File 1-1



Angin bertiup perlahan, sepoi-sepoi bahasa, menyapa sesiapa sahaja yang ada di tepi jalan pada waktu itu. Cuaca pula tidak begitu terik, namun tidak pula dilitupi awan mendung. Nyaman sungguh pagi Sabtu itu walaupun matahari sudah mula memanjat langit.

Dia terus melakar dan melorek bahagian bayang, menambahkan ton pada sisi muka. Kemudian dia berhenti sebentar dan melihat subjek dihadapannya. Melihat anatomi mukanya dengan lebih jelas. Kemudian dia kembali melakar, tetapi kali ini pada bahagian rambut pula. Dipekatkan bahagian atas agar terus menampakkan kesan bayang dan cahaya.

“Lama lagi ke dik?” subjek bertanya, jelas tidak sabar menunggu melihat hasil tangan tersebut.

“Sabar ya bang, sikit je lagi.” Memang tinggal sedikit sahaja lagi. Lakaran sudah siap, tona sudah pun ditambah, bayang sudah pun dilorek. Cuma tinggal memadamkan bahagian tertentu sahaja. Perlahan-lahan pemadam digerakkan. Kini lukisan potret itu kelihatan kemas.

“Siap.” Katanya ringkas.

Dihulurnya potret itu pada lelaki dihadapannnya. Pensel masih lagi di tangan kirinya, pemadam di tangan kanannya diletakkan di atas riba.

“Wah, macam tengok cermin pula. Berapa ni dik?” tanya lelaki tersebut.

“Lima ringgit je bang.” Jawabnya. Sampul coklat pudar dihulurkan sebagai bekas menyimpan lukisan tersebut.

“Eh, murahnya. Kalau di Pasar Seni mahu sampai sepuluh ringgit.” lelaki tersebut membesarkan mata, terkejut.

“Haha, saya bukan profesional, bang. Ini pun hobi saja.” Jawabnya, tersenyum.

Lelaki itu memandang semula potret mukanya. Hanya hobi? Lukisan secantik ini lima ringgit sahaja? Hairan berlegar di kepalanya. Kemudian tersenyum.

“Tak mengapalah dik, abang bayar sepuluh ringgit.” Lelaki itu mencapai not sepuluh ringgit dari poket seluarnya. “Abang ikhlas.”

Musa serba-salah. Namun diterimanya juga. Mungkin itu rezekinya pada pagi itu.

“Terima kasih, bang. Nanti, kalau ada masa saya lukis gambar isteri abang pula. Kalau abang ada gambarnya pun saya boleh lukis.”

“Isteri?”

“Ya, abang dah beristerikan? Malah isteri abang pun masih bekerja lagi kan?”

“Eh, macam mana adik tahu?” lelaki itu mula hairan.

Musa tersenyum. Tekaan mengenai perihal pelanggannya sudah menjadi satu habitat baginya.

“Masa abang baru datang tadi, abang datang dari tempat letak kereta. Kemudian abang singgah sini. Jadi, saya terbau minyak wangi daripada abang, tetapi bukan minyak wangi lelaki. Jadi saya agak itu bau minyak wangi isteri abang, dan abang pula bawa kereta, maka saya teka abang memandu kereta dengan isteri abang. Tetapi di mana isteri abang? Saya agak dia pun bekerja, sama ada abang menghantarnya atau dia berjalan sendiri dari tempat letak kereta.” Musa menjelaskan.

“Wah, menarik. Jadi apa lagi yang boleh awak rumuskan dari saya?” tanya lelaki tersebut.

Musa diam sebentar. Dia tidak mahu bercakap panjang, tetapi hati pelanggan harus dijaga. Lelaki di hadapannya hanyalah seorang pekerja yang memakai kemeja putih berjalur biru, seperti mana-mana pekerja biasa lain. Rambut hitam sedikit keputihan disikat rapi ke belakang. Cermin mata yang dipakainya jatuh sedikit ke tengah hidung. Di poket kemejanya terdapat sebatang pen parker bertutup metalik perang. Di tangan kanannya kelihatan jam tangan kulit yang sudah lusuh melilit pergelangan tangan. Tiada beg, tiada kertas kerja.

“Abang ada jawatan tinggi dalam pekerjaan. Walaupun abang hanya memakai kemeja, tapi saya teka abang mungkin supervisor atau ketua.”

“Kenapa pula?” tanya lelaki itu lagi.

“Sebab abang masih lagi bersenang-lenang di sini walaupun sekarang dah sejam setengah waktu masuk kerja. Lagipun abang bermurah hati bayar lebih tadi. Kalau nak diberikan bukti, pen parker di poket baju abang tu, saya ternampak perkataan London tertera di penutupnya. Pen luar negara yang mahal dan begitu sahaja abang bawa ke mana-mana dan gunakannya, seolah-olah abang tak takut pen berharga ini hilang. Rata-rata pekerja biasa tiada pen import tu, dan kalau ada sekali pun, mesti tak akan diguna atau dibawa berjalan, takut tercicir.” Penjelasan diberikan lagi, panjang.

“Kenapa abang perlu guna pen mahal sebegitu? Sebabnya ketika abang hendak berurusan dengan klien, adalah amat penting dalam imej yang dipamerkan.” Musa menutup hujahnya.

“Hahaha. Menarik adik ni. Tapi apa yang adik katakan tadi memang benar. Ini kad abang. Ada masa, adik bolehlah hubungi abang.” Lelaki itu menyerahkan kadnya kepada Musa dan berlalu pergi sambil tersenyum.

Huh? Sharuddin Samad? Pengarah Kejora Holdings? Betul ke ni? Musa memandang semula ke arah lelaki tersebut. Tetapi kelibat lelaki itu sudah pun hilang. Macam tak percaya pula.

Musa terus duduk di situ menunggu subjek lukisannya yang seterusnya. Begitulah setiap hari Sabtunya. Dia lebih suka duduk di situ dan mengambil upah melukis di bawah pohon rendang itu. Hobinya itu dapat juga membuahkan ekonomi namun bukan itu niatnya. Dia cuma mahu berkarya sahaja, wang tidak dipedulikan. Tetapi dia tetap mengambil wang kerana bimbang dikatakan berniat buruk.

Walaupun minatnya pada lukisan, tetapi ia tidak lebih dari itu. Belajarnya tidak tertumpu pada seni, sebaliknya sains. Sains dan seni, gabungan otak kiri dan kanan, barulah seimbang, bukan tertumpu pada satu bahagian sahaja.

Dia terus melukis apa sahaja subjeknya. Jika tiada pelanggan, dia melukis apa sahaja lukisan yang terbengkalai dalam buku lukisannya. Masa dilayannya sebegitu sahaja. Sememangnya dia lapang ketika itu.

Tatkala senja berlabuh, dia pun pulang. Rumah kecil di Seri Petaling menjadi rumahnya dan kawannya, walau pada hakikat, dia cuma menumpang. Namun, dia tidak pernah dianggap penumpang oleh rakan baiknya itu. Sememangnya dia tiada saudara-mara lain. Panjang ceritanya.

“Assalamualaikum.” Suaranya ditinggikan sedikit agar jelas kedengaran oleh temannya.

“Waalaikumussalam. Hah, balik pun kau.” Sapa teman serumahnya, Azwan.

“Eh, ada kerja ke?” Musa bertanya melihat Azwan sedang bersiap dengan pakaian seragam polisnya. Dia pun perlahan bergerak ke rak cawan. Sudu dicapainya. Tin milo ditarik.

“Ada satu kes pembunuhan. Kau nak ikut ke?” Azwan berjalan perlahan ke arah pintu.

“Malaslah. Penat ni. Tapi kalau rumit, kau ceritalah pada aku. Mana tahu aku boleh tolong.” Musa mencapai cawan kecil merahnya. Sudu yang dipegang di tangan kanannya mula mencedok serbuk milo.

“Okey. Tapi susah juga kes kali ni. Orang besar yang dibunuh. Mesti banyak liputan akhbar nanti. Hish...” Suara Azwan rendah.

“Siapa?” Musa bertanya, acuh tak acuh. Perhatiannya masih pada milo yang kini dikacau bersama air panas dari termos.

“Ala, Sharuddin Samad......”

Musa memalingkan kepalanya ke arah Azwan, matanya terbuka lebih luas.

“Siapa?”

Wednesday, October 22, 2008

2 Comments:

hydrogenbond said...

kenapa x disambung yek???bes sgt...

DarkArtz said...

sebab rasa cam tak best......
huhuhu........