Kain Rentang

Bismillah.........
“Wan, jom kita buat kain rentang ucap selamat berjaya pada pelajar PSK.” Aku memberikan cadangan kepada Ridwan, rakan sebilik aku merangkap Yang Dipertua Persatuan Sains Kesihatan (PSK).

“Hmmm....” Ridwan berfikir, masih belum memberikan kata putus.

“Alaa, tahun lepas pun PSK buat kain rentang juga.” Aku cuba mencucuk jarum lagi. Tapi apa yang aku katakan sememangnya benar belaka. Kenangan membuat kain rentang bersama-sama abang Ibrahim, bekas YDP PSK, abang Zuhaili, Exco Kerohanian, Zairi, Aziaty, Tengku Atirah dan 2 orang perempuan yang aku tidak tahu namanya berlegar di fikiran (gambar di bawah).

Kain rentang atau selalu dipanggil orang sebagai banner merupakan satu mesej yang mudah yang dapat disampaikan, diumumkan atau diberitahu secara spontan kepada sesiapa sahaja yang memandangnya dan membacanya.

Ada dua cara untuk menghasilkan kain rentang, iaitu secara manual dan secara cetakan. Penghasilan secara manual memerlukan tenaga kerja lebih dari seorang jika ingin menyiapkannya dalam masa yang singkat, tetapi murah. Penghasilan secara cetakan pula mengambil masa yang singkat namun memerlukan bayaran cetakan komputer dan kain sintetiknya.

Aku sememangnya dah ada banyak pengalaman dalam membuat kain rentang ni, baik secara manual mahupun cetakan. Aku pernah diberi beberapa tugasan sebelum ini dalam pembikinan kain rentang dan juga pernah menyertai pertandingan kain rentang sempena Minggu Patriotisme (sayangnya kumpulan aku kalah).
Pengalaman aku bermula di zaman sekolah menengah, aku dah berkali-kali melihat bagaimana cikgu seni aku membuatnya. Tapi, aku masih tak setanding cikgu seni aku lagi. Kenapa? Sebab kain rentang yang paling besar pernah aku buat secara manual, adalah kain rentang sempena Hari Terbuka Desa (gambar di bawah) tetapi cikgu seni aku pernah membuat 4 potret perdana menteri dalam kain rentangnya sempena sambutan patriotisme sekolah dahulu. Memang aku kagum dengan beliau.

Apa pun, kain rentang kali ini sememangnya lain daripada yang lain. Ridwan telah membekalkan aku kain biru, bukan kain putih seperti yang selalu aku buat. Keluasan kain yang kecil ini juga menyebabkan aku ketandusan idea mengenai corak yang patut aku letakkan di dalamnya. Namun aku cuba juga meletakkan corak ringkas (mungkin terlampau ringkas).



Tapi, aku teruskan juga sedaya yang boleh. Biar keputusan tidak menarik atau cantik asalkan mesej dapat disampaikan.

Proses awal dalam pembikinan kain rentang ini mestilah dengan melakar tulisan atau lukisan di atas kain tersebut. Dalam proses ini, aku biasanya menggunakan kertas yang telah di cetak perkataan terlebih dahulu kemudian menekapnya di atas kain. Cara ini jimat, tidak perlu alatan lain dan mudah dalam menentukan komposisi perkataan.

Antara cara lain adalah dengan menekap dan melakar semula setelah dipancarkan imej projektor. Namun cara ini memerlukan projektor, yang sememangnya sukar dicari. Terdapat juga cara memotong perkataan terlebih dahulu kemudian menekapnya. Cara ini selalunya dikatakan jimat kertas tetapi percayalah, ia menyusahkan dan sukar menentukan komposisi perkataan di atas kertas.

Setelah dilakar, tibalah masa untuk mengecatnya. Ridwan telah awal-awal lagi memanggil beberapa exco untuk mengecat dua kain rentang ini, antaranya Exco Grafik, Exco Akademik dan Exco Kerohanian serta orang bawahan mereka. Proses cat berjalan agak lancar kiranya.

Dan proses terakhir ialah touch up setelah dikeringkan. Huh, proses ini agak sukar sedikit. Selalunya touch up ini dijalankan ke atas subjek yang memerlukan keperincian, dalam kain rentang ini, logo USM memerlukan touch up, terutamanya yang bahagian belang harimau tu. Setelah semuanya berpuas hati barulah kain rentang akan digantung di tempat yang strategik, di tempat kebanyakan orang lalu dan dapat melihatnya.

p/s: Terima kasih aku dan Ridwan ucapkan kepada semua yang telah menolong menghasilkan kain rentang ini. Memang buang masa sedikit, tapi sekurang-kurangnya kita dah membantu PSK dalam menjayakan salah satu pengisiannya. Lagi satu, aku yakin, semua yang terlibat dah dapat ilmu mengenai proses penghasilan kain rentang. Kikikiki........

Thursday, October 30, 2008

Stories of Sudin

Bismillah.......
Nanti le satu hari nanti aku cerita apa tujuan sebenar aku wat cerita Stories of Sudin ni.........
Sebenarnya ni episod ke 3, dua episod sebelum ni aku tak scan lagi........

Sunday, October 26, 2008

Seni Azan Suatu Permulaan


Bismillah........

Hari ini, aku pergi masjid awal, dalam pukul 12 tengahari. Aku datang awal ada tujuannya, aku nak habiskan beberapa surah agar cepat khatam. Lama dah tertunggak, lama sangat dah aku sibuk, sekaranglah masanya aku nak cuba habiskan. Selepas solat sunat tahiyatul masjid, aku pun mula membaca hinggalah beberapa helai muka aku selak. Dan tanpa aku sedari, masa pun turut sama bergerak. Demi masa.........

“Allahu akbarullahu akbar” takbir azan bergema. Ish, dah masuk zohor dah rupanya. Aku tamatkan bacaan aku hingga habis muka surat 468.

Dan seperti biasa, alunan azan kali ni sedap kedengaran. Indah rasanya. Memang azan muazzin kat masjid ini salah satu azan kegemaran aku. Muazzin masjid ini selalu melaungkan azan dalam dua versi, satu versi yang biasa digunakan oleh bekas teman bilik aku dulu dan versi ini versi yang sememangnya aku suka sejak dahulu lagi, sama dengan versi kawan aku di matrik Perak dahulu.

Tiba-tiba aku terpanggil untuk menulis satu artikel mengenai azan. Ya, azan juga satu seni, seni azan, seni yang indah jika dibandingkan dengan seni menggunakan suara yang lain. Jadi, marilah kita mengenali seni azan dengan lebih mendalam lagi.

Azan adalah suatu lafaz khusus yang digunakan oleh umat Islam untuk memberitahu saudara Islam yang lain bahawa telah masuk waktu solat dan panggilan untuk bersolat. Azan terdiri lafaz takbir, lafaz dua kalimah syahadah, lafaz panggilan atau seruan dan lafaz tauhid di akhir. Sebenarnya ayat al-Quran mengenai azan ni tiada tetapi ada ayat yang hampir kepada penyeruan solat.

“Dan apabila kamu menyeru (mereka) untuk (mengerjakan) sembahyang.........”
Surah Al-Maidah, 58
“Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum'at..........”
Surah Al-Jumu’ah, 9

Jadi, biarlah aku terangkan serba sedikit mengenai sejarah azan. Sejarah azan bermula sejak tahun pertama hijrah lagi. Pada suatu hari, nabi Muhammad s.a.w telah mengumpulkan para sahabat untuk berbincang mengenai cara apakah yang sesuai untuk memberitahu telah masuknya waktu solat merangkap memanggil mereka segera bersolat.

Maka pelbagai cadangan telah diutarakan. Antaranya adalah dengan menyalakan api, memukul kayu, membunyikan loceng, meniup serunai atau trompet dan lain-lain lagi. Atas alasan tertentu, kebanyakan cadangan-cadangan ini telah ditolak. Akhirnya Saidina Umar al-Khattab telah memberikan cadangan agar dilaungkan sahaja yang menandakan waktu solat telah tiba. Timbul pula mimpi dari Abdullah bin Zaid tentang laungan azan dan diberitahu kepada baginda. Baginda akhirnya setuju dan menyuruh Bilal bin Rabah agar melaungkan azan.

Orang Melayu kita sering tersilap memanggil muazzin dengan bilal. Jadi, mari kita betulkan, orang yang melaungkan azan bukan jawatan bernama bilal tetapi jawatan bernama muazzin.

Sekarang kita masuk kepada bab utama. Kenapa aku dan sesetengah orang mengkategorikan azan di dalam seni?

Seperti yang kita tahu, azan digunakan sebagai pemberitahuan dan panggilan waktu solat. Maka muazzin yang melaungkan azan adalah lelaki tetapi bukan semua laki mempunyai suara yang sama. Ada suara yang lunak, ada suara yang keras, malah ada yang bersuara serak dan bermacam-macam suara lagi. Suara adalah salah satu faktor seni dalam azan. Ia mencantikkan lagi azan. Maka azan yang didengari kita terasa indah dan sedap. Suara serak atau keras tidak semestinya tidak sedap, asal pandai memanipulasikan suara, sedaplah jadinya.

Namun, faktor suara sahaja tidak mencukupi. Antara faktor penting yang lain ialah bagaimana ia dilaungkan atau bagaimana ia dilagukan. Ini mungkin faktor penting yang cukup membuatkan azan berseni. Kita sering mendengar azan, maka mesti kita selalu mendengar azan yang berlainan, ada azan yang laju bacaannya, ada azan yang perlahan, ada juga azan yang mendayu-dayu, malah ada juga azan yang sekadar bacaan sahaja. Namun bagi pendapat aku, lain orang, lainlah caranya melaungkan azan. Tetapi jangan lupa, cara melagukan azan tetap boleh diikuti. Dari sinilah timbulnya apa yang aku panggil sebagai versi.

Sememangnya azan yang berseni dapat meninggalkan kesan kepada muazzin dan juga kepada pendengarnya. Azan yang berseni cukup indah hingga dapat menapakkan kesan kepada pendengar dan seterusnya merangsang untuk menghayatinya. Malah seni azan yang cukup-cukup baik adalah panggilan yang dapat memanggil atau merangsang manusia agar bersolat pada waktu itu juga. Inilah yang cukup susah, kerana untuk menjayakan seni azan seperti ini memerlukan muazzin yang menjiwai laungan azannya.

Namun, berkesan atau tidak azan tersebut tetap bergantung kepada pendengar juga. Jikalau pendengar yang berhati batu, mungkin sukar untuk menggerakkannya. Namun, seni azan yang baik mungkin dapat melicinkan jalan agar batu tersebut bergerak sedikit. Aku teringat kisah sahabat nabi, di mana beliau mendengar azan, maka beliau terus menangis teresak-esak hingga merah matanya, sehingga hairan orang di sekelilingnya. Betapa tinggi imannya. Kita yang dengar azan mendayu pada zaman sekarang pun mungkin melayan tidur terlebih dahulu dengan alasan penat bekerja.

Jika dilihat secara keseluruhan, azan bukan pada suara dan bacaan sahaja. Terdapat juga faktor lain mengapa aku mengklasifikasikan azan sebagai seni. Salah satu sebabnya adalah tertib dalam melaungkan azan dan juga kedudukan semasa melaungkan azan. Hendak melaungkan azan ada tertibnya, malah ada juga jawapannya. Dari segi kedudukan pula, ada caranya, berdiri tegak, menghadap kiblat dan juga meletakkan dua jari di telinga. Bukannya melaungkan azan sambil bergerak atau menari. Malah ketika lafaz seruan, kepala harus dihadapkan ke kanan dan ke kiri.
Terlau berseni rasanya azan ini. Cukup berseni. Bukan dari segi luaran malah juga dalaman. Di akhir pena ini, aku menyeru agar semua termasuklah diri aku ini dapat mencuba melaungkan azan dengan baik dan tertib. Tidak mengapa jika suara atau lagu tidak sedap, namun perlu diingatkan, niat melaungkan azan adalah seni yang cukup susah dicapai, apatah lagi jika sedap pula bacaannya dan suaranya.

“Segala amalan adalah berdasarkan niat..”
Hadis sahih Bukhari dan Muslim

p/s: Teringat aku kenangan silam antara aku dengan seni azan ni. Masa di sekolah menengah (kenangan yang aku nak lupakan) dan kenangan di matrik Perak (kenangan mempelajari melaungkan azan dari saudara Ehsan dan kenangan silap bacaan azan). Kikikiki........

Friday, October 24, 2008

File 1-1



Angin bertiup perlahan, sepoi-sepoi bahasa, menyapa sesiapa sahaja yang ada di tepi jalan pada waktu itu. Cuaca pula tidak begitu terik, namun tidak pula dilitupi awan mendung. Nyaman sungguh pagi Sabtu itu walaupun matahari sudah mula memanjat langit.

Dia terus melakar dan melorek bahagian bayang, menambahkan ton pada sisi muka. Kemudian dia berhenti sebentar dan melihat subjek dihadapannya. Melihat anatomi mukanya dengan lebih jelas. Kemudian dia kembali melakar, tetapi kali ini pada bahagian rambut pula. Dipekatkan bahagian atas agar terus menampakkan kesan bayang dan cahaya.

“Lama lagi ke dik?” subjek bertanya, jelas tidak sabar menunggu melihat hasil tangan tersebut.

“Sabar ya bang, sikit je lagi.” Memang tinggal sedikit sahaja lagi. Lakaran sudah siap, tona sudah pun ditambah, bayang sudah pun dilorek. Cuma tinggal memadamkan bahagian tertentu sahaja. Perlahan-lahan pemadam digerakkan. Kini lukisan potret itu kelihatan kemas.

“Siap.” Katanya ringkas.

Dihulurnya potret itu pada lelaki dihadapannnya. Pensel masih lagi di tangan kirinya, pemadam di tangan kanannya diletakkan di atas riba.

“Wah, macam tengok cermin pula. Berapa ni dik?” tanya lelaki tersebut.

“Lima ringgit je bang.” Jawabnya. Sampul coklat pudar dihulurkan sebagai bekas menyimpan lukisan tersebut.

“Eh, murahnya. Kalau di Pasar Seni mahu sampai sepuluh ringgit.” lelaki tersebut membesarkan mata, terkejut.

“Haha, saya bukan profesional, bang. Ini pun hobi saja.” Jawabnya, tersenyum.

Lelaki itu memandang semula potret mukanya. Hanya hobi? Lukisan secantik ini lima ringgit sahaja? Hairan berlegar di kepalanya. Kemudian tersenyum.

“Tak mengapalah dik, abang bayar sepuluh ringgit.” Lelaki itu mencapai not sepuluh ringgit dari poket seluarnya. “Abang ikhlas.”

Musa serba-salah. Namun diterimanya juga. Mungkin itu rezekinya pada pagi itu.

“Terima kasih, bang. Nanti, kalau ada masa saya lukis gambar isteri abang pula. Kalau abang ada gambarnya pun saya boleh lukis.”

“Isteri?”

“Ya, abang dah beristerikan? Malah isteri abang pun masih bekerja lagi kan?”

“Eh, macam mana adik tahu?” lelaki itu mula hairan.

Musa tersenyum. Tekaan mengenai perihal pelanggannya sudah menjadi satu habitat baginya.

“Masa abang baru datang tadi, abang datang dari tempat letak kereta. Kemudian abang singgah sini. Jadi, saya terbau minyak wangi daripada abang, tetapi bukan minyak wangi lelaki. Jadi saya agak itu bau minyak wangi isteri abang, dan abang pula bawa kereta, maka saya teka abang memandu kereta dengan isteri abang. Tetapi di mana isteri abang? Saya agak dia pun bekerja, sama ada abang menghantarnya atau dia berjalan sendiri dari tempat letak kereta.” Musa menjelaskan.

“Wah, menarik. Jadi apa lagi yang boleh awak rumuskan dari saya?” tanya lelaki tersebut.

Musa diam sebentar. Dia tidak mahu bercakap panjang, tetapi hati pelanggan harus dijaga. Lelaki di hadapannya hanyalah seorang pekerja yang memakai kemeja putih berjalur biru, seperti mana-mana pekerja biasa lain. Rambut hitam sedikit keputihan disikat rapi ke belakang. Cermin mata yang dipakainya jatuh sedikit ke tengah hidung. Di poket kemejanya terdapat sebatang pen parker bertutup metalik perang. Di tangan kanannya kelihatan jam tangan kulit yang sudah lusuh melilit pergelangan tangan. Tiada beg, tiada kertas kerja.

“Abang ada jawatan tinggi dalam pekerjaan. Walaupun abang hanya memakai kemeja, tapi saya teka abang mungkin supervisor atau ketua.”

“Kenapa pula?” tanya lelaki itu lagi.

“Sebab abang masih lagi bersenang-lenang di sini walaupun sekarang dah sejam setengah waktu masuk kerja. Lagipun abang bermurah hati bayar lebih tadi. Kalau nak diberikan bukti, pen parker di poket baju abang tu, saya ternampak perkataan London tertera di penutupnya. Pen luar negara yang mahal dan begitu sahaja abang bawa ke mana-mana dan gunakannya, seolah-olah abang tak takut pen berharga ini hilang. Rata-rata pekerja biasa tiada pen import tu, dan kalau ada sekali pun, mesti tak akan diguna atau dibawa berjalan, takut tercicir.” Penjelasan diberikan lagi, panjang.

“Kenapa abang perlu guna pen mahal sebegitu? Sebabnya ketika abang hendak berurusan dengan klien, adalah amat penting dalam imej yang dipamerkan.” Musa menutup hujahnya.

“Hahaha. Menarik adik ni. Tapi apa yang adik katakan tadi memang benar. Ini kad abang. Ada masa, adik bolehlah hubungi abang.” Lelaki itu menyerahkan kadnya kepada Musa dan berlalu pergi sambil tersenyum.

Huh? Sharuddin Samad? Pengarah Kejora Holdings? Betul ke ni? Musa memandang semula ke arah lelaki tersebut. Tetapi kelibat lelaki itu sudah pun hilang. Macam tak percaya pula.

Musa terus duduk di situ menunggu subjek lukisannya yang seterusnya. Begitulah setiap hari Sabtunya. Dia lebih suka duduk di situ dan mengambil upah melukis di bawah pohon rendang itu. Hobinya itu dapat juga membuahkan ekonomi namun bukan itu niatnya. Dia cuma mahu berkarya sahaja, wang tidak dipedulikan. Tetapi dia tetap mengambil wang kerana bimbang dikatakan berniat buruk.

Walaupun minatnya pada lukisan, tetapi ia tidak lebih dari itu. Belajarnya tidak tertumpu pada seni, sebaliknya sains. Sains dan seni, gabungan otak kiri dan kanan, barulah seimbang, bukan tertumpu pada satu bahagian sahaja.

Dia terus melukis apa sahaja subjeknya. Jika tiada pelanggan, dia melukis apa sahaja lukisan yang terbengkalai dalam buku lukisannya. Masa dilayannya sebegitu sahaja. Sememangnya dia lapang ketika itu.

Tatkala senja berlabuh, dia pun pulang. Rumah kecil di Seri Petaling menjadi rumahnya dan kawannya, walau pada hakikat, dia cuma menumpang. Namun, dia tidak pernah dianggap penumpang oleh rakan baiknya itu. Sememangnya dia tiada saudara-mara lain. Panjang ceritanya.

“Assalamualaikum.” Suaranya ditinggikan sedikit agar jelas kedengaran oleh temannya.

“Waalaikumussalam. Hah, balik pun kau.” Sapa teman serumahnya, Azwan.

“Eh, ada kerja ke?” Musa bertanya melihat Azwan sedang bersiap dengan pakaian seragam polisnya. Dia pun perlahan bergerak ke rak cawan. Sudu dicapainya. Tin milo ditarik.

“Ada satu kes pembunuhan. Kau nak ikut ke?” Azwan berjalan perlahan ke arah pintu.

“Malaslah. Penat ni. Tapi kalau rumit, kau ceritalah pada aku. Mana tahu aku boleh tolong.” Musa mencapai cawan kecil merahnya. Sudu yang dipegang di tangan kanannya mula mencedok serbuk milo.

“Okey. Tapi susah juga kes kali ni. Orang besar yang dibunuh. Mesti banyak liputan akhbar nanti. Hish...” Suara Azwan rendah.

“Siapa?” Musa bertanya, acuh tak acuh. Perhatiannya masih pada milo yang kini dikacau bersama air panas dari termos.

“Ala, Sharuddin Samad......”

Musa memalingkan kepalanya ke arah Azwan, matanya terbuka lebih luas.

“Siapa?”

Wednesday, October 22, 2008

Seni Silat Satu Pengenalan......


Bismillah.......

Seni atau kesenian bukan sahaja terletak pada lukisan, arca atau hasil kerja seseorang. Ia juga boleh dilihat dari aspek pergerakan manusia sendiri. Jadi kali ni aku nak membincangkan seni dalam pergerakan manusia pula.

Rata-rata orang apabila dikatakan seni dalam pergerakan manusia akan berfikir mengenai seni tarian atau seni lakonan dan yang sewaktu dengannya. Tapi lupakah kita akan satu lagi jenis seni yang telah lama wujud dalam kaum kita, kaum Melayu yang telah diwarisi sejak turun-temurun lamanya, iaitu seni silat?

Jadi, apa itu seni silat? Melalui projek etnik, aku dah banyak buat rujukan buku, internet dan majalah dan juga mendengar penerangan sendiri mengenai seni silat. Waktu tu barulah aku sedar yang silat juga ada seninya. Kalau tak, perkataan seni sebelum silat tu pun aku pandang sebelah mata je.

Sebenarnya terus terang aku cakap, seni dan silat itu sendiri banyak definisinya. Ini definisi yang aku terima dan aku fahami. Seni adalah suatu yang halus, yang indah, yang dapat ditafsirkan bukan sahaja oleh mata tapi juga minda. Malah seni adalah sesuatu yang boleh dinikmati untuk suatu ketenangan diri. Maka, apakah itu silat? Silat setahu aku membawa maksud gerak. Kalau hendak diteruskan lagi, kita boleh mendefinisikan ia suatu gerak tangkas. Bila aku baca satu tesis karya abang kepada kawan aku, dia kata silat ni orang dulu memberi panggilan kepada orang yang licik, maka ia didefinisi sebagai gerakan yang licik. Malah ada pendapat yang mengatakan silat berasal dari perkataan silah atau wasilah dan juga silaturrahim, yang membawa makna warisan dan hubungan persaudaraan.

Silat pula ada banyak jenisnya, Silat Gayong, Silat Cekak, Silat Lincah, Silat Telapak dan lain-lain lagi. Masing-masing mempunyai cara pertahanan yang tersendiri. Dan kalau aku tak silap, setiap silat ni mesti ada perkataan seni sebelum silat. Cuba korang fikir, kenapa begitu? Mari kita lihat ayat di bawah ni.


Dalam Silat ada Diam,
Dalam Diam ada Gerak,
Dalam Gerak ada Bunga,
Dalam Bunga ada Helah,
Dalam Helah ada Buah,
Dalam Buah ada Pemukul
Dalam Pemukul ada Penyudah,
dan Dalam Penyudah ada Insaf.

Jadi, silat bukan dari segi gerakan pertahanan je, tapi ada juga seni dalam gerakan. Di samping gerakan tangkas yang melindungi diri sendiri, masih terlihat atau tertunjuk satu kesenian supaya silat yang digunakan lebih cantik, lebih teratur dan kemas. Gerakan seni sebegini memerlukan latihan yang banyak. Gerakan seni yang kemas boleh mematikan serangan musuh. Malah, gerakan seni ni boleh aku lihat dalam pergerakan yang ringkas dan tidak kelam-kabut dalam melakukan teknik atau buah silat. Bila dah cantik gerakan pertahanan, musuh pun akan kagum. Tapi kesenian tak terhenti setakat cantik dan kemas tetapi sehinggalah gerakan dapat kita habiskan dengan satu kemenangan.

Malah penggunaan bunga dalam silat, yang juga aku anggap satu kesenian, ada maknanya, bukan saja-saja je bunga ni. Bunga ni kalau korang nak tahu, ia bertujuan membuatkan musuh leka, disamping kita bersiap sedia buah apa yang bakal kita tujukan. Kiranya bunga ni satu helah kita dalam pertahanan diri. Itulah sebabnya dalam bunga ada helah dan dalam helah ada buah.

Gabungan bunga dan buah, kedua-dua gabungan seni ni, sudah cukup menampakkan betapa indahnya silat, yang bukan mengamalkan gerak pertahanan sahaja, malah gerak seni juga. Betapa hebat masyarakat Melayu dulu hingga dapat ilmu ni. Seni dalam silat masih lagi tidak terhenti setakat gerakan cantik dan kemenangan kemas, tapi masih luas lagi, sebab seni dalam silat ni tersembunyi dalam penuntutnya. Setiap gerakan ada sesuatu penjelasan. Cukup berseni. Tak percaya? Cubalah join silat, barulah korang dapat rasakan seni bukan terletak pada gerakan sahaja.

Jadi, kenapa seni disebut dahulu sebelum silat? Haaa, aku masih lagi mengkaji hal ni, walaupun aku dah tahu sedikit, tapi aku tak tulis lagi kat sini.

Maka, betullah kata orang, Melayu ni dah cukup kaya, bukan dari bahasa dan sastera je, malah dalam semua benda. Cuma satu je masalahnya, Melayu ni mudah lupa.

Bila sekarang aku lihat, silat ni semakin dilupakan, makin tenggelam. Malah ada yang kata silat terlalu mundur atau tidak hebat, aku cukup sedih. Malah ada yang beriya-iya nak masuk seni pertahanan diri asing, kemudian mengagung-agungkannya. Bukan aku larang masuk, Cuma, cuba kita fikir, benda ni warisan kita yang asli, kalau bukan kita yang belajar, siapa nak belajar lagi? Orang asing? Diorang pun belajar juga silat malah diorang puji silat lebih baik dari seni pertahanan diri yang lain. Kecewa betul aku. Silat ni orang tua kita yang dulu guna untuk menentang penjajah, sekarang penjajah pula yang guna dan mahir. Kita pula sibuk mencari seni pertahanan diri lain. Memang melayu ni tak ambil pengajaran tul dari kisah Pak Kaduk. Permata cantik diberi orang, kemudian kaca orang sibuk dibeli.

Korang percaya tak kalau aku cakap yang Bruce Li meninggal sebab kena penangan Seni Silat Gayong oleh Dato’ Meor Abdul Rahman? Korang percaya tak kalau aku cakap Seni Silat Cekak boleh mematikan semua gerakan aikido, taekwondo malah tomoi. Korang percaya tak kalau aku cakap Seni Silat Sendeng boleh buat penyerang seni pertahanan diri yang lain keliru?

Jadi, ini cuma satu pengenalan je. InsyaAllah aku akan wat artikel lain pasal seni dalam silat secara advance, sebab silat ni menyeluruh sebenarnya, keagamaan pun ada dalam silat.

Sebenarnya seni silat kita ni satu permata dalam warisan bangsa Melayu. Cuma mata kita je yang masih tak nampak.

p/s: kalau le Hang Tuah atau Tok Janggut tengok kita yang Melayu belajar seni petahanan diri asing, korang rasa mau tak diterajangnya kita?

Monday, October 20, 2008

Wallpaper...



Bismillah..........

Bebaru ni aku telah dikirim sms oleh seorang rakan yang memegang jawatan sebagai Exco Akademik Persatuan Sains Kesihatan (PSK)........
Dia telah meminta aku membuat satu wallpaper untuk diletakkan pada komputer- komputer yang ada di PPSK sebagai kata-kata ucapan selamat dan pendorong untuk menjawab peperiksaan akhir yang bakal mendatang tak lama lagi........
Dan masa tu, aku memang banyak masa, aku bleh je buat time tu........
Tapi aku teringat peristiwa yang terjadi pada aku satu waktu dulu masa aku jadi ketua grafik satu program tu.......
Peristiwa yang memang kalau boleh aku nak lupakan........
Jadi aku tak buat wallpaper ni, sebaliknya aku minta dia tanya dulu dengan ketua grafik, ketua aku........
Sebabnya aku tak nak le ketua Exco Grafik ni kecewa segala urusan tak diberitahu kepada dia terlebih dahulu cam masa aku jadi ketua grafik dulu.........
Ketua patut diinform terlebih dahulu kalau ada perkara penting yang perlu dibuat, kemudian barulah ahli boleh buat kerja atas arahan ketua..........
Tapi ketua program aku dulu, terus suruh ahli aku wat kerja tanpa bincang ngan aku, cam ahli aku tu sememangnya tak perlukan arahan aku, tu yang aku terkilan la sikit tu.........
Bukan itu je, ada lagi........
Tapi tu semua cerita lama, aku pun tak nak ingat dah.......
Cerita diteruskan, ketua Exco Akademik ni pun setuju nak kasitau ketua aku, abis cerita.........
Hampir seminggu kemudian, di kala aku dah sibuk, baru ketua aku kontek aku, suh aku wat wallpaper ni.......
Haiseh, aku pun tak banyak masa kan, aku wat je la sesimple yang boleh..........
Dan inilah resultnya.......
Simple sangat rasanya, wallpaper pertama aku letak gambar pen dan tulisan pada sebelah kanan, dan wallpaper kedua aku just letak tulisan je.........
Tapi kalau korang tengok bebetul, aku saja letak tulisan-tulisan pada sebelah kanan.......
Ni sebab aku dah tahu, kat komputer di PPSK, semuanya ada icon pada sebelah kiri, banyak lak tu, tu yang aku tak centerkan tulisan tu.......
Dan antara dua wallpaper ni aku lebih suka wallpaper kedua sebab warna dia matching kot.......
Apapun, aku dah kasitau dulu, kalau dia nak ubah, ubah le, nak buat lain, buat le.........
Bukan apa, aku bukan nak sangat hasil tangan aku diterima sebab aku sedar ada lagi wallpaper lain yang lebih menarik dan cantik.........
Memang itu prinsip aku, aku tak nak desak orang terima design aku kalau ada lagi yang lebih cantik.......
Yang penting tujuan tercapai, mesej dapat diterima dan difahami, tak kiralah sapa yang buat.......
Kepada rakan-rakan PSK, Selamat Menjawab Peperiksaan Akhir untuk Semester ni.........
Buat lah sehabis baik........
Moga diberi kejayaan.........

p/s: aku tak tahu sempat ke tak orang perasan wallpaper ni sebab waktu ni rasanya ramai yang dah abis kuliah dah.......
kikikiki.......

Sunday, October 19, 2008

Ran!!











Bismillah........

Dah lama dah aku nak tulis pasal kawan aku yang sorang ni..........
Tapi masih x tertaip lagi..........
Namun, bebaru ni satu insiden telah berlaku, jadi, aku tergerak gak untuk menulis pasal dia..........
Masa kat matrik dulu, aku ada sorang kawan baik..........
Tak perlulah aku kasitau namanya, tapi aku leh kasitau nama penanya, Ran...........
Dia duduk sebelah aku masa kat kuliah matrik dulu, jap, jap, aku rasa ada pembetulan, aku yang selalu duduk sebelah dia masa kat matrik dulu.........
Ye la, dia tu antara student yang top, aku selalu tanya dia cemana itu cemana ini dalam pelajaran...........
Salah satu yang best pasal dia ni, dia suka melukis............
Dan antara faveret aku adalah komik dia yang bernama W@nt3d, cerita pasal kehidupan dia masa kekecik dulu.........
Antara intipati W@nt3d ni, menceritakan sorang budak bernama Ran(dia le tu).........
Ran ni baru je masuk sekolah asrama, jadi memacam le berlaku kat skolah tu, macam dapat kawan baru, tak tahu bahsa arab, main bola sepak, bergaduh dan lenlain lagi...........
Walaupun dia cuma guna lukisan biasa dan guna pensel je, korang xleh pandang rendah kat komik ni..........
Sebab dia ada elemen lain yang menggantikan kelemahan dia..........
Salah satunya gaya penceritaan dia.........
Walaupun cuma 4 mukasurat je, tapi mesej dia dapat disampaikan dengan baik.........
Memang dia ada perancangan yang baik dalam wat komik...........
Dan lagi satu tentang komik dia, dia guna kertas A4 yang dilipat 2 kali, maknanya dapat 4 muka surat le kan, elemen ni menjadikan komik ni kecil dan comel, tetapi padat........
Bile dah abis matrik, susah skit aku nak baca komik ni sebab dia dah gi Sabah, wat medik lak tu, kurang masa dia nak wat komik..........
Tapi dia tetap teruskan, secara slow le...........
Huhu, bile lagi nak kau kuar kan episod seterusnya kasi aku baca ek???
Kikikiki...........
Ran, klu kau guna pen, mesti lagi mengancam, try le.......


P/s: Al-Fatihah ke atas ibu Ran, yang telah kembali ke daerah janji pada 12 Oktober 2008..........
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan bersama-sama dengan orang yang beriman..........
Amin........

Monday, October 13, 2008

Siapa Aku???


Assalamualaikum w.b.t.........


Sejak aku daftar blog ni, dah berapa hari dah aku tak tulis post baru...........
Bukan apa, tapi aku memang takde idea nak tulis apa kan............
Aku survey blog orang lain...........
Aku tak tahu nak kata apa kalau compare blog aku yang seciput ni ngan blog diorang, diorang punya blog penuh dengan ilmiah, blog aku lak, cam banyak karut..........
Bukan apa, nak tulis ilmiah, aku pun mana pandai sangat............
Kikikiki............


Jadi, aku terpanggil untuk menulis satu post malam ni, post yang patut aku tulis selama ni............
Post pengenalan diri, atau taaruf atau introduction to myself..........
Jadi, siapa aku???
Aku sebenarnya tak suka orang tahu pasal diri aku, aku seorang yang suka buat kerja di belakang tabir..........
Nama.........
Aku ada banyak nama, Arip Mohd, Mazlan, Hyde, Red. M, dan memacam lagi le..........
Kikikiki, aku bukan apa, aku suka reka nama supaya orang tak tau nama sebenar aku, sebab aku berpegang pada prinsip detektif terkenal, L...........
L sendiri pun ada 3 nama, takde orang tau nama sebenar dia.........
Jadi, biar le aku dikenali korang dengan nama DarkArtz..........
Aku meminati seni dan juga penyiasatan.........
Oleh itu, aku sekarang mengambil jurusan Forensik di USM........
Aku berasal dari Kuala Lumpur, dan pernah belajar di Matrik Perak...........
Selain itu, aku juga tak kurang hensemnya, walaupun orang cakap aku tak hensem mana pun(diorang jeles sebenarnya)...........
Tapi aku bukanlah anak orang kaya atau orang yang pandai dalam pelajaran, aku cuma budak biasa je yang cuba mengejar mimpi............
Hobi aku, aku ada banyak hobi, cita-cita lak, hmmm...........
Kalau nak diikutkan, banyak cita-cita aku, tapi, buat masa skang ni, aku nak jadi detektif, walaupun aku tau cemana dunia forensik kat Malaysia ni, bukan cam CSI Las Vegas..........
Toksah cite le pasal tu kan..........
Jadi apa lagi ye aku nak cite, haa, kenapa aku minat seni???
Aku pun tak tau.........
Dedulu masa kecik aku suka melukis...........
Aku terpengaruh ngan cite Dragon Ball, pastu dalam proses membesar aku, ada banyak pelukis tanah air dan luar negara yang aku minat dan kagum, Lat, Aie, Akira Toriyama, Obata Takeshi dan lenlain lagi........
Aku banyak melukis dan aku selalu dipengaruhi oleh kawan-kawan yang pandai melukis............
Sehinggakan bila aku dah malas nak lukis masa matrik dulu, ada lak 2-3 orang yang terer gile melukis, sampai wat darah aku mendidih nak lukis cam diorang.........
Sampai kat USM ni pun ada gak coursemate aku yang terer lukis..........
Jadi, sambil aku improve lukisan aku, sambil tu la aku minta tunjuk ajar diorang.........
Akhirnya aku terdorong sampai le hari ni dalam bidang seni, bukan dari segi lukisan je, tapi dari segi grafik gak...........
Tapi aku berani cakap le, aku bukan seorang yang pro lagi, aku cuma beginner, malah lebih rendah dari beginner kot..........
Haha, bukan nak merendah diri, tapi aku rasa itu kenyataan kalau aku compare kan hasil seni aku ngan orang lain.........
Namun, aku tetap ingat apa yang kawan aku cakap, "tak kira apa pun orang cakap, kau buat le kerja kau sampai habis".............
Maka skang aku berani cuba wat lebih dari basic yang aku belajar dulu, tak kira le banner ke, logo ke, baju ke...........
Alhamdulillah.........

Thursday, October 9, 2008

Bismillah Pembuka Bicara.........

Bismillahirrahmanirrahim.........

Assalamualaikum w.b.t.............

Heh, terus terang, masih aku tak tahu nak tulis apa dalam blog ni............
Aku ni bukan ada jawatan atau ada nama sampai nak tulis blog-blog ni, tapi aku saja wat blog ni untuk aku dan sesiapa yang membaca dapat berkenalan dan seterusnya dapat berkongsi ilmu sesama kita..........
Pandangan aku dan karya aku bukannya betul, sebab kita manusia mana ada yang sempurna kan???

Nama Studio Seni Aku ni,
Tapi kalau nak diikutkan aku, ini bukan sekadar blog studio seni, tetapi lebih kepada semua ilmu yang aku tahu, termasuklah agama, sains, matematik, sastera dan lain-lain lagi..........
Kenapa???
Sebab mende tu semua adalah seni bagi aku............
Sebagai contoh le, klu dari segi agama, banyak seni dalam agama ni, seni tarannum, seni khat dan kaligrafi, seni ukiran batu nisan, malah sembahyang tu pun seni bagi aku, kalau kita rukuk, sujud bebetul.........
Dalam sains pun ada seninya............
Kalau kita perhati betul-betul, banyak kimia yang mennujukkan kesenian, malah dalam biologi pun kita leh tengok satu kesenian dari hasil yang kita dapat dalam eksperimen yang kita wat, terutamanya biologi molekular.........
Seni ini seolah-olah ada dalam semua ilmu, hampir semua ilmu rasanya, cuma kenkadang tu kita je yang tak sedar..........
Sebab seni ni tak semestinya yang dilihat di mata kan???
Haha, aku bukanlah insan seni yang betul-betul memahami apa itu seni...........
Aku cuma budak biasa yang minat ngan seni yang masih tak cukup pengetahuan mengenai seni dan lenlain lagi..........
Nanti le klu ada masa terluang aku masukkan hasil kerja aku skit-skit ke.........
Tapi hasil kerja aku tak le sehebat mana.........
Setakat seni yang boleh aku wat ngan tangan kayu aku ni je la........
Akhir kata, salam perkenalan.........

Sunday, October 5, 2008