam banyak-banyak pun tak tentu lagi boleh tercapai. Mungkin aku nak cuba dengan yang satu ni dulu.

Aku nak berubah........

p/s: lepas ni, bermulalah semester baru kita, bermulalah pembelajaran kita, dan bermulalah perah otak kita untuk belajar......

Tuesday, December 16, 2008

Indah Pemandangan Langkawi Seribu Cerita Tersembunyi


Bismillah.......

Huhuhu, baru-baru ni, aku berkesempatan ikut kakak-kakak aku ke salah satu tempat pelancongan di Malaysia. Pulau Langkawi namanya. Rasanya kami sekeluarga dah lama tak keluar bersama, sebab tu kakak kedua aku ajak pergi ke sana. Apapun, aku turut rasa dia nak kami adik-beradik menjadi lebih rapat lagi terutamanya dengan abang ipar baru aku.

Dengan bajet yang sederhana, kami pun pergilah ke sana dengan menaiki kereta ayah aku. Ayah dengan mak aku tak ikut. Malas katanya, nak berehat.

Aku rasa kasihan pada abang ipar aku sebab dalam percutian ni dia je yang bawa kereta. Dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis, di Langkawi, dan dari Kuala Perlis ke Kuala Lumpur. Mesti penat sehhh, kakak-kakak aku lak malas nak pandu......

Hilanglah seratus ringgit lebih dalam perjalanan ke sana, daripada duit minyak dan duit bayar tol, hinggalah kepada duit bayar feri (bayar feri yang mahal tu).

Sesampainya kami di sana, di Jeti, aku terasa nostalgik. Teringat pada arwah atuk dan opah yang pernah membawa kami adik-beradik ke sana suatu masa dulu, kalau aku tak silap aku masih tadika ketika tu. Emosional aku kejap.

Kami berada di sana hanyalah tiga hari dua malam. Tapi banyak jugalah tempat kami pergi. Tapi kebanyakannya, tempat membeli barangan (faham-fahamlah, perempuannn........). Lebih-lebih pula kat kedai coklat. Keluarga aku ni memang gila coklat, murah pula tu.

Pemandangan Langkawi ni, subhanallah, cantik betul, terutamanya waktu aku lihat dari atas gunung selepas naik kereta kabel. Sejuk wooo. Adik aku yang gayat memang kelakar waktu tu.

Apapun, aku masih terasa Langkawi masih lagi best. Pemandangan masih cantik ditambah pula dengan banyak lagi tempat menarik (waktu aku pergi dulu, masih sedikit tempat menarik yang ada). Dan aku rasa benda yang paling menarik di Langkawi ni adalah sejarah dan mitos setiap tempat tu, Mahsuri, Telaga Tujuh, Beras Terbakar dan lain-lain lagi.

Banyak juga tempat lain yang aku baru tau cerita sejarah dan mitosnya, macam Beras Terbakar dan Padang Matsirat atau Padang Mat Sirat. Rupanya dulu diorang pernah berperang dengan Siam, dan demi mengelakkan Siam tawan beras yang merupakan sumber makanan utama masa tu, diorang kumpul di suatu padang dan bakar.

Begitu juga dengan Telaga Tujuh. Di Telaga Tujuh, aku seorang je yang jalan naik atas, kakak dan adik aku semuanya give up. Heh, aku memang semangat mengembara, darah muda..... tapi aku tak sangka rupa-rupanya aku baru sampai telaga pertama, ingatkan itu yang telaga tujuhnya. Telaga Tujuh ada tujuh telaga dan semuanya kena berjalan dari bawah bukit, naik bukit ke telaga pertama, kedua, ketiga hinggalah ketujuh. Melalui sembang dengan mak cik di situ, aku dapat tahu yang tlaga ni tempat tujuh orang puteri mandi-manda. Tak tahulah aku ini mitos atau sejarah.

Sebelum ni, di Langkawi, aku cuma tahu sejarah Makam Mahsuri saja, Mahsuri yang di bunuh akibat hukuman fitnah dia melakukan curang kepada suaminya. Darah yang keluar masa hukuman bunuh tu warna putih (aku selalu anggap dia ni leukimia masa aku kecik dulu). Dan sebelum dia meninggal, dia buat sumpah Langkawi akan jadi ‘padang jarak padang tekukur’ selama 7 keturunan.

Telaga Harbour Park yang aku cuma lalu di tepi jalan tu ada banyak kapal mewah. Kapal layar pun ada. Ada satu rumah api putih kat situ. Cantik laut dia. Tapi korang tau tak sini pernah dilanda tsunami masa ari tu. Menurut cerita, banyak kapal musnah. Tapi berita ni tak disebar sangat takut hilang tarikan pelancongan.

Dan yang paling baru aku dengar, melalui sembang kosong dengan pak cik duduk sebelah aku dalam feri adalah Hulu Melaka (di Langkawi, bukan Melaka). Katanya Hulu Melaka ni tempat Hang Tuah belajar silat dan bertapa. Aku terkejut juga, Hang Tuah pernah pergi Langkawi rupanya.

Selain itu, dia turut bercerita mengenai Pantai Pasir Hitam, satu-satunya pantai di Malaysia yang pasirnya hitam. Perkara ini terjadi mungkin disebabkan proses kimia. Air terjun Temurun yang berdekatan dengan laut, lepas mandi air laut yang masin, korang boleh mandi air sungai yang tawar.

Sebenarnya banyak lagi cerita menarik pasal tempat-tempat di Langkawi ni, macam PulauDayang Bunting, Geroda dan Jentayu dan lain-lain lagi, cuma aku je tak sempat nak jelajah dan cari ceritanya. Yalah, masa terhad, budget pun ala kadar. Memang di internet ada ceritanya, tapi tak menariklah setakat baca saja tapi tak merasai tempat tu sendiri. Semangat jelajah!! Kadang-kadang dengar orang tempatan cerita lebih menarik dan banyak info dari internet.

Apapun, aku mengakui, memang menariklah Langkawi ni.

p/s: aku mula bimbang dengan nasib Langkawi. Bila aku tengok betul-betul, aku terasa permandangan cantik ni dah mula dicemari oleh sampah-sarap. Semuanya berpunca dari pengunjung yang suka membuang sampah merata-rata. Korang janganlah buat macam tu.

Saturday, December 13, 2008

Kekreativitinya Terserlah.....


Bismillah......

Nampaknya sekarang kita dah masuk bulan Disember. Sekarang, aku nak memperkenalkan kepada korang seorang rakan yang hebat melukis. Tak salah di sini kalau aku katakan dia seorang lebih hebat daripada aku, seribu kali lebih hebat daripada aku.

Dia yang aku maksudkan adalah Gun 43 atau Mud Kantoi (bukan nama sebenar, cuma nama pena), di sini aku panggil dia Mud. Orangnya kecil, kiut, sering berambut pendek, berpakaian kemas, budak akaun di matrik dan juga kini mengambil akaun di UiTM, seorang yang pandai dalam akaun (keputusan matrik dia tinggi), pendiam dan seorang yang suka memakai songkok semasa di matrik dahulu.

Teringat akan perkenalan aku dengan dia di matrik dahulu. Sebenarnya waktu di matrik dahulu, aku tak pernah langsung tegur dia. Tapi aku sering ternampak karya-karya dia yang cantik dan ringkas, yang betul-betul buat aku cemburu. Masa tu aku rasa nak aja aku berbual dengan dia dan jadi kawan dia, tapi aku malu masa tu.

Alhamdulillah, semasa aku jadi AJKO dahulu, dia turut sama menyertai sebagai seorang AJKO. Dari situlah bermulanya persahabatan kami, bersama-sama AJKO-AJKO lain, namun kami lebih bersama dalam satu kumpulan dengan Kouru dan Zaim. Kami sering berempat dan selalulah bergelak ketawa sama-sama.

Satu hari, di waktu hampir tamat minggu orientasi pelajar baru, barulah Mud bukak cerita fasal karya-karyanya. Malah dia turut menunjukkan beberapa karya dia. Cantik gile. Dari situ aku banyak belajar melukis dengan dia. Dia bagitau aku dia dah melukis sejak kecil lagi. Waktu pulang ke KL, dia turut melukis di sebelah aku untuk aku. Aku pun banyak perhatikan cara dia melukis.

Lukisan Mud kebanyakannya berkisar kepada nasihat. Kalau dilihat daripada semua lukisan-lukisannya, dia banyak melukis untuk pengajaran kepada sesiapa yang melihatnya. Sememangnya Mud sebab Mud ni pandai agama.

Namun begitu, sebab utama yang membuatkan orang tak lepas pandang lukisan dia ni adalah kecomelan lukisan dia. Antara banyak-banyak rakan yang pandai melukis, dia seoranglah kawan aku yang pandai melukis watak comel. Bukan sahaja comel, malah lukisannya ringkas dan mudah dihadam minda.

Bukan sahaja lukisan, namun dia juga seorang yang kreatif dalam mencipta tulisan dan juga membuat karya seni lain. Contoh yang terbaru dia kasi aku satu cara untuk buat kad yang comel. Di matrik, dia pernah terlibat dalam membuat poster dan juga kad jemputan. Sehingga kini, dia masih menolong orang lain dalam mencipta design baju dan banner.

Antara kejayaan dia adalah karya dia pernah tersiar dalam Gempak 2 kali, ruangan OK ke KO. Malah dia turut menghantar karyanya kepada suratkhabar The Star dan tersiar. Dia juga pernah menjadi pekerja terbaik semasa bekerja di sebuah restoran segera (aku lupa McDonald atau AnW). Aku tahu ada lagi kejayaan dia yang aku tak tahu sebab dia ni pendiam, jadi dia tak suka riak, hehehe.

Apapun, aku dah minta dia tolong lukiskan satu kartun untuk aku. Terima kasih Mud. Semoga persahabatan kita berkekalan......



p/s: aku masih teringat aku dah jatuh cinta kat karya dia masa dia buat satu poster bola jaring. Bukan sahaja ringkas namun kecomelan perempuan yang memakai tudung tanpa menampakkan aurat tu cukup memikat hati aku.

Tuesday, December 2, 2008